VIP Dedaun Alam

Tuesday, July 6, 2010

Kemunting Cina

Pokok kemunting cina yang berbunga putih dan ungu

Bunga kemunting cina putih


Nama Botani : Catharanthus roseus
Famili : Apocynacea

Pengenalan

Pokok kemunting merupakan tanaman hiasan yang juga dikenali dengan nama tapak dara, janda kedah, kembang sari cina, ros pantai. periwinkle, rumput jalang, madagascar periwinkle, capeperiwinkle, old-maid, rose periwinkle dan rosy periwinkle. Ia berasal dari Madagascar dan biasanya boleh dijumpai di kawasan pantai dan juga kawasan berpasir. Batangnya berkayu pada bahagian bawah dan bercabang banyak yang akan muncul dari batangnya. Daunnya berbentuk bujur memanjang dengan rerambut halus pada kedua-dua sisinya. Pokoknya membiak melalui keratan batang dan biji benih.

Kegunaan

Pokok kemunting cina warna putih dapat mengubati penyakit kanser. Daun, bunga dan buah dimasukkan dalam mulut dan dikunyah hingga lumat serta ditelan. Air yang terdapat dalam bunga, buah dan daun dapat diserap oleh sel-sel kanser dan mendesak atau menghilangkan sel-sel kanser. Rebusan daun dapat mengurangkan sakit haid dan merawat gigitan serangga.

Pokok kemunting cina mengandungi cantharanthine, leorosine, lochnerine, vindotine, akuamine, vincamine, vinleurosin dan vinrosidin. Bahan-bahan tersebut dapat mengubati dan merawat pelbagai jenis penyakit. Ia juga mengandungi vinbalistin dan vincristine yang digunakan dalam kimoterapi untuk rawatan kanser.

Pokok kemunting cina menghasilkan alkaloid vinblastine dan vinkristine yang boleh merawat leukemia dan darah tinggi. 20 gram kemunting cina putih atau merah(yang telah dikeringkan) direbus menggunakan 1000ml air dan diminum airnya dipercayai mengubati penyakit tersebut.

Pokok kemunting cina dikategorikan sebagai tumbuhan beracun. Ia hanya boleh diambil dalam sukatan yang telah ditentukan dan dibenarkan sahaja. Wanita hamil dan sedang menyusukan bayi tidak digalakkan untuk mengamalkan persediaan herba ini dan minta nasihat doktor sebelum menggunakannya.

Si Cantik & Si Buruk

Cendawan ini mempunyai warna menarik dan bulu halus. Ia kelihatan seakan batu karang yang cantik di dasar laut.

Hitam dan putih.

Dedaun Alam menampilkan sesuatu yang jarang dilihat dan diteliti oleh kita iaitu cendawan liar. Cendawan merupakan tumbuhan jenis safrofit. Kedua-dua cendawan dalam foto di atas daripada jenis yang tidak boleh dimakan kerana dipercayai bertoksik. Apa yang menarik perhatian saya ialah dalam dunia cendawan pun ada si cantik dan si buruk. Namun begitu, ia adalah tumbuhan ciptaan Allah(swt) yang sangat menarik.

Monday, July 5, 2010

Telang Biru

Pokok telang biru

Bunga telang biru yang digunakan sebagai perwarna.


Nama Botani : Clitoria ternatea
Famili : Leguminosae (Papilionaceae)

Pengenalan

Kacang telang atau butterfly pea merupakan tumbuhan jenis kekacang. Ia adalah pokok jenis memanjat atau menjalar di atas tanah. Pokok ini dikenali dengan nama pokok bunga nasi kerabu di kalangan penduduk Kelantan kerana bunganya digunakan untuk mewarnakan nasi kerabu. Pokok kacang boleh tumbuh sehingga 9 meter panjang. Ia membiak dengan cara keratan batang atau biji benih. Bunganya berwarna ungu kebiruan dan ia mengeluarkan bunga sepanjang tahun.

Kegunaan

Bunga kacang telang biru digunakan sebagai perwarna nasi kerabu atau pulut. Is juga digunakan dalam proses mewarna mengkuang(untuk kraftangan) dan kain. Bunganya juga banyak digunakan untuk menghitamkan rambut dan menyuburkan kulit kepala. Daun pokok ini boleh digunakan untuk mendapatkan warna hijau. Buah kacang muda boleh dimasak dan dimakan. Akarnya digunakan untuk melawaskan pembuangan air kecil dan dijadikan julap. Biji kacang telang yang dihancurkan dan dijadikan serbuk digunakan sebagai julap. Jika dimakan dalam kuantiti yang sedikit, ia boleh membuka selera makan.

