Pokok kelapa laut atau tal ini ditanam di Rantau Panjang, Kelantan.
Inilah rupa buah kelapa laut yang masih segar. Foto ini diambil di Cameron Highland dan semua kelapa laut ini dibawa dari Perak.
Buah kelapa laut ini saya beli dengan harga RM13 sebiji! Isirungnya tidak seperti yang saya harapkan, masih terlalu kecil.
Nama Botani : Borassus Flabellifer
Famili : Palmaceae
Pengenalan
Pokok kelapa laut atau dikenali dengan nama tal bagi penduduk Kelantan ini merupakan sejenis pokok palma yang biasa dijumpai ditanam di kawasan sawah padi di pantai timur dan utara Malaysia. Ia merupakan antara tumbuhan yang menjadi sumber utama manisan selain daripada kelapa dan tebu. Kelapa laut ditanam secara kemersial di Thailand. Pokok kelapa laut mencapai ketinggian sehingga 13 meter. Ia juga mempunyai daun yang besar dan cantik serta berbentuk seakan mahkota. Pokok kelapa laut mengeluarkan bunga dan berbuah setelah berumur kira-kira 14 tahun dan ia mampu hidup melebihi 100 tahun. Buahnya agak besar (rujuk foto) dan biasanya mengandungi 3 biji benih didalamnya. Lapisan dalam tempurungnya mengandungi isirung yang boleh dimakan. Ia membiak melalui biji benih dan percambahannya mengambil masa lebih kurang 4 bulan.
Kegunaan
Pokok kelapa laut sebenarnya mempunyai nilai komersil yang tinggi. Daun tal banyak digunakan sebagai tempat menulis sebelum kertas dicipta. Daun kelapa laut juga boleh digunakan untuk membuat kipas, atap rumah, tikar, topi, beg dan bakul.
Selain itu, daun pokok ini banyak mengandungi kalium juga digunakan sebagai baja hijau untuk sawah padi. Pipit serunai dan daun pipit, iaitu dua jenis alat muzik boleh juga dibuat dari daun pokok ini. Sabut juga boleh dibuat dari beberapa bahagian pokok ini. Sabut boleh didapati daripada batang daun, kulit buah , batang pokok, daun. Sabut panjang dari batang daun boleh dibuat tali dan berus.
Mayang atau manggarnya dipotong untuk mengeluarkan nira yang boleh dijadikan minuman setelah ditapis. Gula kelapa laut ini mengandungi lebih 80 peratus sakaros(sejenis sukros). Niranya juga boleh dijadikan manisan dan bentuk pepejal yang dipanggil gula melaka. Isirung buahnya boleh dimakan secara segar, dicampurkan dalam minuman atau yang telah ditinkan. Nira ini juga boleh proses sebagai minuman yang memabukkan yang dikenali sebagai tuak masam(todi).
Nira yang kurang penapaian boleh digunakan sebagai yis untuk membuat roti. Penapaian yang berlaku dalam jangka masa beberapa bulan boleh menghasilkan cuka. Di Indo-china, nira kelapa laut diminum untuk mencegah sembelit. Air rebusan tandan bunga atau akar diminum untuk melawaskan pembuangan air kecil. Niranya juga dipercayai boleh digunakan sebagai ubat untuk membunuh cacing dalam perut, malaria dan limpa bengkak. Buahnya yang dihancurkan dan cecair di perah keluar digunakan untuk mengubati bisul.