Etak merupakan sejenis hidupan sungai. Ia biasanya mendiami kawasan berpasir di dasar semua jenis sungai. Etak berbentuk seakan lokan tetapi bersaiz lebih kecil dan rasanya juga berbeza. Untuk mendapatkan etak dari dasar sungai, sejenis alat tradisional yang dipanggil 'pengokot etok' digunakan. Ia berfungsi untuk menapis pasir dan hanya etak yang diperolehi. Alatan ini digunakan sekiranya air sungai dalam. Sebaliknya, jika air surut atau cetek, etak boleh dikutip menggunakan tangan sahaja. Etak paling popular dijadikan etak salai dan ianya sangat digemari oleh penduduk Kelantan. Ia juga boleh dijadikan bahan masakan. Etak salai (rujuk foto) diproses dengan menyalai etak di atas api / bara setelah dicampurkan bersama serai (ditumbuk), halia (ditumbuk), garam dan sedikit gula. Proses menyalai ini mengambil masa yang agak lama untuk memastikan etak masak sepenuhnya.