VIP Dedaun Alam

Sunday, October 31, 2010

Katak Puru @ Nam Nam

Buah katak puru yang berbentuk seakan karipap.


Bunga katak puru dari pokok di atas. Foto ini diambil sebelum adanya buah di atas.


Nama Botani : Cynometra Cauliflora
Famili : Leguminosae

Pokok katak puru atau nam nam dipercayai berasal dari Asia Tenggara dan India. Pokok dan buah katak puru ini tergolong dalam kumpulan nadir kerana ianya semakin sukar untuk dijumpai. Pokok katak puru mempunyai ketinggian yang sederhana iaitu kira-kira 3 meter. Ia jenis tumbuhan yang membesar dengan kadar yang sangat perlahan. Untuk mencapai ketinggian 2 meter ia mengambil masa lebih kurang 20 tahun. Pokok ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun. Bunganya keluar secara berjambak pada bahagian pangkal batang, batang dan dahan. Semasa kecil, buahnya berwarna hijau gelap dan setelah masak ia menjadi hijau kekuningan. Apabila masak, buah katak puru atau nam nam akan gugur. Ia mempunyai rasa masam manis.

Friday, October 29, 2010

Pokok Ubat Darah Tinggi?

Pokok herba ini dikatakan dapat mengurangkan tekanan darah tinggi


Pokok herba semusim yang biasanya tumbuh meliar ini sebenarnya penulis tidak mengetahui nama panggilannya. Tiada sebarang rujukan yang penulis temui mengenai tumbuhan renek ini. Pokok ini hanya berketinggian sekitar 30cm dan apabila ia mengeluarkan bunga, pokoknya akan mati setelah semua bunganya mekar. Satu-satunya khasiat yang penulis tahu mengenai pokok ini adalah pucuknya dimakan sebagai ulam untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Dan kerana itulah pokok ini dikenali dengan nama 'pokok ubat darah tinggi'. Jika ada pembaca yang mengenali dan tahu nama sebenar pokok ini, sila beri komen. Terima kasih. 

Sunday, October 24, 2010

Bunga Part XII

Dedaun Alam sekali memperkenalkan bungaan yang terdapat di Malaysia. Ada yang ditanam sebagai pokok hiasan, herba dan ada daripada pokok liar.


Bunga kecil berwarna kuning lembut ini merupakan bunga daripada pokok yang tumbuh secara meliar di kawasan terbuka seperti padang atau sawah padi. Pokok ini akan berbunga dalam jumlah yang banyak dan mekar hanya selepas pukul 10 pagi dan layu pada sebelah petang. Hari berikutnya bunga yang lain pula akan mekar. Yang menariknya, pokok ini bersaiz bonsai dan bentuk pokok yang cantik.


Bunga kecil daripada pokok hiasan berpasu yang biasa ditanam sebagai hiasan landskap rumah.

Kenal tak bunga ini? Tidak ramai mengenali dan pernah melihat bunga averrhoa carambola yang cantik ini.

Thursday, October 21, 2010

Jantung Pisang

Jantung pisang kapas

Jantung pisang sebenarnya adalah bunga pokok pisang (musa sp.). Bunga pisang ini mempunyai banyak lapisan kelopak yang melindungi barisan bunga di dalamnya. Bunga pisang yang berbentuk jantung ini akan berterusan mengeluarkan bunga sekiranya tidak dipotong daripada tandan buah. Bunga pisang atau lebih dikenali dengan nama jantung pisang ini mempunyai khasiat dan kegunaannya. Ia biasanya dijadikan ulam(setelah dicelur), kerabu, teresek(masakan tradisional Kelantan), gulai dan pelbagai jenis masakan. Namun begitu bukan semua jenis jantung pisang yang boleh dimakan kerana terdapat beberapa jenis pokok pisang mengeluarkan jantung yang rasanya pahit atau sangat kelat. 

Jantung pisang mengandungi 1.2% protein, 0.3% lemak, 7% karbohidrat, fosfurus dan zat besi. Jantung mampu memberi tenaga kepada kita dan ia juga dikatakan baik untuk jantung, hati dan buah pinggang.

