VIP Dedaun Alam

Tuesday, March 16, 2010

Mengkudu Daun Besar @ Noni

Pokok mengkudu daun besar atau noni

Buah noni atau mengkudu daun besar ini yang biasa dibuat jus bukannya daripada buah mengkudu daun kecil

Nama Botani : Morinda citrifolia Linn
Famili : Rubiaceae
Nama Lain : Noni (Hawaii, Polynesia), Nono (Tahiti), Lada (Guam), Indian Mulberry (India), Painkiller tree (Kepulauan Caribbean), Cheesefruit (Australia), Bumbo (Afrika), Kura (Fiji).

Pengenalan

Mengkudu merupakan sejenis tumbuhan yang biasa di jumpai tumbuh meliar di kawasan kampung, kebun dan di kawasan beriklim tropika. Terdapat dua jenis mengkudu yang biasa ditemui hidup di Malaysia iaitu mengkudu kecil dan mengkudu besar. Di Australia, mengkudu dikenali dengan nama cheese fruit kerana bau buahnya yang telah masak seakan bau keju. Mengkudu termasuk dalam golongan pokok saka dan ketinggian mencapai 7 meter. Bunga mengkudu bersaiz kecil, berwarna putih dan baunya agak wangi. Buahnya berbentuk bujur dengan permukaan kulitnya menggerutu. Ketika muda buahnya berwarna hijau dan akan bertukar menjadi kuning apabila masak. Mengkudu membiak melalui keratan batang dan biji benih. Ia akan mula mengeluarkan buah setelah berumur kira-kira 3 tahun dan akan mengeluarkan buah sepanjang tahun selama lebih dari 25 tahun.

Kegunaan

Pucuk muda mengkudu biasanya dijadikan sayuran, ulaman dan kerabu. Pucuk atau daun muda mengkudu mengandungi khasiat makanan tinggi. Dalam tiap-tiap bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 89.1 gram (g), protein 3.9 g, lemak 0.6 g, karbohidrat 2.2 g, serat 3.o g, kalsium 114 miligram (mg), fosforus 14 mg, ferum 2.8 mg, natrium 18 mg, kalium 234mg, karotena 3619 ug, vitamin A 603 ug, vitamin B1 1.5 mg, B2 0.32 mg niasin 1.0 mg vitamin C 115 mg.

Mengkudu mula digunakan sebagai ubatan dikepulauan pasifik selatan, kemudian di China dan India. Mengkudu digunakan dalam perang dunia kedua oleh tentera yang berada di kepulauan Polenisia untuk mengelakkan keletihan dan menguatkan badan. Dikepulauan Carribean mengkudu dikenali sebagai 'pain killer tree' dan ia digunakan untuk meredakan kesakitan akibat demam, bengkak dan terseliuh. Di Malaysia mengkudu biasanya dijadikan penawar untuk masalah kencing tidak lawas, senggugut dan pendarahan. Daun mengkudu juga biasa dijadikan campuran mandian untuk perempuan selepas bersalin untuk memulihkan kecergasan badan. Daunnya biasa dijadikan alas batu tungku, dikatakan dapat membantu mengeluarkan darah nifas selepas bersalin. Mengkiut hasil kajian, mengkudu mempunyai khasiat untuk mencegah diabetes, barah, hipertensi, asma dan rheumatik. Pengambilan jus mengkudu juga boleh mencegah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan hormon seperti nyanyuk dan juga melambatkan proses penuaan.

Kini, buah mengkudu telah dikomersialkan dalam bentuk jus kerana khasiatnya untuk kesihatan. Jus mengkudu mengandungi 60% air dan ia selamat untuk diminum pada bila-bila masa. Jus buah mengkudu akan merendahkan kandungan glukosa dalam darah. Bagi pesakit diabetes yang mengambil insulin, amalan meminum jus mengkudu perlu pemantauan kandungan glukosa dalam darah kerana ia boleh mendatangkan kesan sampingan.

Friday, March 12, 2010

Bayam Duri

Pokok bayam duriPosted by Picasa

Nama Botani : Amaranthus spinosus L.
Famili : Amaranthaceae

Pengenalan

Pokok bayam duri adalah tumbuhan yang hidup meliar di kawasan sekitar rumah, kawasan atau padang terbiar dan tepi jalan. Pokok bayam duri mempunyai ciri daun yang sama dengan pokok bayam sayur tetapi ia bersaiz lebih kecil. Bahagian batang pokok bayam duri terdapat duri-duri kecil. Tinggi pokok ini di antara 30 hingga 100 cm. Batangnya berwarna hijau atau kemerahan, bercabang-cabang dan berduri. Ia membiak melalui biji benih.

