VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 19, 2014

Burung Cecawi Anting-Anting

Burung cecawi anting-anting

As salam dan salam bahagia kepada pengunjung serta pembaca blog Dedaun Alam yang terbiar untuk beberapa bulan tanpa sebarang entri serta info. Ruang masa yang agak terhad dan kekurangan bahan menjadi faktor utama. Bila lama tak menulis, terasa rindu dan semangat untuk menulis tetap ada tapi tertangguh.

Burung cecawi anting-anting seperti dalam foto di atas merupakan spesis burung yang dilindunginya sepenuhnya. Ianya juga sukar didekati untuk difotokan. Setelah beberapa cubaan, ini gambar terbaik yang dapat saya hasilkan. Itupun terpaksa main sorok-sorok dengan burung pemalu ini. Biarpun kicauan merdunya boleh didengar namun untuk mengambil gambarnya sangat sukar. Jika ternampak kelibat manusia, ia terbang lari. 

Keistimewaan burung lindungan ini adalah dapat meniru hampir semua spesis burung dan yang paling hebat ia juga mampu membuat suara seperti kucing mengiau. Untuk info lengkap boleh rujuk cecawi

Monday, April 14, 2014

Ubi Itik Segar Dari Kebun


Percubaan pertama saya tanam ubi itik membuahkan hasil yang agak memuaskan hati. Ini tuaian pertama daripada sepokok ubi itik. Tuaian yang sedikit terlambat kerana ubi sudah mula rosak. Ubi itik biasanya direbus sebelum dimakan dan jika ada kerajinan, ianya boleh dijadikan pengat.

Friday, April 11, 2014

Curi Pisang

Keadaan pisang berangan yang jadi mangsa peminat pisang yang tak berhati perut.

Kisah ini berlaku hujung tahun lepas. Ianya bermula waktu pagi apabila saya terima panggilan daripada isteri tersayang yang bertanya mengenai pisang ini. Adakah saya dah ambil atau potong buahnya. Saya bagitahu belum lagi sebab nak habiskan stok pisang raja yang ada, pisang berangan ni nak tebang lepas tu. Dia kata pisang tu ada orang potong tandannya. Terkejut juga sebab pisang pun jadi mangsa. Nak tergelak pun ada sebab orang yang potong pisang ni hanya sempat potong lima sikat di bawah, yang dua kat atas tu tertinggal. Atau mungkinkah pencuri ni Robin Hood? Tinggal sikit untuk tuan pokok. Teori saya, dia tak sempat potong semua sebab tandan pisang ni terlalu besar dan berat. Kawasan saya tanam pisang dan pokok buahan berpagar sebenarnya. 

Apa tujuan sebenar pencuri pisang ni agaknya? Nak jual untuk dapatkan wang? Berapa ringgit yang dia dapat? Atau nak makan yang percuma sebab pisang jenis mahal hargaya. Buat pencuri pisang atau peminat pisang yang tak berhati perut ni, ketahuilah apa yang kamu buat ni adalah salah dari segi hukum dan undang-undang.

Thursday, April 10, 2014

Air Terjun Temurun


Setelah lama tidak bersiaran kerana beberapa faktor seperti kekurangan bahan untuk dikongsi, kesibukan dan kekurangan kerajinan untuk menulis, Dedaun Alam kini kembali. Untuk kemunculan pertama selepas berehat, bukan kisah tentang tumbuhan atau pokok tapi mengenai keindahan alam. Air Terjun Temurun di Langkawi mungkin kurang dikenali dan ia juga kurang popular kepada penduduk tempatan kerana lokasinya yang agak jauh. Semasa saya bersama keluarga sampai di sini, hanya kami orang tempatan dan yang lainnya merupakan pelancong asing.


Aliran air terjun agak lesu semasa musim kemarau tapi keadaannya berubah setelah musim kemarau berakhir dan menerima hujan. Terjunan air terus dari puncak terus ke bawah setinggi 30 meter. Air Terjun Temurun merupakan air tejun tertinggi di Langkawi.

Saturday, September 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - 'Betik Runtuh'

Biasa dengar istilah durian runtuh dan harga runtuh kan? Kali ini ada yang baru dari kebun kecil saya, betik runtuh. Durian runtuh memberi makna kita mendapat hasil yang lumayan/banyak dalam satu masa. Betik runtuh ni asalnya gugur dari pokoknya yang hampir tumbang. Pokok betik yang ditanam menggunakan biji benih betik MARDI berbuah dengan lebat. Semua orang yang melihat pokok dan buahnya pasti teruja dan kagum dengan buahnya. Pokok betik ini dah beberapa kali condong dan menyenget tapi tuan dia tongkat dengan dua batang kayu penyangga sebesar paha untuk mengelak daripada terus menyembah bumi. Semalam, selepas hujan lebat ianya tumbang ke arah yang tak disokong oleh kayu penyangga. Nasib baiklah ia tak terus menyembah bumi kerana tertampan/tersangkut pada pagar chainlink. Hentakan yang kuat menyebabkan buah-buahnya yang berat dan besar terlucut dan terputus dari tangkai. 1/3 buahnya gugur ke bumi. Tuan dia dapat betik runtuh..hehe..
Ini antara faktor yang menyebabkan pokoknya tumbang. Dalam satu tangka ada tiga biji buah yang besar. Tiga biji buah dalam setangkai ni dah hampir 10 kg.

Tuesday, September 3, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Keladi Johor


Keladi Johor yang ditanam beberapa bulan yang lalu membesar dan membiak dengan banyak. Bila tiba musim hujan ia membiak dengan cepat dan banyak dan tiba masanya untuk dituai. Hanya anak-anak keladi dan sulurnya dituai, pokok induk dibiarkan. Keladi Johor yang dituai ini telah pun selamat dimasak asam pedas. 

Thursday, August 22, 2013

Duku Palembang, Rindu Terlerai

Duku palembang merupakan spesis duku yang jarang ditemui ditanam. Duku jenis ini menjadi kegemaran kami sekeluarga. Pokok ini adalah generasi kedua dan dibawa dari kampung asal bonda saya di Pasir Mas. Generasi ketiga pokok ini ditanam oleh saya sebanyak 8 pokok di tempat saya tinggal sekarang untuk meneruskan legasinya. Anak-anak pokok yang ditanam berasal daripada pokok di foto ini.

Disebabkan saya tinggal jauh dari kampung, rindu pula nak makan buah duku palembang ni. Dah bertahun tak merasa kerana masa balik kampung, buahnya tiada kerana bukan musim berbuah atau telah lepas masanya. Dapat tengok pokok dan daun je.. Balik beraya tahun ni, buah duku palembang baru nak masak. Pagi-pagi raya pertama, saya terus petik buah duku yang masak(bukannya betul-betul masak lagi). Tu pun kena pilih sebab dalam setangkai(rujuk foto), buahnya ada yang masak dan belum masak sepenuhnya. Tak kisahlah janji dapat makan. Untuk info, buah duku palembang bersaiz kecil(besar sikit daripada guli kaca), isinya pejal dan lebih manis daripada dokong.

Isinya memang sedap dan manis. Tak percaya tanya la tebuan ni..hehe.. Serangga penghisap madu ni pun teruja dengan kemanisan buah duku palembang yang masak.