VIP Dedaun Alam

Wednesday, September 29, 2010

Pantai Padang Lalang (Tanjung Rhu)

Keindahan pantai di Langkawi biasanya diserikan lagi dengan wujudnya pulau-pulau kecil yang berhampiran dengan pantai.

Pantai ini berpasir putih, landai, panjang dan terdapat banyak cengkerang hidupan laut (termasuk batu karang mati)


Pantai ini sebenarnya tidak mempunyai nama khusus. Mengikut penduduk tempatan, ia juga dikenali dengan nama Pantai Tanjung Rhu. Pantai Tanjung Rhu terletak berhampiran dengan pantai ini. Yang pasti pantai tidak ditumbuhi (ditanam) pokok rhu. Ia sebenarnya terletak di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat iaitu kira-kira 3 km dari bulatan Ayer Hangat menuju ke Tanjung Rhu. Pantai indah ini juga sekadar boleh dipandang dan dinikmati keindahannya sahaja kerana tiada sebarang kemudahan asas di sini. Biasanya pengunjung yang datang ke sini bertujuan untuk menikmati laksa dan mee sup (yang dijual menggunakan kedai bergerak = lori kecil) dengan berteman hembusan bayu laut di bawah sebatang pokok besar.

Halia

Pokok halia


Nama Botani : Zingiber officinale
Famili : Zingiberaceae

Pengenalan

Halia merupakan tumbuhan jenis semusim yang berasal dari Asia Tenggara dan ia kini banyak ditanam hampir di seluruh dunia kerana khasiatnya dalam perubatan. Pokok halia mempunyai rizom yang sangat berguna dalam bidang masakan dan perubatan. Dalam perubatan, halia boleh didapati dalam bentuk halia segar, kapsul, tablet, serbuk, minyak, cecair dan halia kering.

Kegunaan

Halia mengandungi kalium (125 mg), fosforus (63mg), tenaga (52 kilokalori), protein, karbohidrat, serat, vitamin C dan niasin. Halia yang direbus dan dicampur dengan lada hitam boleh menghilangkan angin dalam perut. Air rebusan ini sesuai untuk wanita yang baru bersalin dan mereka yang mengalami masalah angin seluruh badan.

Mengunyah halia segar, minum teh halia ataupun minum jus akar halia yang dicampur dengan satu sudu madu dapat meredakan selesema. Halia tua yang ditumbuk halus dan ditampal di tempat terseliuh boleh mengelakkan angin memasuki bahagian berkenaan.

Halia juga boleh menghilangkan rasa loya, perut yang tidak selesa dan masalah penghadaman. Bagi ibu hamil, halia dapat melegakan rasa loya semasa hamil yang sering dialami pada peringkat pertama trimester dan pengambilan halia perlu dihentikan setelah kehamilan masuk bulan ketiga. Halia juga boleh mengubati penyakit sendi, cirit-birit, kekurangan tenaga, pening kepala dan demam panas. Halia membantu mengawal hati daripada kesejukan dan menghilangkan bau busuk mulut.

Pengambilan halia juga boleh mengelakkan rasa pening dan mual akibat mabuk perjalanan semasa menaiki kenderaan. Minyak halia yang dicampurkan dengan beberapa herba dan bahan lain boleh digunakan menghilangkan sakit otot dan urat dengan cara menyapu atau menggosok pada tempat berkenaan. Halia juga dipercayai dapat menguatkan tenaga batin dan meningkatkan kuantiti sperma bagi lelaki.

Tuesday, September 28, 2010

Pantai Teluk Yu

Pantai Teluk Yu.


Pantai  Teluk Yu terletak dalam mukim Ayer Hangat, Langkawi. Lokasinya kira-kira 2km dari Pntai Pasir Hitam. Pantai ini juga tiada kemudahan asas untuk pengunjung seperti tandas dan bilik air. Kemudahan yang ada hanyalah tempat untuk berehat seperi wakaf atau gazebo dan landskap yang ringkas. Kebanyakan pantai di Langkawi tidak
menyediakan kemudahan asas untuk pengunjung. Sesuatu perlu dibuat oleh pihak berkenaan kerana Langkawi merupakan pulau peranginan.  Pantai ini mendapat nama kerana kehadiran ikan yu suatu masa dahulu dan peristiwa ini diabadikan dengan binaan skulptur ikan yu.

Monday, September 27, 2010

Sirih

Pokok sirih.