Wednesday, October 20, 2010

Mengkuang Laut

Pokok mengkuang laut yang biasanya tumbuh di tepian pantai.



Nama Botani : Pandanus odoratissimus
Famili : Pandanaceae

Pengenalan

Mengkuang laut merupakan tumbuhan daripada keluarga pandan yang berasal dari Asia Tenggara. Pokok mengkuang laut biasanya hidup dan tumbuh secara meliar di kawasan tepi pantai dan kawasan paya berhampiran dengan laut. Pokok ini mampu mencapai ketinggian sehingga 5 meter. Ciri pokoknya hampir sama dengan mengkuang biasa tetapi batang pokok mengkuang laut mempunyai banyak cabang. Ia membiak melalui biji benih dan tunas pada dahan. Biji benih pokok mengkuang laut boleh terapung di atas air dan ia tersebar secara meluas ke pantai-pantai lain.

Kegunaan

Pokok mengkuang laut yang mempunyai bentuk menarik ini dijadikan sebagai pokok hiasan landskap. Daun pokok mengkuang laut boleh digunakan untuk membuat tikar dan kraftangan. Bunga jantan pokok mengkuang laut berbau wangi dan manis seperti bau bunga mawar. Bunga jantan ini boleh dijadikan bahan campuran dalam minuman dan makanan. Akar mengkuang laut bersifat antipyretic, expectorant dan diuretic.

Tuesday, October 19, 2010

Tokke (Siri Ke 2)


Tokke atau tokek ini sebenarnya tokke yang pernah muncul sebagai entri blog sebelum ini. Ini adalah kali ketiga tokke ini menayang wajahnya. Kali kedua, penulis tak sempat untuk mengambil gambarnya kerana ia terus menghilangkan diri. Kemunculan kali ketiga ini agak lama dan seolah-olah ia membiarkan penulis mengambil gambar dari pelbagai sudut. Paling ketara perubahan pada tokke ini ialah saiznya.

Ia dah besar dan cantik. Panjang badannya kira-kira 0.3 meter. Beratnya? Tidak pula penulis tahu sebab tak menimbangnya. Sekarang kisah mengenai tokke sudah tidak hangat seperti sebelum ini.

Thursday, October 14, 2010

Kunyit Hitam

Pokok kunyit hitam. Daunnya mempunyai palitan kehitaman dan rizomnya berwarna hitam.


Nama Botani : Curcuma Caesia
Family: Zingiberaceae

Pengenalan

Kunyit hitam merupakan tumbuhan bermusim yang jarang ditemui. Di Malaysia dua jenis kunyit hitam yang mempunyai nilai dalam perubatan tradisional iaitu kunyit hitam seperti dalam foto di atas dan kunyit hitam yang mempunyai warna kehitaman pada keseluruhan bahagian pokok. Kunyit hitam yang berwarna hitam pada seluruh bahagian pokok ini yang paling sukar dijumpai dan ianya sering dikaitkan dengan perkara mistik. Kunyit hitam ini berdaun agak runcing dengan tangkai daun yang panjang. Ketinggiannya sekitar 30cm sahaja. Pokok kunyit hitam yang asli ini ada ditanam oleh penulis dan masih hidup di kampung halaman penulis. Kunyit hitam seperti dalam foto di atas mempunyai daun yang agak lebar berwarna hijau dengan sedikit palitan kehitaman pada bahagian atas daun. Rizomnya berwarna hitam keseluruhan bahagian. Kunyit hitam tersebut sebenarnya diperolehi daripada seorang pengamal perubatan tradisional Melayu yang memberikannya kepada isteri penulis untuk ditanam pada awal tahun ini. Pokok ini membiak melalui rizom dan pecahan rumpun.

Kegunaan

Bahagian yang sering digunakan untuk perubatan adalah rizomnya tetapi daunnya juga mempunyai nilai dalam perubatan tradisional. Rizom kunyit hitam ini dipercayai dapat digunakan dalam rawatan kanser payudara, ketumbuhan pada sendi dan penyakit kusta. Rizomnya juga boleh digunakan untuk kuruskan badan. Ia juga boleh merawat denggi berdarah. Rizom kunyit hitam ditumbuk bersama-sama beberapa jenis herba lain dan dicampur dengan sedikit air dan garam. Campuran tersebut kemudian ditapis dan diminum oleh pesakit demam denggi berdarah.

