VIP Dedaun Alam

Tuesday, February 28, 2012

Sambal Pauh Ikan Kering

Sambal pauh ikan kering adalah salah satu makanan tradisional Kelantan. Mungkin di negeri lain terdapat sambal yang menggunakan mangga muda dan ikan kering ini. Sambal pauh ikan kering ni kegemaran saya dan jika terasa nak makan, proses sendiri je. Cara membuatnya mudah tapi memerlukan kesabaran. Caranya seperti tertera di bawah.

Ikan kering (bukan ikan masin) jenis gelama belah sederhana besar dibakar. Asingkan isi ikan daripada tulang. Tumbuk isi ikan kering sehingga lumat seperti dalam foto.

Tumbuk isi ikan kering yang telah lumat tadi bersama lada burug atau cili api. Saya menggunakan 10 biji lada burung. Tumbuk kedua bahan ini sehingga lada hancur. Masukkan mangga muda yang telah dikupas kulit dan dipotong(dicincang). Tumbuk ketiga-tiga bahan ini sehingga semuanya sebati.

Sambal pauh ikan kering yang masam, pedas dan masin sangat menyelerakan bila dipasangkan dengan nasi panas, ikan atau daging singgang.

Makanan tradisional dalam pinggan klasik. Pasangan yang sepadan.

Monday, February 27, 2012

Dari Kaki Gunung Ke Puncak - Bahagian 3

Pulau Langkawi di bahagian utara dapat dilihat dari sini.

Pulau Taratoa di Thailand

Saujana mata memandang adalah tanah besar Semenanjung Malaysia dan Thailand.

Oriental Village di kaki Gunung Mat Chincang

Sunday, February 26, 2012

Dari Kaki Gunung Ke Puncak - Bahagian 2

Pemandangan yang dilihat dari menara tinjau stesen pertama

Hanging bridge atau jambatan gantung yang kelihatan dari menara tinjau stesen pertama.

Menara tinjau stesen kedua iaitu stesen dan menara tertinggi di sini. Terdapat dua buah menara tinjau dibina di puncak gunung. Sebuah dibina di tempat saya berdiri dan yang kelihatan dalam gambar.

Keindahan alam ciptaan Illahi dan binaan moden yang memukau mata dilihat dari menara tinjau stesen kedua. Jika anda ingin menyeberang jambatan gantung ke puncak gunung sebelah, turun ke bawah melalui lalauan bertangga konkrit di tebing gunung. Jaraknya saya kurang pasti tapi boleh dianggar melalui gambar ini. Pengalaman menyeberangi jambatan yang tidak boleh dilepaskan jika anda ke sini. Pemandangan di atas jambatan tersebut sangat memukau.

Stesen pertama kelihatan dalam gambar. Skycab boleh membawa 6 orang penumpang dalam satu perjalanan.

Bersambung lagi...

Friday, February 24, 2012

Gunung Mat Chincang - Dari Kaki Gunung Ke Puncak

Pemandangan dari dalam kereta kabel yang dipanggil Skycab. Perjalanan sejauh lebih kurang 1.7km ke stesen pertama. Struktur batu sebelah kanan foto adalah air terjun Telaga Tujoh yang mempunyai lagendanya tersendiri. Gunung Mat Chincang atau ejaan asalnya Machincang merupakan gunung kedua tertinggi di Langkawi. Ketinggiannya lebih kurang 710 meter dari aras laut.

Ini pemandangan dari stesen pertama. Dari sini kita boleh lihat Oriental Village di kaki gunung, Telaga Harbour Park, Padang Matsirat, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan gugusan pulau berdekatan..

Teluk Datai boleh dilihat dengan jelas dari sini.

Si kecil  teruja dengan persekitaran yang asing bagi dirinya. Dia yang beria-ia nak naik gunung. Sampai di stesen pertama, dia seakan keliru dengan suasana di puncak. Soalan yang keluar dari mulut si kecil ini, "mana kereta abah?". Soalan ini ditanya mungkin kerana dia melihat hanya pokok dan banjaran gunung saja.

