VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 30, 2011

Pisang Rebus

Pisang nipah rebus


Pisang rebus antara makanan tradisonal yang semakin dilupai oleh generasi kini. Malah ada yang tidak pernah tahu kewujudannya sebagai makanan. Ia sangat popular pada zaman dahulu terutama ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu (kini Malaysia). Semasa penjajahan Jepun, pisang dan ubi rebus menjadi salah satu makanan utama kerana ketiadaan stok beras. Pisang yang direbus biasanya daripada jenis masam dan berkulit tebal seperti pisang nangka, pisang abu, pisang nipah, pisang awak dan pisang jari buaya. Pisang rebus dimasak dengan cara yang agak mudah. Pisang mengkal atau masak dipotong pada bahagian tangkai dan hujung buah, bersihkan dan masukkan ke dalam periuk. Tambah air sehingga pisang hampir tenggelam, bubuh sedikit garam kasar dan direbus sehingga masak(empuk). angkat, toskan dan boleh dimakan ketika masih panas. Ia juga sedap dimakan ketika sejuk. Jika pisang rebus darpada buah pisang mengkal, ia boleh dicacah bersama kelapa parut yang dicampur sedikit garam dan gula.

Saturday, November 26, 2011

Melur Susun @ Duke Of Tuscany


Bunga melur susun daripada spesis jasminum sambac varieti duke of tuscany. Bau bunga melur susun tidak sekuat bunga melur biasa. Baca info bunga melur di sini.

Friday, November 25, 2011

CHOGM Park - 22 Tahun Telah Berlalu...

Taman CHOGM dibina sempena CHOGM yang berlangsung di Langkawi pada tahun1989.

Terletak bersebelahan masjid Al-Hana di Kuah, taman CHOGM diwujudkan untuk memperingati Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel yang diadakan di Langkawi pada Oktober 1989. CHOGM adalah sidang kemuncak dwitahunan yang disertai semua ketua kerajaan dari negara-negara Komanwel. Setiap dua tahun, mesyuarat ini akan dikendalikan oleh negara ahli yang berbeza dan biasanya dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Presiden. Sebagai kenangan, delegasi dari negara yang bermesyuarat di sini menanam pelbagai jenis pokok di taman ini. Kini telah lebih dua dekad berlalu, pokok-pokok yang ditanam telah membesar dan ada yang mati. Kebanyakan pokok yang ditanam adalah pokok tanjung. Setiap pokok ditandakan nama dan negara asal penanamnya.

Wednesday, November 23, 2011

Buah Nona

Nona yang telah masak.

Buah nona yang dah masak dipetik dari pokok ini. Ia dipetik semasa hampir masak untuk mengelakkan daripada dimakan oleh haiwan yang berminat dengan kesedapannya. Diperam selama sehari dan apabila masak, kulit buah nona yang ketika muda berwarna hijau gelap berubah menjadi hijau kemerahan. Rasa buah nona ini jauh lebih manis berbanding durian belanda dan nona serikaya(sekaya). Tekstur isinya lebih kurang sama dengan saudara terdekatnya tetapi rasanya manis bersari.

Monday, November 21, 2011

Bagai Kaduk Naik Junjung


Bagai kaduk naik junjung dalam peribahasa Melayu membawa maksud orang hina yang dimuliakan atau mendapat keistimewaan sehingga dia lupa diri dan asal usulnya. Sebenarnya peribahasa ini tercipta daripada permerhatian orang lama tentang alam dan kehidupan. Pokok kaduk dibandingkan dengan sirih yang mempunyai ciri dan bentuk pokok yang serupa. Sirih jenis pokok memanjat manakala kaduk tumbuh melata di atas tanah. Pokok sirih yang ditanam biasanya dipasang kayu pancang (dikenali sebagai junjung) untuk membolehkan pokok sirih memanjat dan mencengkam kayu pancang. Pokok kaduk lebih kecil tetapi sifatnya berdikari kerana ia tidak memerlukan kayu pancang sebagai sokongan untuk berdiri tetapi apabila ada junjung disebelahnya, ia akan menggunakan junjung tersebut. Kaduk akan membesar bersama junjung dan terlupa seandainya junjung patah atau rebah, ia turut sama rebah kerana batang pokok kaduk sudah tidak dapat menanggung berat yang selama ini disokong oleh junjung. Selagi ada junjung, kaduk terus lupa diri... Dalam kehidupan kita, ada yang bersifat seperti kaduk naik junjung ini.

Wednesday, November 16, 2011

Patah Tumbuh Hilang Berganti


Kata orang, yang patah tumbuh, hilang berganti. Maksudnya, akan ada pengganti bila kehilangan sesuatu. Yang patah, akan tumbuh tunas baru. Yang hilang akan ada pengganti walaupun tak sama dan serupa. Dan mungkin juga yang hilang tak akan berganti dan yang patah tidak tumbuh tunas baru. Pokok betik dalam foto ini patah kerana beban buahnya yang lebat dan ketinggiannya lebih 10 meter. Apabila angin bertiup agak kencang, batangnya sudah tidak mampu menanggung berat buahnya yang banyak dan besar. Tunas yang bercambah sebenar telah ada beberapa bulan sebelum pokok ini patah seolah-olah tahu kejadian malang bakal menimpanya. Buah betik masak daripada pokok ini biasanya menjadi habuan sang burung kerana buahnya terlalu tinggi untuk dikait. Burung gembala kerbau, merbah kapur dan burung melilin kini telah hilang sumber rezeki alam untuk sementara waktu.... Menanti yang tumbuh itu membesar dan berbuah.

Tuesday, November 15, 2011

Laksa Langkawi

Laksa utara versi original dari Langkawi.

Laksa adalah antara makanan tradisonal orang Melayu yang cukup terkenal di serata negara. Setiap negeri ada laksa dengan resepi yang tersendiri. Biasanya ia mempunyai rasa yang berbeza-beza mengikut negeri, daerah dan orang yang memasaknya. Laksa utara versi asal dari Langkawi ini berbeza dengan laksa utara yang biasa. Ikan yang dipilih untuk dijadikan kuah adalah kombinasi daripada dua jenis ikan iaitu ikan temenung (ikan kembung) dan ikan kebasi. Rasanya tak ramai yang mengenali ikan kebasi. Ikan kebasi juga dikenali dengan nama ikan selangat. Jika belum kenal ikan jenis ini, sila buat carian di internet dengan kata carian, ikan kebasi atau ikan selangat. Kuah laksa tidak akan sempurna jika tidak dimasukkan bunga phaeomeria speciosa dan daun persicaria odorata. Ia juga mesti disekalikan dengan beberapa jenis ulaman seperti pucuk ketereh (gajus), mentimun, bawang besar yang dipotong nipis dan lada burung (cili padi atau cabai Melaka). Dan tidak lupa telur ayam rebus. Laksa dalam foto menggunakan telur ayam kampung.