Daunnya dan bunganya juga dikatakan dapat mengurangkan sakit kepala. Caranya, daun atau bunganya dimasukkan dalam kain hingga membentuk bantal dan digunakan untuk tidur oleh pesakit. Bunga kacang telang yang direndam di dalam air bersih, boleh digunakan untuk mecuci mata yang disebabkan oleh mata merah. Air rebusan bunganya yang diminum boleh merawat disenteri.

Bunga dan akarnya dicampur dalam air mendidih, kemudian direbus bersama sedikit gula dan diminum dipercayai dapat merangsang haid. Daun pokok ini yang dihancurkan dan ditampal pada bisul atau jerawat dapat merawat masalah tersebut. Daun telang biru yang diremdam boleh digunakan untuk mencuci mata merah.

Kandungan dalam bahagian pokok telang biru :
Daun - alkaloid dan triterpinoid
Kulit batang dan biji - alkaloid jenis toksik.
Minyak biji - asid aralidik, linoleik, asid oleik, asid palmitik, asid stearik, sitesterol
Seluruh bahagian pokok - antosianin, sparajitin, arabinos, asid amino, asid linolenik, asid stearik, beta-sitosterol, flavonol, kaempferol, klitorin, lakton, lisin, oligosakarida, protein, ramnos, ternatin, silos.

Sunday, July 4, 2010

Lok Ching

Lok ching yang dibakar di atas bara api apabila ada permintaan

Setelah masak, lok ching akan dicelup di dalam sos(pedas atau manis)

Lok ching merupakan salah satu makanan tradisional yang terdapat di Kelantan. Namanya agak unik kerana ia bukan istilah atau sebutan dalam dialek Kelantan tetapi dipercayai berasal daripada bahasa Thailand. Bahan utama untuk membuat lok ching ini adalah isi ikan. Isi ikan ini diadun bersama tepung kanji, garam dan dibentuk bulat seperti bebola ikan. Lok ching mentah akan dicucuk pada lidi dan dibakar di atas bara api. Setelah masak, ia akan dicelup ke dalam sos. Lok ching sedap dimakan ketika masih panas. Kebiasaannya penjual lok ching menggunakan basikal roda tiga atau motosikal untuk menjual lok ching di kawasan kampung atau tempat tumpuan ramai.

Pokok Tanduk

Pokok tanduk yang mempunyai daun berbentuk bulat dan panjang seakan tanduk
Nama Botani : Sansevieria cylindrica
Famili : Ruscaceae
Pokok tanduk merupakan tumbuhan hiasan landskap. Ia juga dikenali dengan nama pokok keris, pokok pedang dan pokok tanduk kijang kerana bentuknya yang tajam pada bahagian hujung batang(daun). Pokok ini juga ada nilai perubatan herba. Ia dikatakan dapat mengubati penyakit barah dan penyakit berkaitan urat. Keseluruhan bahagian pokok ini direbus. Kemudian air rebusan tersebut diminum.

Etak

Etak salai


Etak merupakan sejenis hidupan sungai. Ia biasanya mendiami kawasan berpasir di dasar semua jenis sungai. Etak berbentuk seakan lokan tetapi bersaiz lebih kecil dan rasanya juga berbeza. Untuk mendapatkan etak dari dasar sungai, sejenis alat tradisional yang dipanggil 'pengokot etok' digunakan. Ia berfungsi untuk menapis pasir dan hanya etak yang diperolehi. Alatan ini digunakan sekiranya air sungai dalam. Sebaliknya, jika air surut atau cetek, etak boleh dikutip menggunakan tangan sahaja. Etak paling popular dijadikan etak salai dan ianya sangat digemari oleh penduduk Kelantan. Ia juga boleh dijadikan bahan masakan. Etak salai (rujuk foto) diproses dengan menyalai etak di atas api / bara setelah dicampurkan bersama serai (ditumbuk), halia (ditumbuk), garam dan sedikit gula. Proses menyalai ini mengambil masa yang agak lama untuk memastikan etak masak sepenuhnya.

Friday, July 2, 2010

Jeruk Maman

Jeruk maman yang dihasilkan daripada seluruh bahagian pokok kecuali akarnya.


Jeruk maman merupakan salah satu makanan tradisional yang popular di Kelantan dan beberapa negeri di Malaysia. Jeruk maman dihasilkan daripada pokok maman sayur dengan proses menjeruk. Pokok maman biasanya ditanam selepas ladang getah dibersihkan dan dibakar. Pokok ini hidup subur di kawasan tanah berpasir terutama tanah yang bercampur dengan arang atau debu sisa pembakaran pokok getah. Untuk mengetahui cara membuat jeruk maman ini, klik
jeruk maman