VIP Dedaun Alam

Showing posts with label rambutan masam. Show all posts
Showing posts with label rambutan masam. Show all posts

Thursday, July 28, 2011

Aku Yang Disisihkan


Namaku rambutan masam. Ada juga orang yang panggil aku, rambutan telan dan rambutan rakyat. Aku daripada spesis Nephelium dalam famili Sapindaceae. Aku ada saudara rapat, ia juga sama sepertiku..masam tapi kulitnya berwarna kuning apabila masak dan saiznya besar sikit berbanding aku yang kecil molek ni. Buahku berwarna hijau ketika muda dan merah setelah masak. Rasaku masam...tidak manis seperti saudara maraku yang lain, rambutan anak sekolah, gading, gula batu dan pulasan. Aku masih ingat dulu aku jadi rebutan ramai kerana ketika belum banyak klon saudaraku yang baru. Setelah klon rambutan anak sekolah mula dibawa masuk dari Thailand awal 80-an, aku makin terpinggir. Rasaku yang masam membuatkan orang tak pilih aku untuk dimakan..apatah lagi dijual. Biarpun buahku tidak jadi rebutan ramai, aku tetap berbuah lebat saban tahun tanpa jemu dan berkecil hati. Setidak-tidaknya masih ada lagi yang sudi untuk menjadikan aku sebagai santapan. Aku lihat tupai dan kelawar makan buahku yang masak. Dek kerana buahku yang lebat dan telah ranum, bertaburan gugur ke tanah...terbiar dan ada yang bercambah untuk meneruskan kelangsungan. Biasanya tidak lama kerana anak-anak kecilku akan dicabut oleh tuanku. Kalau tak, penuhlah dengan anak-anak di bawah rimbunan daun dan dahanku. Cuma aku terus berharap dan berdoa agar tuan aku tidak menamatkan riwayatku. Biarlah aku terus berbuah lebat biarpun disisihkan...

Monday, July 19, 2010

Rambutan Cinta Melengung

Buah rambutan telan atau masam yang masak mengundang rasa ingin untuk mencuba rasanya.

Saiz buah yang lebih kecil dan rasa isinya agak masam

Rambutan cinta melengung?? Mungkin ini kali pertama pembaca Dedaun Alam mendengarnya. Begitu juga dengan penulis yang teruja dengan nama indah bagi rambutan ini. Nama indah bagi buah rambutan ini sebenarnya diberikan oleh ibu saudara isteri penulis. Mengapa ia diberi nama sedemikian? Biasanya ia dikenali dengan rambutan telan atau rambutan masam. Mungkin ada nama yang berbeza diberikan untuk rambutan ini di tempat/negeri lain. Rambutan ini rasanya masam dan isinya tidak lekang daripada biji. Saiznya juga lebih kecil berbanding rambutan biasa. Terdapat dua jenis rambutan masam atau rambutan telan ini iaitu kulit berwarna merah dan satu lagi berwarna kuning apabila masak. Rambutan ini jika dimakan ia ditelan bersekali dengan bijinya. Rambutan jenis ini mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi muda sekarang. Selain dimakan segar, rambutan ini boleh dijadikan jem. Ok, nama rambutan cinta melengung diberi kerana apabila kita melihat buahnya yang masak dan merah, kita rasa teringin(cinta) untuk makan. namun setelah buah dimakan, kita jadi 'melengung' (termenung atau terkedu) dek kerana rasanya yang masam.