Nama Botani : Piper betel Linn.
Famili : Piperaceae

Pengenalan

Sirih merupakan tumbuhan jenis memanjat yang berasal dari Asia Tenggara. Ia tumbuh dengan memanjat tiang sokongan, pancang atau batang pokok lain. Daun sirih nipis, lebar dan berbentuk jantung. Tangkai daunnya agak panjang. Permukaan daun berwarna hijau dan licin. Batang pokok sirih berwarna hijau gelap dan tekstur kulitnya kasar. Pokok sirih boleh dibiakkan melalui keratan batang.

Kegunaan

Kegunaan daun sirih yang paling popular di kalangan masyarakat Melayu dan India adalah sebagai bahan utama dalam tradisi makan sirih pinang. Daun sirih biasanya dicampurkan dengan kapur, gambir dan hirisan buah pinang dan dilumatkan sebelum dimakan atau terus dimamah. Daun sirih juga dijadikan sirih junjung yang merupakan bahan utama dalam upacara peminangan di kalangan masyarakat Melayu. Ia juga menjadi bahan penting dalam perubatan tradisonal.

Daun sirih yang direbus sehingga mendidih boleh digunakan untuk merawat keputihan di kalangan wanita. Gunakan air rebusan yang masih suam untuk mencuci bahagian berkenaan. Daun sirih direbus bersama beberapa bahan lain seperti bawang merah, jintan dan lain-lain juga dipercayai dapat mencegah serangan penyakit jantung. Untuk merawat kesan alahan pada kulit, daun sirih bersama kunyit hidup dan minyak kayu putih ditumbuk sehingga lumat. Sapukan bahan tadi pada bahagian kulit yang gatal akibat alahan.

Daun sirih yang ditumbuk bersama lada hitam dan minyak kelapa kemudian digosok pada perut boleh digunakan untuk mengatasi cirit birit. Untuk menghentikan pendarahan gusi, empat helai daun sirih direbus menggunakan 2 gelas air sehingga mendidih. Gunakan air rebusan yang telah sejuk untuk berkumur. Daun sirih yang segar digulung dan dipicit-picit sehingga keluar minyak digunakan untuk menghentikan pendarahan hidung.

Untuk mengurangkan kesakitan akibat gigi berlubang, sehelai daun sirih direbus bersama dua gelas air sehingga mendidih. Setelah sejuk, gunakan air rebusan tersebut untuk berkumur. Daun sirih yang direbus bersama gula batu sehingga mendidih, ditapis dan diminum dipercayai dapat merawat bronkhitis. Untuk merawat batuk, empat helai daun sirih direbus menggunakan dua gelas air sehingga mendidih dan gunakan air rebusan tersebut untuk berkumur.

Wednesday, September 22, 2010

Serdang Cina

Pokok serdang cina

Nama Botani :  Livistona Chinensis
Famili : Palmae (Arecaceae)

Pengenalan

Serdang Cina merupakan tumbuhan jenis palma yang berasal dari China. Pokok serdang cina berbatang lurus, tegak dan keras. Pokok ini mencapai ketinggian sehingga 10 meter. Daunnya berbentuk seperti kipas. Pokok serdang cina biasanya ditanam sebagai pokok hiasan landskap dan pokok teduhan di tepi jalanraya. Ia membiak melalui biji benih.

Kegunaan

Daunnya boleh dijadikan kraftangan seperti kipas dan topi. Akar pokok serdang cina yang direbus dan diminum dipercayai dapat merawat penyakit asma. Bijinya pula dikatakan boleh digunakan untuk merawat kanser hidung. Bahagian tangkai daun yang direbus dan diminum air rebusannya dapat merawat pendarahan rahim.

Monday, September 20, 2010

Pantai Tanjung Rhu

Pemandangan pantai yang indah dan terdapat pulau kecil berhampiran dengan pantai

Pasir pantai yang putih dengan tanjung yang menganjur ke laut memukau mata yang memandang

Si kecil begitu teruja dengan keindahan pantai ini.

Dua perkara yang ada dalam minda si kecil ini bila melihat laut iaitu mandi dan naik bot.


