VIP Dedaun Alam

Tuesday, August 28, 2012

Bunga Part XXXI

Agak lama Dedaun Alam tidak bersiaran. Tiada stok foto dalam simpanan kerana sepanjang bulan Ramadhan kamera langsung tak disentuh. Foto untuk entri ini adalah stok lama. Bunga dalam siri ke 31 ini biasa kita lihat. Ada yang kita kenal dan ada yang tidak.mengenali namanya.

Bunga tridax procumbens atau coat button. Pokok yang tumbuh meliar ini juga ada khasiat dalam perubatan herba. Info mengenainya  akan disiar selepas ini.

Bunga ubi larut.

Bunga orkid yang saya lupa namanya. Ia hidup di atas tanah dan berbunga mengikut musimnya.

Bunga durian belanda.

Monday, August 13, 2012

Ditelan Pahit Dibuang Sayang

Biarpun bunga betik jantan pahit rasanya tapi madu bunganya tetap manis. Tebuan hitam ini menghisap madu kuntuman bunga betik jantan dan ia bertindak sebagai ejen pendebungaan.

Bunga betik jantan yang rasanya pahit tapi sayang jika dibiar atau gugur begitu saja. Ditelan pahit, nak dibuang terasa sayang, jadi kutip bunga betik jantan untuk dicelur dan dimakan sebagai ulam. Memang masih terasa pahitnya tapi boleh ditelan tanpa masalah. Atau dijadikan kerabu. Celur dulu, toskan dan gaulkan bersama bahan-bahan biasa untuk buat kerabu(kerisik, garam, dan lain-lain tu). Kerabu bunga betik memang unik rasanya, pahitnya berkurangan.

Tuesday, August 7, 2012

Tempua @ Baya Weaver


Burung tempua jantan.

Burung tempua (Ploceus philippinus) juga dikenali dengan nama cak raya, ciak raya dan ciak tempua. Burung tempua jantan mempunyai kepakaran dalam menganyam sarang yang dibina tergantung pada bahagian hujung ranting/daun pokok besar. Bagi burung tempua jantan ketelitian dan kekemasan sarang yang dianyam sangat diutamakan kerana ia adalah satu-satunya cara burung spesis memikat pasangan. Jika ia tidak berpuas hati dengan anyaman, sarang yang dalam proses untuk disiapkan akan dijatuhkan ke tanah. Tempua jantan akan menganyam sarang lain yang lebih baik. Sarang tempua dianyam menggunakan rumput kering dan akan dianyam satu persatu sehingga sempurna. Tempua jantan mampu menganyam rumput sambil terbang! 

Semasa musim membiak, burung ini akan membuat bunyi bising sebagai cara komunikasi. Diet utama mereka adalah bijirin termasuk padi. Di Malaysia, burung tempua adalah spesis lindungan.

Friday, August 3, 2012

Jikalau Tidak Berada-ada, Masakan Tempua Bersarang Rendah


Peribahasa Melayu kebanyakan bersumberkan alam semulajadi. Memerhatikan apa yang berlaku dan ada di persekitaran memberi ilham untuk mencipta peribahasa atau perumpamaan sejak lama dulu. Peribahasa yang berbunyi, jikalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah membawa maksud pasti ada sebab-sebabnya (sesuatu yang tersembunyi), maka sesuatu itu terjadi demikian.

Tuesday, July 31, 2012

Kubung, Cermai & Camouflage

Kubung, spesis mamalia yang hebat kerana ia mampu melayang dari satu pokok ke pokok lain. Aktif waktu malam dan siang harinya ia akan berehat atau tidur. Kubung yang seekor ini cukup suka berehat dengan melekap di batang pokok cermai. Dalam foto ini, hampir tidak kelihatan sang kubung yang menyamar dengan persekitarannya.

Inilah encik kubung kita. Melekap kuat pada batang pokok cermai. Tidurnya terganggu apabila saya mengambil gambarnya.

Ia tetap melekap di situ. Biasanya ia melarikan diri apabila diganggu atau ada ancaman. Mungkin ia tidak menganggap saya sebagai ancaman atau mengganggunya. Kubung ini dah beberapa kali diambil gambar oleh saya tapi tidak pasti yang mana kerana ada lebih daripada empat kubung di kawasan ini. Pernah melihat empat ekor kubung melayang dalam satu masa kerana tempat persembunyian mereka terganggu. Lihat matanya yang bundar dan cantik.

"Nak tidur dulu ye.. Orang ni tak kacau kot.. Selamat malam..ehh..selamat siang hari.. krohh..krohh...Zzzz.."



Wednesday, July 25, 2012

Abelmoschus Moschatus @ Kapas Hantu

Bunga kapas hantu berwarna kuning lembut dan hampir sama dengan bunga bendi.

Buah kapas hantu yang boleh dimakan sebagai sayuran

Nama Botani : Abelmoschus Moschatus
Famili : Malvaceae

Pokok kapas hantu merupakan tumbuhan herba berbatang lembut yang berasal dari India. Pokok ini dalam famili yang sama dengan bunga raya dan kacang bendi iaitu malvaceae. Hampir keseluruhan pokok kapas hantu mempunyai bulu-bulu halus dengan ketinggian sekitar 2 hingga 3 meter. Ia mempunyai umbisi di dalam tanah dan apabila pokok mati ia akan tumbuh semula setelah menerima hujan. Pokok kapas hantu membiak melalui biji benih dan ubi.

Ubi, buah dan pucuk kapas hantu boleh dimakan. Biji kapas hantu mengandungi minyak 'fatty musky' dan mempunyai bauan amber. Ia berguna dalam pembuatan minyak wangi. Biji benih kapas hantu mempunyai aroma harum yang dikenali sebagai grani moschi. Bijinya juga dimasukkan ke dalam kopi Arab sebagai penambah rasa. Biji kapas hantu juga boleh digunakan untuk merawat sakit tekak(kerongkong). Daun dan akar digunakan untuk merwat penyakit gonorrhea. Ia juga baik untuk penghadaman dan penyegar nafas. Selain itu, ia dikatakan mampu mengatasi kekejangan, masalah peredaran darah, sakit sendi, dan berfungsi sebagai aromaterapi. Ia juga dianggap racun serangga dan afrodisiak. Lendir daripada akar pokok ini digunakan dalam industri pembuatan kertas dan bunganya dicampur bersama tembakau untuk memberi aroma dan perisa bunga.

Bahagian-bahagian yang berbeza dalam tumbuhan yang mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional tetapi tidak semua yang telah terbukti secara saintifik.

Monday, July 23, 2012

Ikut Resmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk

Padi yang semakin tunduk berisi dan menguning ini hampir masak. Sedang dituai sekarang. Lokasi, bendang padi Ulu Melaka Langkawi.

Peribahasa Melayu, ikut resmi padi makin berisi makin tunduk membawa maksud semakin tinggi ilmu dan darjat seseorang, dia tetap merendah diri serta tidak menyombong diri.