VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 25, 2009

Pokok Kari

Pokok Kari yang masih kecil

Nama Botani : Murraya Koeniggi
Famili : Rutaceae

Pengenalan

Pokok kari merupakan sejenis pokok renek yang berasal dari India dan Sri Lanka. Ia mempunyai ketinggian sehingga 6m. Pokok ini biasa ditanam di kawasan rumah kerana ia berguna sebagai rempah dalam masakan terutama masakan jenis kari. Daun kari mempunyai bau yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit. Pokok ini mempunyai banyak kegunaan dalam masakan kaum India dan ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Pokok ini agak lasak. Bunganya kecil berwarna putih kekuningan. Buahnya kecil berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi ungu setelah matang. Ia membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya.

Kegunaan

Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Di samping itu, daunnya juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan gonorea, menghilangkan rasa loya dan ‘morning sickness’ bagi wanita mengandung. Daun kari dan akarnya juga baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.

Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan kaum India. Ia dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir. Air rebusan kulit pokok kari yang kering boleh merawat diabetes. Amalan memakan daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis dan obesiti yang disebabkan oleh faktor genetik. Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman, kemudian dihancurkan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daun pokok kari yang dilumatkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak.

Mempelas

Pokok Mempelas

Daun mempelas yang banyak kegunaannya


Nama Botani : Tetracera Indica Merr. / Tetracera scadens (L) Merr.
Nama Lain : Akar empelas, empelas
Famili : Dilleniaceae

Pengenalan

Mempelas merupakan sejenis tumbuhan jenis memanjat dan mempunyai batang berkayu. Ia tumbuh meliar di kawasan kampung, kebun, ladang, belukar dan hutan di Asia Tenggara. Daun mempelas bersaiz sederhana, berbentuk ringkas, tersusun secara berselang dengan permukaan daun yang kesat (rujuk foto). Batangnya juga bertekstur kesat dan boleh menyebabkan luka jika tersagat pada kulit. Bunga mempelas berwarna putih dengan kelopak kecil berwarna merah jambu dan berbau sangat wangi. Buah mempelas berbentuk seakan beri dan rasanya masam. Ia berwarna hijau ketika muda dan apabila masak ia berubah menjadi merah.

Kegunaan

Daunnya yang kesat digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan untuk melicinkan ukiran atau hasil kraftangan sebelum kewujudan kertas pasir. Daun ini berfungsi seperti kertas pasir. Ada juga masyarakat zaman dahulu yang menggunakan daun ini untuk melicinkan kuku. Serbuk yang dihasilkan dari daun mempelas kering untuk boleh digunakan untuk merawat radang. Pokok ini juga boleh menghasilkan salap untuk meredakan selesema. Daunnya yang dilumatkan pula digunakan untuk merawat sengatan serangga berbisa. Air rebusan daripada daun mempelas yang matang/tua boleh merawat darah tinggi. Buah mempelas yang masam boleh dijadikan cuka untuk masakan. Batangnya yang panjang dan agak kuat juga boleh dijadikan tali. Pada era sebelum adanya dapur gas, kayu api dari dahan pokok getah yang kering sering diikat menggunakan tali daripada pokok mempelas ini kerana kekuatannya.

Pokok Kapal Terbang

Pokok Kapal Terbang

Nama Botani : Chromolaena odorata / Eupatorium odoratum L.
Nama Lain : Pokok Jepun, Pokok Busuk-busuk, Serunai, Seketam Bukit, Siam Weed, Christmas Bush, Bitter Bush, Aeroplane plant, Baby Tea.
Famili: Asteraceae, Compositae

Pengenalan

Pokok kapal terbang adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Namanya agak unik dan tidak diketahui mengapa ia dinamakan sedemikian. Tetapi mengikut cerita orang-orang terdahulu, benih pokok ini tersebar dengan cara yang tidak disengajakan dari Benua Amerika. Biji benih pokok ini terlekat pada tayar kapal terbang British pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu(Malaya ketika itu). Ia biasa tumbuh dikawasan yang terbuka dan tidak tumbuh di kawasan yang terlindung atau dinaungi oleh pokok-pokok lain. Tumbuhan ini berbatang lembut dengan bahagian dalam batangnya mengandungi gabus berwarna putih. Ia mampu tumbuh disemua jenis tanah. Keseluruhan pokok ini berbau agak busuk.

Kegunaan

Tumbuhan ini ialah sejenis tumbuhan beracun yang boleh menyebabkan kerosakan hati terutamanya kepada kanak-kanak. Daun kapal terbang yang dilumatkan dengan tapak tangan boleh dijadikan ubat luka dengan menampal di tempat luka. Ia mampu menghentikan pengaliran darah untuk luka kecil. Daun kapalterbang merupakan ubat yang mujarab untuk meredakan kembung perut dan cirit birit pada bayi. Daun kapal terbang dan kapur dikisar menggunakan tapak tangan sehingga lumat dan mengeluarkan buih. Buih ini disapu pada perut bayi dan dibarut.

Selepas menggunakan pokok ini, pastikan tangan anda dicuci untuk mengelakkan keracunan. Keracunan ini juga boleh dipindahkan oleh ibu yang mengandung kepada bayinya melalui uri. Simptom yang biasa di tunjukkan ialah sakit perut yang teramat sangat, muntah dan hepatomegali yang disebabkan oleh alkaloid pyrolizidin yang terdapat pada keseluruhan pokok tersebut. Biasanya simptom ini hanya dapat dikesan selepas beberapa hari dari masa kejadian. Jadi, berhati-hati bila menggunakan tumbuhan ini.