Pantai Tanjung Rhu terletak dalam mukim Ayer Hangat iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari Kuah. Pantai mendapat nama daripada kedudukannya di sebuah tanjung yang ditumbuhi oleh pokok rhu. Pantai ini merupakan antara pantai yang tercantik di Langkawi. Namun begitu, disebalik keindahan dan kecantikannya pantai ini 'tidak mesra' untuk orang awam dan pelancong domestik kerana tiada kemudahan awam di sini. Sesiapa yang datang ke sini mungkin sekadar menikmati keindahan pemandangan. Dan kerana faktor inilah pantai ini tidak menjadi pilihan penduduk tempatan untuk berkelah atau bersantai. Di pantai terdapat dua buah resort yang terkenal.

Sunday, September 19, 2010

Galak Kucing

Pokok galak kucing

Nama Botani : Acalypha Indica
Famili : Euphorbiaceae

Pengenalan
Pokok galak kucing atau juga dipanggil kucing galak merupakan tumbuhan renek bermusim yang tumbuh secara meliar di kawasan rumah dan kawasan terbiar. Ia bersaiz kecil dengan ketinggian di antara 0.5 m hingga 1 meter. Pokok dengan nama unik ini mendapat namanya kerana kucing sangat menggemarinya. Biasanya kucing akan menghidu atau memakan pokok ini(daun dan akarnya) dan ia akan membuat kucing menjadi galak (ghairah). Bahagian yang paling disukai oleh kucing ialah akar pokok ini. Pokok ini membiak melalui biji benih.

Kegunaan

Pokok galak kucing boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit. Rebus bahagian akar atau daun pokok ini sehingga mendidih dan gunakan air rebusan tersebut untuk membasuh badan yang dijangkiti penyakit kulit. air rebusan ini juga boleh digunakan untuk merawat ulser mulut dengan cara berkumur dua kali sehari sehingga sembuh. Dan khasiat yang paling utama pada pokok ini adalah menguatkan tenaga batin dan menambahkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Air rebusan akar atau daun pokok ini diminum mengikut keperluan dan tidak boleh secara berlebihan kerana dikhuatiri memudaratkan kesihatan.

Friday, September 17, 2010

Epal Granny Smith

Epal Granny Smith yang ditanam di Stesen MARDI Cameron Highland
Epal segar. Perhatikan daun pokok epal  yang hampir sama dengan daun pokok bunga ros. Ia daripada famili yang sama.

Nama Botani : Malus Domestica
Famili : Rosaceae

Epal jenis Granny Smith berasal dari Australia dan ia mendapat nama daripada orang yang pertama menjumpainya iaitu Mary Ann (Granny) Smith pada tahun 1867. Pokok epal tergolong dalam tumbuhan daripada famili ros iaitu rosaceae. Epal Granny Smith berkulit hijau dan rasanya agak masam. Epal Granny Smith biasanya dibuat pai, dimakan segar, dijadikan salad dan dijadikan jus.

Kandungan nutrisi dalam sebiji epal Granny Smith segar bersaiz sederhana ialah:

Kalori 81
Karbohidrat 21 grams
Dietary Fiber 4 grams
Kalsium 10 mg
Fosforus 10 mg
Iron 0.25 mg
Sodium 0.00 mg
Potassium 159 mg
Vitamin C 8 mg
Vitamin A 73 IU
Folate 4 mcg

Fakta : Kandungan nutrisi dalam sebiji buah jambu batu jauh lebih tinggi daripada epal.

Thursday, September 16, 2010

Belinjau

Buah belinjau

Nama Botani : Gnetum gnemon
Famili : Gnetaceae

Pengenalan

Pokok belinjau yang juga dikenali dengan nama malinja merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Di Malaysia, ia banyak tumbuh secara meliar terutama di negeri Terengganu. Di Terengganu, belinjau dikenali dengan nama buah cokok. Pokok belinjau yang ditanam terdiri daripada pelbagai varieti. Varieti ini mudah dibezakan melalui saiz buahnya. Pokok belinjau berketinggian sederhana iaitu mencapai 15m - 20m. Daun pokok belinjau berbentuk bujur dan bahagian hujung daun yang runcing. Bunganya keluar pada bahagian ranting atau dahan secara jambak dan berbentuk kon. Buah belinjau berbentuk bujur dan mempunyai tiga lapisan kulit. Bahagian kulit luar buah berwarna hijau ketika muda dan menjadi merah setelah masak. Lapisan kedua kulit agak keras dan berwarna kuning pada peringkat muda dan bertukar kepada coklat gelap setelah masak. Dan lapisan ketiga kulit buah melinjau berwarna putih dan nipis. Dalam bahagian ini terdapat biji belinjau yang boleh dimakan. Pokok belinjau membiak melalui biji benih tetapi percambahan biji benihnya agak sukar.

