VIP Dedaun Alam

Monday, August 19, 2013

Limau Kasturi Di Desa Tercinta


Pokok limau kasturi ini ditanam oleh saya kira-kira tujuh tahun yang lalu di kampung tercinta. Ia berbuah dengan lebat sepanjang tahun. Bila balik kampung, saya pasti meninjau keadaan pokok limau kasturi dan kali ini ia berbuah paling lebat. Pokok nan sebatang ini adalah pemberian arwah abang saya untuk ditanam di kawasan rumah di kampung. Mungkin pada orang lain ianya sekadar sebatang pokok limau kasturi tapi pada saya ia adalah memori dan kenangan bersama arwah abang yang sangat rapat dengan saya.

Monday, July 29, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Kerja Menuai Yang Perlu Rilek Brader!

Sejak ada kebun kecil dengan tanaman yang pelbagai dalam satu, inilah tuaian yang perlukan kesabaran dan tumpuan penuh. Bak kata Art Fadzil dan Imuda kena Rilek Brader... Nak tuai cili kecil kita kena tengok dan pilih yang betul-betul masak di antara ratusan buahnya. Cili ini tak boleh dituai dengan menarik buahnya begitu saja, kita kena pegang ranting pada pangkal tangkainya. Jika sentap begitu saja, bukan buahnya yang kita dapat tapi dengan rantingnya sekali. Maka, kedua-dua belah mesti bekerja pada masa yang sama. Sebelah pegang buah, sebelah lagi pegang rantingnya. tak boleh main-main, kena serius..hehe..
  
Buah cili masak perlu dipilih kerana ada di antaranya busuk/rosak. Yang elok, masuk dalam bekas, yang rosak, buang. Bukan itu saja, kita perlu belek-belek di sebalik rimbun dedaunannya kerana pasti ada buah cili masak yang terselit. Untuk menghabiskan kerja menuai cili kecil ini, kaki terasa lenguh, belakang pun sakit tapi puashati sebab dapat hasil yang segar hasil penat lelah sendiri.

Cili besar seperti ini mudah untuk dituai. Kita cuma perlu tarik pada bahagian hujung buah ke atas dan tangkainya akan patah dengan sendiri. Cili yang mudah dituai adalah cili solok, cili kulai, cili panjang merah dan hampir semua cili bersaiz besar.


Thursday, July 18, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Terung Panjang Ungu Gergasi


Inilah tuaian terung panjang ungu yang terbesar dan terpanjang dalam sejarah hidup saya. Hasil daripada pokok terung yang ditanam dalam kebun kecil sangat memuaskan hati tapi buah yang dituai pagi tadi agak luarbiasa saiznya bagi saya. Mungkin orang lain dah biasa tengok terung sebesar dan sepanjang ini. Buah terung ini sepanjang 39.5cm(15.5 inci) dengan diameternya 23cm.

Saturday, July 6, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 03/07/13


Tuaian kali ini sebahagian besarnya untuk diberikan kepada kawan-kawan, tuan kebun ambil sikit untuk sekali makan. Terung panjang ungu adalah hasil daripada sepokok saja. Pokoknya sekarang dah melepasi ketinggian 2 meter dan sentiasa tumbang/senget biarpun ditongkat dek kerana berat daun serta buahnya. Labu botol dibungkus dengan plastik untuk mengelak serangan lalat buah yang cukup berminat dengan buah labu comel ini. Labu botol mesti dibungkus sebaik saja bunganya kering, jika terlepas pandang pasti lalat buah akan menyuntik telurnya.  Buah labu botol perlu dibungkus keseluruhannya dan sekiranya bahagian atas buah terdedah, lalat buah tetap akan menyerang. Paling teruk, buah yang dah dituai pun diserangnya juga sekiranya kita biarkan terdedah. Sebarang jenis racun adalah dilarang sama sekali dalam kebun kecil saya. Yang mana dapat kat kita, Alhamdulillah.. Yang dapat kat penyerang tu biarlah itu rezeki mereka, kira sedekah kepada penghuni alam

Wednesday, July 3, 2013

Pisang Nangka & Pisang Berangan

Pisang nangka yang matang dan boleh dituai dalam bulan Ramadhan nanti. Pisang nangka sedap dimasak sebagai pengat/serawa, sira dan digoreng. Pisang nangka jarang dimakan segar kerana rasanya sedikit masam.
Pisang nangka ini ditanam oleh saya di luar kebun kecil saya dan pernah diceritakan dalam entri sebelum ini.

Pisang berangan antara pisang paling mendapat permintaan tinggi di pasaran dan ianya pisang kegemaran saya. Pisang berangan segar dari ladang/kebun sendiri lebih memberi kepuasan kepada penanamnya. Pisang berangan ini adalah jenis kampung yang mempunyai bintik-bintik hitam pada kulitnya. Pakar kesihatan sepakat mengatakan pisang berangan jenis ini lebih baik berbanding berangan klon/varieti baru.


Friday, June 21, 2013

Buah Kantan


Siapa yang pernah atau biasa lihat buah kantan? Pasti ada antara kita jawab ya dan tidak kerana tidak semua spesis kantan yang menghasilkan buah. Ada spesis kantan hanya berbunga tapi bunganya tak menjadi buah. Untuk info, spesis atau jenis kantan boleh dibezakan melalui bentuk dan warna bunganya.

Buah kantan sebenarnya boleh digunakan sebagai bahan masakan sepertimana bunganya juga. Namun penggunaan buah kantan kurang popular berbanding bunganya. Selain digunakan untuk masakan, buah kantan yang masak boleh dimakan segar. Isi buah kantan yang berupa biji-biji kecil mepunyai rasa masam manis dan sedikit pedar. Di sesetangah negeri di Malaysia, isi buah kantan dimakan bersama pencicah/colek.

Buah kantan juga boleh digunakan untuk merawat sakit telinga. Rebus buah kantan dan gunakan air rebusannya sebagai ubat titis ke bahagian dalam telinga untuk mengatasi sakit telinga. Air rebusan buah kantan juga boleh digunakan sebagai pencuci luka kecil.

Tuesday, June 18, 2013

Burung Tuwu


Burung yang nampak seperti burung gagak ini adalah burung tuwu atau asian koel (Eudynamys scolopacea). Saya dah menulis mengenai burung ini dalam entri sebelum ini. Siapa yang belum mengenali burung tuwu, boleh baca infonya di sini. Saya juga ada buat rakaman bunyi burung tuwu yang dimuatnaik ke Youtube.