Kegunaan

Akar pokok bayam duri rasanya manis, pahit dan sejuk. Ia boleh digunakan untuk mereda demam(antipiretik), diuretik, melancarkan perjalanan haid, ekspektoran, antitoksik, mengurangkan bengkak dan pembersih darah.

Pokok bayam duri mengandungi amarantin, rutin, spinasterol, hentriakontan, tanin, kalium nitrat, kalsium oksalat, garam fosfat, zat besi, serta vitamin A, Vitamin C, Vitamin K dan Vitamin B6.

Akar bayam duri juga digunakan untuk merawat desentri, cirit birit, sakit tekak, sakit gigi, demam; radang saluran nafas(bronkitis), keputihan(leukorea), radang rahim; perjalanan haid yang tidak teratur(lambat datang haid), kencing bernanah dan batu hempedu.

Thursday, March 11, 2010

Maman Hantu

Pokok maman hantu. Bentuk pokok ini tidak menyeramkan tetapi kenapa ia diberi nama hantu??Posted by Picasa

Nama Botani : Cleome gynandra L
Famili : Capparaceae

Pengenalan

Maman hantu adalah tumbuhan yang tumbuh meliar di kawasan berpasir dan bertanah liat. Di Malaysia terdapat dua jenis pokok maman yang biasa ditemui iaitu maman sayur dan maman hantu. Pokok maman hantu merupakan tumbuhan yang bersifat lasak. Ia mampu hidup subur dalam keadaan kemarau panjang dan tanpa air. Ketinggian pokok maman hantu biasanya tidak melebihi 1 meter dan hayat tidak panjang kerana setelah berbunga dan berbuah, pokoknya akan mati. Maman hantu membiak melalui biji benih yang terdapa dalam buah berbentuk lenggai.

Kegunaan

Maman hantu juga boleh dijadikan jeruk seperti saudara terdekatnya iaitu maman sayur tetapi ianya kurang digemari kerana rasanya yang sedikit pahit. Untuk membuat jeruk maman samada jenis sayur atau hantu, pokok maman yang telah matang dijemur sehingga layu bagi mengelakkan ia menjadi jadi busuk. Guna air rebusan nasi yang mendidih(ditanak dengan sukatan air yang banyak seperti memasak bubur) sebanyak setengah cawan untuk secekak pokok pokok maman. Sejukkan air nasi, masukkan sedikit garam dan tambahkan air suam. Masukkan daun maman setelah air menjadi sejuk(guna bekas kedap udara atau beg plastik untuk proses menjeruk). Setelah dijeruk melebihi 48 jam, jeruk maman ssudah sedia untuk dimakan.

Selain dibuat jeruk, pokok maman hantu juga dipercayai boleh merawat buasir dan reumatik.

Wednesday, March 10, 2010

Sawi Langit

Pokok sawi langitPosted by Picasa



Nama Botani : Vernonia cinerea (L.)Less
Famili : Compositae

Pengenalan

Sawi langit merupakan tumbuhan yang hidup meliar di sekitar kawasan rumah, tepi jalan, padang dan kawasan terbiar. Pokok ini bersifat sangat lasak kerana mampu hidup di pelbagai jenis tanah dan keadaan cuaca terutama kemarau panjang. Ketinggian ini memcapai sehingga 60cm dan ia jenis tumbuhan semusim.

Kegunaan

Dalam perubatan Cina, pokok ini disifatkan pahit, manis, sejuk dan penenang. Seluruh bahagian pokok ini samada yang segar atau dikeringkan digunakan dalam perubatan herba. Dipercayai pokok sawi langit ini dapat merawat demam, disentri, hepatitis, batuk, sukar untuk tidur. Keseluruhan bahagian pokok yang dikeringkan atau segar dicuci dan direbus dengan air sebanyak 4 gelas. Rebus sehingga air rebusan menjadi 2 gelas. Sejukkan air rebusan tersebut, tapis dan diminum. Untuk merawat bisul dan lebam, pokok sawi langit yang segar dilumatkan, kemudian ditampal pada tempat yang berkenaan.

Friday, March 5, 2010

Spider Lily @ Bakung

Bunga bakung berwarna putih dan mempunyai bau yang harum

Pokok bakung biasanya menjadi pilihan sebagai hiasan landskap.


