Kampung Mawat. Foto diambil dari tengah bendang pada pada 01 Julai 2011. Di kampung inilah Mahsuri binti Pandak Mayah dilahirkan pada tahun 1700-an.
Pada tahun 1700-an, Kampung Mawat merupakan perkampungan tradisional. Ia adalah tempat di mana Mahsuri dilahir dan dibesarkan. Mungkinkah bendang padi ini tempat permainan Mahsuri bersama kawan-kawannya. Sekarang Kampung ini telah banyak berubah, bangunan di sebelah kanan foto ialah Ampitheater Kota Mahsuri. Di tengah-tengah foto terletaknya rumah asal keluarga Mahsuri yang masih ada sehingga sekarang(terpelihara dalam Kota Mahsuri).
Lagenda Mahsuri tidak dapat dipastikan bila ianya berlaku kerana tiada rekod secara bertulis yang ditemui dan kisah mengenai Mahsuri hanya bergantung kepada sumber lisan. Ada sumber yang menyebut peristiwa ini berlaku pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1798). Satu lagi sumber menyatakan ianya berlaku semasa pemerintahan Sultan Tajuddin Halim Shah II ( 1804-45 ).
Di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka tinggal sekeluarga tiga beranak. Si bapa bernama Pandak Mayah, isterinya Mak Andak Along dan seorang anak perempuan bernama Mek Yah. Keluarga miskin ini menjalankan kegiatan pertanian sebagai sumber rezeki iaitu berhuma, bercucuk tanam, dan mencari hasil dari hutan. Nasib keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya yang hilang. Ketika mencari kerbaunya yang hilang, dia berhnti rehat di sebuah pondok dan di situ Pandak Mayah terjumpa kerak nasi yang dikatakan Maya Padi (semangat Padi). Dalam masyarakat Melayu, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu dihormati. Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi yang ditanak. Apabila mereka memakan nasi yang dicampur Maya Padi ini, ia telah mengubah nasib keluarga Pandak Mayah. Rezekinya mula bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi. Dan di sinilah lagenda Mahsuri bermula.......