Kegunaan

Pucuk atau daun muda, bunga dan kulit biji buah belinjau boleh dimakan. Biji belinjau juga boleh dimakan setelah direbus atau digoreng. Bijinya juga boleh dijadikan kerepek, keropok atau emping. Kayu pokok belinjau boleh dijadikan bahan binaan dan perabot.

Setiap 100g pucuk dan buah muda belinjau mengandungi air 75.1mg, protein 6.6g, lemak 1.2 g, karbohidrat 9.1g, fiber 6.8 g, kalsium 151mg, fosforus 224mg, ferum 2.5mg, vitamin A 10889 I.U., niasin 1.2 mg dan vitamin C 121 mg.

Tuesday, September 14, 2010

Senduduk

Pokok senduduk tanah tinggi

Bunga senduduk

Nama Botani : Melastoma malabthricum
Famili : Melastomaceae

Pengenalan

Pokok senduduk merupakan sejenis tumbuhan renek yang biasa dijumpai tumbuh secara liar di kawasan terbiar, padang dan ianya lebih menggemari kawasan yang terbuka. Pokok senduduk boleh mencapai ketinggian sehingga 3 meter mengikut usia dan kawasan di mana ia tumbuh. Daun senduduk mempunyai bulu-bulu halus dan ia mengeluarkan bunga berwarna ungu. Pokok ini membiak melalui biji benih dan ia juga boleh dibiakkan menggunakan keratan batang.

Kegunaan

Daun pokok senduduk sering digunakan untuk merawat luka kecil dengan caranya melumatkan daun muda senduduk dan ditampalkan pada bahagian luka. Ia berfungsi untuk menghentikan pengaliran darah dan menyembuhkan luka tersebut. Pucuk senduduk yang masih muda dimakan sebagai ulam dapat merawat cirit birit. Daun senduduk yang dikeringkan dicampur bersama herba lain direbus dan diminum air rebusan tersebut boleh mengatasi masalah keputihan bagi kaum wanita. Daun senduduk yang tumbuk halus dan ditampal pada bisul akan segera memecahkan bisul dan mengecutkan bisul tersebut.

Akar senduduk yang dilumatkan bersama daunnya dan ditampal pada cacar atau parut cacar, dipercayai dapat menghilangkan kesan parut tersebut. Akar senduduk yang dikeringkan kemudian rebus dan diminum oleh ibu lepas bersalin(semasa dalam pantang) dapat menyembuhkan luka, mengecut dan mengetatkan semula rahim.

Untuk merawat buasir, air rebusan campuran akar, daun dan batang senduduk diminum airnya. Jika air rebusan tersebut digunakan untuk berkumur, ia akan meredakan sakit gigi. Air rebusan tersebut juga boleh dijadikan mandian untuk mengatasi masalah lenguh sendi tulang, angin dan ia menyegarkan badan.

Buah senduduk sebenarnya boleh dimakan tetapi ia kurang digemari kerana mempunyai biji-biji kecil dan warna buahnya akan memberi kesan yang lambat hilang pada bahagian mulut. Buahnya sangat digemari oleh burung dan haiwan. Bunga senduduk yang mekar boleh melembutkan kulit muka dengan merendam beberapa kuntum bunga dalam dan air rendaman tersebut digunakan sebagai pembasuh muka. Biarkan seketika dan bilas dengan air suam, kulit muka akan kelihatan segar dan berseri.

Friday, September 3, 2010

Laut Dan Gunung




Dan Dia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya. (Surah An-Nahl : Ayat 12)




Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.  (Surah An-Nahl : Ayat 14)








Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju. (Surah An-Nahl : Ayat 15)

Thursday, September 2, 2010

Lebah Dan Kebaikan Madu Lebah Asli

Lebah membina sarang untuk pembiakan dan madu bunga adalah makanan utama bagi serangga hebat ini.

Sarang lebah yang menempatkan telur dan anak lebah. Di sinilah madu dan nektar bungaan dikumpulkan.
Lebah adalah serangga yang disebutkan tentang kehebatannya dalam Surah An-Naĥl (Lebah) - سورة النحل





Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. (Ayat 68:Surah An-Nahl)

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Ayat 69:Surah An-Nahl)

Kehebatan Lebah Dan Khasiat Madunya.