Monday, November 23, 2009

Kerkut

Buah kerkut

Nama Botani : Flacourtia Jagomas
Nama Lain : Kekut

Pengenalan

Buah yang seakan buah plum ini rasanya masam manis dan sedikit kelat. Buahnya sebesar guli kaca, berwarna hijau ketika muda. Sesiapa yang pernah makan buah ini sudah pasti tahu cara untuk membuatkan buah lebih manis dan kurang rasa kelatnya. Caranya, dengan menguli buah yang sudah masak dengan menggunakan kedua tapak tangan sehingga ia menjadi lembut. Buah yang jadi model dalam foto tu dah selamat dimakan. Sedap!

Thursday, November 19, 2009

Belimbing Bintang

Buah belimbing bintang

Belimbing bintang yang berbuah lebat tanpa musim

Nama Botani : Averrhoa carambola
Famili : Averrhoaceae
Pengenalan

Belimbing merupakan tumbuhan yang berasal dari Sri Lanka dan ditanam di seluruh Asia Tenggara. Warna buah adalah hijau ketika muda dan kuning keemasan apabila sudah masak. Rasa buah ni agak masam tetapi ada klon baru yang memberikan rasa sedikit masam manis. Apabila buah ini dipotong secara melintang ia akan membentuk seperti bintang.


Kegunaan

Kajian saintifik telah menunjukkan buah belimbing mempunyai khasiat perubatan selain kaya dengan vitamin dan ada kajian yang membuktikan bahawa buah belimbing mampu untuk mengurangkan tekanan darah.

Ada kemungkinan buah belimbing, jika kerap dimakan, boleh membantu mereka yang menghidap hipertensi. Buah ini dapat membantu melawan kesan pemakanan makanan terproses yang menyumbangkan kepada kenaikan tekanan darah tinggi. Jus belimbing mempunyai sifat-sifat antibakteria seperti staphylococcus penyebab beberapa penyakit seperti indigesi dan masalah kulit. Buah belimbing juga mempunyai Vitamin A yang tinggi di antara buah-buahan tempatan Malaysia. Setiap 100g mempunyai 155 mcg Vitamin A. Ia juga mengandungi Vitamin B (thiamine, riboflavin), dan mineral kalsium dan besi. Protein, lemak dan karbohirat juga ada dalam bilangan yang kecil.

Ketumpangan Air

Pokok ketumpangan air yang biasa tumbuh menumpang pasu bunga

Nama Botani: Peperomia Pellucida
Nama Lain: Tumpang angin, rangu-rangu, shiny bush, pepper elder
Famili: Piperaceae

Penerangan

Tumbuhan tropika semusim ini mudah dijumpai di kawasan-kawasan yang agak lembab dan agak terlindung dari cahaya matahari. Jika terdedah kepada cahaya matahari pokok ini sukar untuk membesar dan hidup subur. Ia mudah dijumpai dan tumbuh meliar tetapi tidak ramai orang yang mengetahui khasiatnya. Ketinggian pokok boleh mencapai sehingga 30 cm. Batangnya dari jenis berair dan senang patah berwarna hijau muda. Daunnya berbentuk seperti daun sirih dan baunya juga hampir sama. Buahnya mempunyai minyak sari apabila dimasak. Walaupun ia tidak mendapat perhatian di Malaysia namun di negara luar, tumbuhan ini dan benihnya dijual secara komersial. Ia boleh dijadikan sayur dan salad.

Kegunaan

Jus pokok ini diminum untuk mengelakkan jangkitan pada mata, cirit-birit, batuk, selesema, jangkitan pundi kencing dan untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Daunnya mengandungi bahan antibakteria yang boleh merawat penyakit kulit seperti bisul, jerawat dan kulit melecur. Ia juga boleh digunakan untuk merawat athritis dan rheumatik. Ia juga boleh menjadi penawar kepada sakit sendi dan sakit perut. Keseluruhan pokok yang dilumatkan boleh mengurangkan sakit kepala dan panas badan akibat demam.

Tuesday, November 17, 2009

Jambu Batu

Buah jambu batu


Nama Botani : Psidium guajava
Famili : Myrtaceae


Pengenalan


Jambu batu atau Psidium guajava merupakan sejenis tumbuhan perdu yang banyak cabang. Tingginya mampu mencapai sehingga 12m. Daunnya berbentuk bulat telur dan agak kasar. Ianya juga mempunyai bunga yang berwarna putih dan buahnya berisi serta banyak biji. Tumbuhan ini biasanya tumbuh meliar di kawasan kampung dan ada yang ditanam secara komersial di ladang.


Kegunaan


Tumbuhan ini mengandungi tanin pada daun, kulit batang dan buahnya. Ia juga mengandungi banyak lemak, damar, minyak menguap dan garam-garam mineral. Jambu batu juga mengandungi avikularin dan guaijaverin yang berkhasiat sebagai antibakteria.

Jambu batu mempunyai pelbagai kegunaan, di antaranya ialah akar, kulit dan batang serta daunnya direbus dalam air yang mendidih, kemudiannya airnya itu sangat sesuai diminum bagi mengubati sakit perut dan cirit birit. Air rebusan itu juga boleh digunakan untuk membersihkan selaput lendir proses usus yang terdapat pada bayi (prolapsysani). Luka-luka boleh diubati dengan menggunakan daun jambu batu jika daun tersebut ditumbuk dan ditampal pada tempat luka tersebut.