Pucuk serai samak
Pokok jenis tumbuh liar ini dikenali dengan nama serai samak atau serai daun di kalangan penduduk Kelantan. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 15 meter dan ia menggemari kawasan yang berdekatan dengan kawasan berair seperti sungai, sawah padi, paya. Ia juga boleh hidup subur di kawasan tanah tinggi. Pokok ini mengeluarkan bunga dalam bentuk jambak dan berbau sangat harum. Buahnya berbentuk beri kecil berwarna hijau ketika muda dan merah gelap setelah masak. Buahnya yang masak boleh dimakan. Rasanya manis dan sedikit kelat. Kegunaan utama pokok ini adalah pucuk mudanya. Bagi penduduk Kelantan terutama penggemar nasi kerabu dan laksam, pucuk serai samak menjadi pilihan utama untuk dijadikan ulaman. Puicuk serai samak dipotong halus dan digunakan sebagai bahan ulaman utama dalam nasi kerabu atau laksam. Terdapat dua jenis pokok serai samak yang menjadi pilihan iaitu pokok yang mengeluarkan pucuk merah (rujuk foto) dan satu lagi mengeluarkan pucuk hijau.