Pokok palma Manila ditanam sebagai hiasan landskap dan antara spesis palma yang menjadi pilihan di Malaysia.
Sesuai dengan namanya, palma ini merupakan tumbuhan yang berasal daripada Filipina. Palma ini dijumpai di kawasan pantai Pulau Palawan dan Coron. Palma Manila ini tumbuh di hutan terbuka tanah batu kapur yang curam. Nama botani bagi palma ini ialah Veitchia merillii dan ia juga dikenali dengan nama Christmas Palm, Adonidia Palm dan Dwarf Royal Palm. Pokok palma ini tumbuh dengan satu batang tunggal dan ketinggiannya sehingga 25 meter.
Setiap pokok palma Manila mengandungi sehingga 14 pelepah daun yang padat sepanjang 1.5 meter. Mayang bunga palma ini keluar dicelah upih pelepah dan apabila matang ia akan berada di bawah pelepah daun. Bunganya akan menghasilkan buah bersaiz 3.0 cm panjang dan 1.9 cm lebar. Buah palma ini semasa muda berwarna hijau dan berubah menjadi merah terang apabila masak.