VIP Dedaun Alam

Showing posts with label cili hutan. Show all posts
Showing posts with label cili hutan. Show all posts

Monday, July 29, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Kerja Menuai Yang Perlu Rilek Brader!

Sejak ada kebun kecil dengan tanaman yang pelbagai dalam satu, inilah tuaian yang perlukan kesabaran dan tumpuan penuh. Bak kata Art Fadzil dan Imuda kena Rilek Brader... Nak tuai cili kecil kita kena tengok dan pilih yang betul-betul masak di antara ratusan buahnya. Cili ini tak boleh dituai dengan menarik buahnya begitu saja, kita kena pegang ranting pada pangkal tangkainya. Jika sentap begitu saja, bukan buahnya yang kita dapat tapi dengan rantingnya sekali. Maka, kedua-dua belah mesti bekerja pada masa yang sama. Sebelah pegang buah, sebelah lagi pegang rantingnya. tak boleh main-main, kena serius..hehe..
  
Buah cili masak perlu dipilih kerana ada di antaranya busuk/rosak. Yang elok, masuk dalam bekas, yang rosak, buang. Bukan itu saja, kita perlu belek-belek di sebalik rimbun dedaunannya kerana pasti ada buah cili masak yang terselit. Untuk menghabiskan kerja menuai cili kecil ini, kaki terasa lenguh, belakang pun sakit tapi puashati sebab dapat hasil yang segar hasil penat lelah sendiri.

Cili besar seperti ini mudah untuk dituai. Kita cuma perlu tarik pada bahagian hujung buah ke atas dan tangkainya akan patah dengan sendiri. Cili yang mudah dituai adalah cili solok, cili kulai, cili panjang merah dan hampir semua cili bersaiz besar.


Saturday, July 6, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 03/07/13


Tuaian kali ini sebahagian besarnya untuk diberikan kepada kawan-kawan, tuan kebun ambil sikit untuk sekali makan. Terung panjang ungu adalah hasil daripada sepokok saja. Pokoknya sekarang dah melepasi ketinggian 2 meter dan sentiasa tumbang/senget biarpun ditongkat dek kerana berat daun serta buahnya. Labu botol dibungkus dengan plastik untuk mengelak serangan lalat buah yang cukup berminat dengan buah labu comel ini. Labu botol mesti dibungkus sebaik saja bunganya kering, jika terlepas pandang pasti lalat buah akan menyuntik telurnya.  Buah labu botol perlu dibungkus keseluruhannya dan sekiranya bahagian atas buah terdedah, lalat buah tetap akan menyerang. Paling teruk, buah yang dah dituai pun diserangnya juga sekiranya kita biarkan terdedah. Sebarang jenis racun adalah dilarang sama sekali dalam kebun kecil saya. Yang mana dapat kat kita, Alhamdulillah.. Yang dapat kat penyerang tu biarlah itu rezeki mereka, kira sedekah kepada penghuni alam

Tuesday, June 4, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Varieti Cili Yang Ditanam


Ini adalah antara varieti cili yang saya tanam dalam kebun kecil. Cili yang paling atas adalah cili kulai king. Cili kulai king menghasilkan buah yang banyak dan tempoh berbuah yang agak panjang. Cili kedua adalah cili panjang hijau. Cili ini disemai oleh isteri saya menggunakan biji benih daripada cili yang dibeli di pasar basah untuk masakan. Cili yang ketiga adalah cili solok siam. Cili ini masih terus mengeluarkan hasil tapi tak begitu lebat seperti sebelumnya. Di bawah cili solok siam adalah cili panjang merah. Biji benihnya juga disemai oleh isteri saya menggunakan biji daripada cili dari pasar. Belum sempat masak saya dah tuai cili ini untuk mengelak serangan lalat buah. Cili kecil yang dibawah sekali dalah cili hutan. Cili hutan berbuah dengan lebat, rasanya agak pedas tapi saiznya kecil. Benih asal cili ini sememangnya dibawa balik dari hutan.

Friday, February 15, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Tanaman Baru

Terung panjang ungu.

Bendi daripada MARDI. Saya kurang pasti klon apa.

Cili hutan. Anak pokok dah lama semai tapi baru ditanam di tempat baru.

Kobis cina yang tak dituai. Saya simpan lima pokok untuk biarkan ia berbunga dan dapatkan biji benihnya.


Thursday, October 11, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Tuaian Pertama & Senyuman

Ini yang membuatkan tuan kebun tersenyum, putik dan bunga betina petola ular. Bunga-bunga yang keluar sebelum ini semuanya jantan.

Pokok ulam raja yang ditanam menggunakan pucuk telah berbunga. Bunga-bunga ini akan menghasilkan benih dan lebih banyak pokok ulam raja boleh ditanam selepas ini.

Tuaian pertama bendi singa. Daripada 10 biji benih yang disemai, 9 bercambah dan membesar, 5 pokok dah berbuah. 6 biji bendi segar dari kebun. Yang penting ia bebas racun dan organik. 2 biji buah bendi sulung tak dituai, nak simpan sebagai benih.

Semaian pada 04/10/12 dah bercambah. Antaranya peria, labu botol, petola segi, kacang botor dan yang kecil-kecil adalah anak kailan. Biji benihnya tertumpah,  kutip dan tabur dalam bekas ini. Kailan ini adalah semaian kali ketiga.

Cili hutan yang disemai menggunakan biji daripada buah segar.