Nama Botani : Hymenocallis sp.
Famili : Amaryllidaceae/Lilliaceae.
Pengenalan

Pokok Bakung juga dikenali dengan nama spider lily merupakan tumbuhan jenis bebawang yang ditanam sebagai hiasan landskap. Ia mempunyai daun yang berbentuk seperti pedang dengan panjangnya sehingga 1.3m. Daun pokok bakung biasanya berwarna hijau yang sekata dan mempunyai urat selari. Bunga bakung berwarna putih dan berbau sangat harum.
Kegunaan

Pokok bakung dipercayai boleh merawat bisul dan luka, bengkak kaki dan tangan. Ia juga mampu meredakan sakit sendi, sakit pinggang dan kencing tidak lawas.

Ciku

Buah ciku yang masih muda.
Nama Botani : Achras sapota L
Famili : Sapotaceae
Nama Lain : Sawa nila (sebut : sawo nilo di Kelantan), Sawa (Kedah), Sapodilla (US dan UK), Sapote (India), Chico atau Chico Sapote (Mexico), Naspero (Venezuela)

Pengenalan

Pokok ciku merupakan pokok buahan tempatan yang biasa ditanam di kawasan sekitar rumah, kebun, ladang dan dusun. Pokok ciku boleh mencapai ketinggian sehingga 30 meter. Pokok ciku berbuah sepanjang tahun.tetapi penghasilan adalah tidak seragam. Buah ciku berbentuk bujur iaitu seakan telur ayam. Di Malaysia, varieti ciku yang boleh didapati ialah Jantung, Betawi, Pasir dan Subang. Ciku varieti Jantung dan Pasir berbentuk bujur telur dan mempunyai berat dalam lingkungan antara 90 ke 100g. Varieti Subang pula berbentuk bujur lonjong dan mempunyai berat dalam lingkungan 50 hingga 60g. Manakala varieti Betawi berbentuk bulat dan beratnya adalah dalam lingkungan 70 ke 80g.
Selain boleh dimakan segar, ciku juga boleh dijadikan jem, jus, kepingan ciku kering dan ditinkan dalam bentuk kepingan untuk membuat sherbet dan candy. Bukan itu sahaja, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pengeluaran pektin, glukosa dan jeli.

Kandungan Zat Dan Vitamin

Buah ciku kaya dengan gula bebas, vitamin C dan mineral terutama kalsium. Bagi tiap-tiap 100g bahagian yang boleh dimakan, ciku mengandungi 82kcal tenaga, 2.3mg zat besi, 79.1g air,21mg kalsium, 0.4g protein, 31mg kalium, 0.8g lemak,130ug karoten, 18.4g karbohidrat, 22ug retinol, 0.9g fiber, 0.01mg vitamin B1, 0.4g abu, 0.06mg vitamin B2, 16mg kalsium, 2.8mg niasin, 4mg fosforus, 6.5mg vitamin C.

Thursday, March 4, 2010

Jarum Tujuh Bilah

Pokok jarum tujuh yang mempunyai duri yang runcing dan sangat tajam pada batangnya.


Nama Botani : Pereskia saecnarosa
Famili : Cactaceae
Pengenalan

Pokok jarum tujuh bilah merupakan tumbuhan daripada keluarga cactaceae, iaitu kaktus. Ini bermakna pokok ini adalah dari jenis kaktus. Pokok jarum tujuh bilah lasak dan boleh hidup dalam semua jenis iklim kecuali kawasan berais seperti kutub utara dan selatan. Batang pokok ini mempunyai duri yang berbentuk seperti jarum. Durinya antara lima, enam atau tujuh bilah di setiap pangkal daun dan ada yang lebih daripada tujuh bilah batang duri. Daunnya berbentuk runcing pada hujung dan pangkal, berkilat, lembut, rangup dan berlendir. Urat daun berselang-seli dan ada yang bertemu di bahagian pangkal daun, sementara urat sebelah belakang daun berwarna ungu. Batang yang tua berkilat sementara batang mudanya berwarna hijau muda bertompok-tompok putih. Batangnya akan mengeluarkan lender jika dipotong atau dicantas. Ia mudah bertunas dan boleh dibiakkan melalui keratan batang dan biji benih.

Kegunaan

Daun mudanya boleh dimakan sebagai ulaman dan ia mempunyai seakan pucuk paku. Amalan memakan daunnya sebagai ulaman dipercayai boleh menghindari penyakit darah tinggi, kencing manis dan barah.

Jarum tujuh bilah dikatakan mampu merawat kanser terutamanya kanser kolon, kanser hidung dan beberapa jenis kanser lain. Caranya dengan merendam dua atau tiga helai daun jarum tujuh bilah di dalam air panas, kemudian air rendaman itu diminum seperti teh. Daun juga boleh dimakan satu hingga tiga helai secara harian sebagai ulaman. Daunnya juga boleh dikisar dan dijadikan sebagai jus dan diminum.