Inilah cara mudah untuk naik ke puncak gunung Mat Chincang. Ada dua opsyen, iaitu mendaki dan menaiki skycab. Tiket Skycab bagi orang dewasa adalah RM15.00, RM10.00 bagi kanak-kanak. Jangan lupa tunjukkan mykad bagi warganegara Malaysia. Jika gagal menunjukkan bukti warganegara Malaysia, anda akan mendapat harga istimewa iaitu caj tiket bagi pelancong asing(RM30.00). Pastikan anda sentiasa membawa mykad. Jika anda ada keberanian dan tidak gayat, beli tiket dan akan sampai ke puncak gunung dalam masa 15 minit!



Bersambung ke Bahagian 2.

Wednesday, February 22, 2012

Wakaf @ Gazebo Taman Lagenda

Wakaf atau dalam bahasa modennya, gazebo adalah senibina yang didirikan sebagai tempat teduhan dan rehat. Dalam Taman Lagenda dibina beberapa buah wakaf sebagai tempat berehat atau melepaskan lelah setelah penat berjalan. Atau berlindung dari hujan dan kepanasan.


Gazebo yang menempatkan arca gong untuk lagenda Padang Gaong.
Wakaf yang dibina dalam bahagian lagenda Padang Gaong.

Wakaf terbesar dalam taman ini.

Friday, February 17, 2012

Bambusa Ventricosa

Pokok buluh spesis bambusa ventricosa ditanam sebagai penghias landskap.

Bambusa ventricosa merupakan tumbuhan daripada spesis buluh yang berasal dari Selatan China. Buluh ini banyak ditanam sebagai pokok hiasan landskap dan pokok pasuan. Di habitat asalnya, ia mampu mencapai ketinggian sehingga  17 meter. Pokok buluh yang dikenali dengan nama Buddha Belly Bamboo, Swollen Stemmed Bamboo dan Bottle Bamboo ini biasanya berketinggian sekitar 4 meter apabila ditanam sebagai pokok hiasan dan ia boleh menjadi bonsai jika ditanam dalam pasu. Pokok buluh spesis ini memerlukan sinaran matahari penuh (tanpa sebarang naungan).

Wednesday, February 15, 2012

Gerbang Berukiran Taman Lagenda

Gerbang berukiran pertama yang akan kita jumpa setelah masuk ke Taman Lagenda. 

Gerbang berukiran ke bahagian lagenda Tasik Dayang Bunting.

Ke bahagian pertarungan Garuda Dan Jentayu.

Gerbang berukiran ke bahagian Telaga Tujoh. Ukiran dibuat oleh tukang ukir Melayu yang mahir. Ukiran seperti ini biasanya dibuat menggunakan kayu cengal.

Sebuah gerbang berukiran yang sangat menarik dan indah seni ukirannya.

Tuesday, February 14, 2012

Cycas Rumphii

Pokok cycas rumphii yng ditanam sebagai pokok hiasan landskap

Cycas rumphii merupakan tumbuhan paku pakis yang berasal dari Asia Tenggara. Ia dikenali dengan nama Malayan Fern Palm, Queen Sago, dan Paku Laut. Cycas rumphii biasanya ditemui hidup meliar di kawasan berhampiran pantai. Walaupun ia daripada keluarga paku pakis tetapi ketinggian pokok mencapai sehingga 10 meter. Batang pokok cycas rumphii biasanya tunggal namun ada juga pokok yang mempunyai beberapa cabang. Pokok yang ditanam sebagai hiasan ini sebenarnya dapat menghasilkan sagu yang boleh dimakan daripada batangnya. Di sesetengah tempat, pucuk muda pokok ini dijadikan makanan.

Sunday, February 12, 2012

Urbanisasi Yang Membunuh

Di sebalik keindahan dan cantiknya pasir di Pantai Taman Lagenda, kematian dan kemusnahan karang semakin parah. Pasir-pasir pantai di sini bercampur dengan pelbagai spesis karang yang mati. Karang bukan jenis tumbuhan tapi hidupan(haiwan). Urbanisasi telah membunuh mereka. Dahulunya tempat ini bersih dan langsung tidak tercemar tetapi dek kemodenan, karangan ini tidak mampu lagi untuk bertahan. Air longkang dari bandar, penempatan dan lain-lain mengalir terus ke laut. Di kawasan pantai ini juga dijadikan labuhan/jeti untuk kapal, feri, bot, kapal laar dan berbagai jenis kenderaan terapung. Sisa-sisa minyak juga menyesakan nafas karang-karang ini.
Entah berapa banyak spesis karang yang mati dan terdampar di pantai ini.

Saiz karang yang mati ini adalah lebih besar daripada buah oren gred A.