Thursday, October 7, 2010

Temu Putih

Pokok temu putih mempunyai ciri yang hampir sama dengan temu lawak.

Rizom temu putih berwarna putih kebiruan


Nama Botani : Curcuma zedoaria (Christm.) Roscoe
Famili : Zingeberaceae

Pengenalan

Temu putih merupakan tumbuhan herba bermusim yang tumbuh secara meliar dan berasal dari Asia Tenggara. Pokok dari famili zingeberaceae ini tumbuh secara berumpun dan mempunyai rizom di dalam tanah. Pokok temu boleh mencapai ketinggian melebihi 2 meter. Daunnya jenis tunggal, mempunyai pelepah yang membentuk batang, berwarna hijau tua. Setiap pokok biasanya mempunyai 2-9 helai daun yang berbentuk panjang, lebar dan runcing pada kedua-dua bahagian hjung dan pangkal. Daunnya berwarna hijau dan mempunyai corak coklat ungu pada bahagian tengah daun. Rizom temu putih berwarna coklat gelap dan bahagian dalamnya putih atau putih kebiruan.

Kegunaan

Rixon temu putih ini dikatakan mampu untuk mengawal pertembuhan sel penyakit kanser. Ia juga boleh merawat kesakitan semasa kedatang haid dan juga dapat mengatasi masalah tidak datang haid (anemore) akibat aliran darah yang tersumbat. Temu putih ini digunakan sebagai herba untuk pembersihan darah selepas bersalin. Ia juga dapat mengatasi masalah penghadaman, angin dalam perut, sakit perut, luka kecil, sakit gigi, radang tekak dan batuk. Temu putih ini juga bersifat anti oksidan yang dapat melindungi tubuh dari kerosakan sel. Rizomnya juga digunakan untuk merawat radang kulit, pencuci darah, ubat herba pembersih dan penguat tenaga selepas bersalin.

Tuesday, October 5, 2010

Oak Leaf Fern

Pokok oak leaf fern mempunyai dua jenis daun.

Nama Botani : Drynaria quercifolia
Famili : Dryopteridaceae

Pengenalan

Pokok oak leaf fern merupakan tumbuhan paku pakis jenis epifit. Ia tumbuh dengan menumpang pada pokok lain atau batuan. Pokok ini mempunyai dua jenis daun iaitu berbentuk sarang dan daun biasa. Daun sarang mempunyai jangka hayat yang singkat. Apabila daun ini telah mati, ia akan bertukar menjadi warna coklat keperangan, keras dan bersusun. Daun ini berfungsi sebagai pelindung kepada rizom / akar pokok ini yang tumbuh secara menjalar. Ia juga berfungsi sebagai perangkap makanan untuk pokok ini dan juga berfungsi untuk menadah air hujan serta mengalirkan terus air hujan dan nutrien ke bahagian akar. Daun biasa yang berwarna hijau berguna untuk proses fotosintesis dan mengeluarkan spora bagi pembiakan semulajadi pokok ini.

Kegunaan

Pokok oak leaf fern ini biasanya dijadikan sebagai pokok hiasan kerana keunikan bentuk daunnya yang seperti daun oak. Daun sarang yang keras dan ringan daripada pokok ini pula sering digunakan sebagai layang-layang. Penulis sendiri pernah menerbangkan layang-layang yang dibuat daipada daun pokok ini semasa kanak-kanak dulu.

Sunday, October 3, 2010

Bunga Part XI

Telah lama Dedaun Alam tidak memperkenalkan bungaan kepada pembaca. Dalam siri ini, bunga-bunga adalah daripada pokok yang sedia ada dalam entri Dedaun Alam sebelum ini dan bungaan liar.

Bunga kecil ini merupakan bunga mata itek

Bunga berbentuk bintang berwarna putih ini adalah daripada pokok terung pipit

Bunga pokok kacang tutup bumi. Bunganya bersaiz kecil.


Bunga berwarna lembut dan cantik adalah bunga kekacang liar