Dalam ayat 68-69 (surah An-Nahl) ini secara jelas disebutkan bahawa madu adalah ubat atau penawar yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihadapi oleh manusia. Madu dari sudut saintifiknya mengandungi glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3 yang komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan nektar yang dikonsumsikan oleh lebah.
Madu lebah mempunyai berbagai-bagai khasiat. Sabda Nabi s.a.w., "Demi Allah yang aku dalam genggaman Nya, minumlah madu. Malaikat akan memohon rahmat pada penghuni rumah yang ada madu di dalamnya. Jika seseorang itu makan madu, seribu ubat masuk keperutnya dan sejuta penyakit keluar darinya." Rasulullah sendiri mengamalkan meminum madu, dengan meminum segelas air yang dicampurkan dengan madu setiap pagi ketika perut kosong. Madu dianggap ibu segala makanan, minuman dan ubatan. Madu yang paling berkualiti ialah madu yang dikeluarkan dalam musim bunga, seterusnya dalam musim panas dan yang kurang berkualiti adalah madu yang dihasilkan dalam musim sejuk.

Khasiat dan kebaikan madu lebah asli adalah ia dapat memulih, menyegar dan menambah tenaga tubuh badan. Madu lebah juga dapat menjaga serta mengimbangi kekuatan badan dan mampu merangsang tenaga batin. Ia juga memulihkan kembali pembekuan darah dan membetulkan pengaliran darah. Selain itu, ia berfungsi untuk membersihkan lapisan darah, mengimbangi kandungan lemak dan membuat jantung aktif. Madu lebah yang asli juga dapat menghilangkan rasa kebas-kebas dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

Khasiat-khasiat madu lebah asli yang lain adalah:

i) Mengelak dari kegemukan yang tidak terkawal.
ii) Memudahkan proses penghadapan dan lawas buang air.
iii) Memulihkan penyakit berpanjangan.
iv) Menguatkan jantung, buah pinggang dan badan.
v) Menyembuhkan penyakit dalam perut.
vi) Mempercepatkan luka atau kesan pembedahan sembuh.
vii) Memulihkan batuk dan lelah.
viii) Menghindarkan badan letih dan lesu.
ix) Kurangkan kesakitan bila datang haid.
x) Baik untuk perempuan bersalin.
xii) Membantu pemandangan.
xiii)Menstabilkan kandungan gula dalam darah

Kebaikan Madu Lebah Bagi Bayi Dan Kanak-kanak

a) Membantu pertumbuhan janin dan bayi dari segi fizikal dan mental.
b) Menyembuh dengan segera cirit-birit.
c) Mengelak daripada cacing perosak dalam perut.
d) Mengeluarkan lendir dalam badan bayi dan menguatkan minda kanak-kanak.

Khasiat dan kebaikan madu lebah asli bagi wanita ialah dapat menambah kecantikan wajah, bentuk badan yang menarik dan kulit halus. Madu juga boleh digunakan untuk merawat luka, melecur, penyakit kulit dan sakit mata. Madu biasanya digunakan dalam makanan serta minuman seperti kek, kuih, lauk, roti dan biskut. kan bersama roti / biskut.

Khasiat dan Kebaikan Madu Bagi:

1) Ibu Hamil

a. Menambahkan tenaga untuk ketahanan diri semasa mengandung dan semasa menghadapi saat kelahiran cahaya mata.
b. Mencegah dari berbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kencing kotor, batuk selsema, lelah dan lain-lain.

2) Bayi Dalam Kandungan
a. Mencegah dari pelbagai penyakit kerana kandungan antibiotik dalam madu dapat membunuh kuman-kuman cahaya mata.
b. Kandungan zat galian dalam madu boleh membantu membina dan menguatkan janin.
c. Kulit yang bersih dan sihat dengan terdapatnya vitamin C yang penuh kuasa dalam madu asli.
d. Membantu secara khusus pertumbuhan fizikal dan mental janin.
e. Penyakit Hepatitis B yang biasa menyerang bayi dapat dihindar dengan amalan madu oleh para ibu yang mengandung.

3) Bayi Yang Baru Lahir
a. Membantu melancarkan penghadaman.
b. Bayi membesar dengan sempurna dan sihat.
c. Dapat mencegah bayi daripada  kembung perut..

4) Ibu Lepar Bersalin

a. Amalkan madu bersama jamu dan telur untuk membina darah serta mempercepatkan proses penyembuhan luka dalaman
b. Membantu proses penghadaman dan lawas buang air.