Apakah generasi kita yang mendatang akan mampu melihat ketam angin ini mengorek lubang di pantai dan berlari-lari ketam (ke kiri atau kanan, bukan ke depan) di pasiran pantai. Adakah kita boleh hantar balik apa yang kita pinjam ini kepada mereka. Bak kata pepatah, apa yang kita ada sekarang adalah pinjaman daripada generasi mendatang dan bukan yang akan kita wariskan kepada mereka..



Friday, February 10, 2012

Pantai Taman Lagenda

Pantai berpasir putih tiada nama khusus tetapi lokasinya dalam Taman Lagenda. Pantai ini juga terhasil daripada tanah tebusguna dan tempat saya berdiri untuk abadikan foto ini adalah tengah laut sebelum ditambak dengan tanah dan pasir. Pemandangan ini menghala ke arah Dataran Lang.

Pandangan ke sebelah kanan iaitu Jeti Pelancongan. Kawasan tersebut juga adalah tanah tebusguna.

Pemandangan dari pantai ini.


Wednesday, February 8, 2012

Taman Lagenda @ Lagenda Park, Langkawi

Tuan puteri bergambar di laluan masuk utama ke Taman Lagenda. Taman Lagenda dibuka kepada umum pada tahun 1996. Ketika itu, bayaran masuk dikenakan tetapi sekarang masuk adalah percuma. Taman ini dibina di atas tanah tebusguna seluas 50 ekar. Di tempat tuan puteri saya berdiri ini dahulunya adalah pantai dan lautan. Taman Lagenda terletak kira-kira 400 meter dari Jetty Point iaitu selepas Dataran Lang.

Taman Lagenda dibina atas idea dan ilham daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Taman ini dibina dengan arca dan binaan yang menunjukkan lagenda dan mitos Pulau Langkawi.

Laluan yang dipayungi oleh pokok pukul lima dan diapit oleh terusan di sebelah kiri dan tasik(kanan).

Posing di laluan yang menjadi trek untuk joging.

Tasik yang tenang. Mendamaikan jiwa dan perasaan.

Penat berjalan. Rehat sebentar di atas 'ular'. Itu yang si kecil ini bayangkan mengenai dengan binaan ini. Di hadapan tempat rehat ini terdapat arca belanga pecah, kuah dan kisap. Ketiga-tiganya merupakan nama tempat di Langkawi yang berkaitan dengan mitos dan lagendanya tersendiri.

Tasik yang dipenuhi dengan pokok telipok. Tasik ini mewakili tempat yang diberi nama Pulau 
Gubang.

Sunday, February 5, 2012

Bismarckia Nobilis Silver

Pokok palma bismarckia nobilis silver.

Tumbuhan palma ini berasal dari Madagascar dan ia hanya terdapat di pulau tersebut sahaja. Kini ia ditanam sebagai pokok hiasan landskap di hampir seluruh negara yang mepunyai iklim yang bersesuaian. Ia lebih dikenali dengan nama silver bismarck. Palma asli kepulauan Madagascar ini mampu mencapai ketinggian sehingga 25 meter sekiranya ia hidup secara semulajadi. Kebanyakan pokok palma daripada famili arecaceae yang ditanam sebagai pokok hiasan hanya berketinggian sehingga 12 meter. Terdapat dua jenis bismarckia iaitu yang berdaun perak/biru(silver) dan hijau. Bismarckia Nobilis Silver tidak sesuai ditanam di kawasan kediaman kerana saiznya yang agak besar.

Thursday, February 2, 2012

Tabebuia @ Tecoma

Pokok tabebuia ditanam sebagai pokok hiasan peneduh tepi jalanraya.

Nama Botani : Tabebuia sp.
Famili : Bignonicecae

Pokok tabebuia yang juga dikenali dengan nama pokok tecoma dan terumpet merupakan tumbuhan asli dari Mexico sehingga ke bahagian utara benua Amerika Selatan. Terdapat lebih 50 spesis tabeuia yang dibezakan melalui warna dan bentuk bunganya. Pokok daripada spesis tabeuia ini mengeluarkan bunga berwarna putih, kuning, perak, merah dan merah jambu. Ia ditanam di kebanyakan negara tropika sebagai pokok hiasan dan balak. Tabebuia membiak melalui biji benih dan boleh dibiakkan melalui keratan batang atau ranting.