Lalang yang sering dianggap pengacau kepada tumbuhan lain
Nama Botani : Imperata cylindrica
Famili : Gramminae
Pengenalan
Lalang merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga rumput yang tumbuh liar dihampir semua tempat terutama kawasan terbuka. ia juga mampu tumbuh subur di kawasan kurang subur. Ia dikenali sebagai jenis rumput yang paling degil kerana bukan mudah untuk memusnahkan pokok ini. Hanya beberapa jenis racun yang boleh digunakan untuk membunuh pokok lalang. Jika lalang tumbuh di ladang atau kebun, ia akan menganggu tanaman lain. Lalang mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat berbanding rumput atau pokok lain. Ia membiak dengan pantas dan tanpa disedari kerana pembiakannya melalui akarnya yang berada didalam tanah. Ia juga membiak melalui biji benih yang diterbangkan oleh angin pada jarak yang agak jauh.
Kegunaan
Walaupun kehadiran pokok lalang tidak disukai tetapi ia sebenarnya mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional. Ia boleh dijadikan sebagai penawar pelbagai penyakit. Akar lalang yang dicampurkan dengan kemenyan dan dibakar, kemudian dibancuhkan dengan sedikit air dan tampalkan pada bahagian bawah pusat dipercayai dapat mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin. Air rebusan akar lalang yang dicampur bersama madu dan diminum boleh merawat asma.
Untuk melawaskan pembuangan air kecil, akar lalang bersama daun pokok dukung anak yang dikeringkan direbus dan kemudian diminum. Akar lalang yang dikeringkan, direbus dan diminum ketika panas sebanyak satu sudu dikatakan dapat meredakan demam. Secekak akar lalang direbus dalam 4 gelas air sehingga menjadi 2 gelas air, dicampurkan dengan gula batu atau madu dan diminum 3 kali sehari juga boleh digunakan untuk merawat demam. Daun lalang dibakar sehingga menjadi abu dan ditampal pada bahagian berkenaan dapat merawat sengal tulang, otot dan urat.
Untuk menurunkan tekanan darah tinggi, air rebusan akar lalang diminum tiga kali sehari. Akar lalang yang ditumbuk sehingga hancur dan di tampal pada luka dapat menyembuhkan luka tersebut. Air rebusan akar lalang yang dicampur dengan air (kira-kira satu baldi) dan digunakan untuk bilasan mandi dapat memberi kesegaran pada kita. Akar lalang juga dikatakan dapat meningkatkan tenaga batin dengan mencampurkannya bersama ramuan lain. Bahan campuran tersebut direbus dan diminum.