VIP Dedaun Alam

Thursday, June 10, 2010

Setawar

Pokok Setawar


Nama Botani : Kalanchoe pinnata (Lam.) Pers.
Famili : Crassulaceae

Pokok setawar merupakan tumbuhan renek yang biasa dijumpai ditanam sebagai pokok hiasan. Mengikut kajian, daun setawar mengandungi saponin, flavonoid dan tanin. Setawar membiak melalui tiga kaedah iaitu anak yang bercambah melalui bahagian tepi daun yang matang, biji benih dan keratan batang. Pokok setawar sangat lasak dalam keadaan cuaca kering kerana daunnya mengandungi banyak air.

Daun setawar boleh digunakan untuk meredakan kepanasan badan akibat demam panas. Daunnya diramas di dalam air, gunakan air tersebut untuk membasahkan kepala. Setawar juga mempunyai ciri anti bakteria. Ia boleh digunakan untuk mengelak dan mencegah keradangan kulit.

Wednesday, June 9, 2010

Cekur Hitam

Pokok cekur hitam

Bunga cekur hitam yang sedang mekar.


Nama Botani : Kaemferia pulchra
Famili : Zingiberaceae

Pengenalan
Cekur hitam merupakan tumbuhan herba yang sama keluarga dengan saudara terdekatnya iaitu cekur biasa. Perbezaan yang paling ketara ialah warna daunnya. Cekur hitam mempunyai daun berwarna hitam yang menarik. Ciri pokok juga sama dengan cekur biasa. Cekur hitam mengeluarkan bunga yang besar dan cantik berwarna ungu muda. Rizomnya bercabang-cabang berwarna oren.

Kegunaan

Rizom cekur hitam yang dicampurkan bersama lada hitam, kayu manis dan madu boleh digunakan untuk merawat selesema. Cekur juga dipercayai boleh merawat sakit mata, sakit tekak, bengkak, demam, sakit dan sengal tulang. Air rebusan akar cekur digunakan untuk merawat sakit perut akibat masalah penghadaman, mengatasi masalah kelemumur dan menghilangkan rasa gatal.

Monday, June 7, 2010

Naga Buana

Pokok naga buana



Nama Botani : Phyllantus pulcher
Famili : Euphorbiaceae
Nama Lain : Naga jumat, pokok kayu putih, semelit.

Pengenalan

Pokok naga buana atau juga dikenali dengan nama naga jumat hampir menyamai bentuk pokok dukung anak tetapi pokok ini lebih besar dan tinggi. Ketinggian pokok hanya mencapai sehingga 0.7m. Daun pokok naga buana akan menguncup pada waktu malam. Bunga berwarna merah putih yang bersaiz kecil keluar di sepanjang tangkai daun.

Kegunaan

Daun naga buana yang dilumatkan dan dicampur dengan ubi zebra boleh dijadikan sebagai ubat pupuk, terutamanya untuk mempercepatkan penyembuhan sakit bisul. Daunnya yang dilumatkan boleh digunakan untuk merawat luka-luka kecil dan gatal-gatal. Getahnya boleh dijadikan ubat sakit gigi dengan menitiskan pada lubang gigi yang sakit.

Air rebusan daunnya yang ditapis dengan kain bersih dan disejukkan boleh digunakan untuk mencuci mata. Air rebusan yang suam digunakan untuk menuam bengkak-bengkak, ulser hidung dan bayi yang kembung perut. Air rebusan akarnya dipercayai boleh melegakan tekanan darah tinggi.

Sunday, June 6, 2010

Kemunting

Pokok kemunting biasanya tumbuh liar di kawasan terbuka.

Bunga kemunting berwarna merah jambu.

Buah kemunting yang telah masak dan boleh dimakan.


Nama Botani : Rhodamyrtus tomentosa
Famili : Myrtaceace

Pngenalan
Pokok kemunting merupakan tumbuhan yang hidup meliar di kawasan belukar dan tanah lapang terbiar. Pokok kemunting mencapai ketinggian hanya 2m di kawasan terlindung dengan pokok-pokok besar dan sekitar 1m di kawasan terbuka. Pokok kemunting berbunga dan mengeluarkan buah sepanjang tahun. Bunga kemunting mekar cantik dan berwarna merah jambu(rujuk foto). Buah kemunting yang masak boleh dimakan.

Kegunaan

Pucuk dan daun kemunting yang direbus dan diminum air rebusannya dipercayai dapat melegakan sakit perut. Pucuk pokok kemunting juga boleh digunakan untuk rawatan selepas bersalin. Pucuk kemunting direbus bersama-sama daun inai, daun ati-ati dan daun jambu batu dan airnya diminum untuk mengecutkan rahim. Akar dan daun pokok kemunting yang direbus dan diminum boleh digunakan untuk merawat keputihan pada wanita.

Friday, June 4, 2010

Paku Tunjuk Langit

Pokok paku tunjuk langit

Nama Botani : Helminthostachys zeylanica
Famili: Ophioglossaceace

Pengenalan

Paku tunjuk langit merupakan tumbuhan jenis paku pakis daripada famili ophioglossaceace. Ia biasanya tumbuh di kawasan tanah rendah yang terbuka, redup dan bertanah liat atau laterit seperti di kebun getah. Bahagian paling atas yang merupakan sporangium yang terbuka dan sentiasa menegak ke arah langit. Sporangium ini akan tetap menunjuk ke arah langit walaupun pokoknya telah tumbang dan kerana sifat inilah pokok ini mendapat nama. Setelah matang sporangium akan pecah dan membebaskan spora untuk pembiakan.

Kegunaan

Akar, rizom dan keseluruhan bahagian pokok yang berada di atas permukaan tanah digunakan sebagai bahan dalam perubatan herba. Rizomnya yang ditumbuk sehingga halus dan dikunyah bersama pinang dipercayai boleh dijadikan sebagai penawar demam dan merawat batuk. Untuk merawat disentri, akar pokok ini ditumbuk halus dan direbus. Air rebusan ditapis, disejukkan dan diminum. Tunjuk langit juga amat terkenal sebagai penawar sakit lemah syahwat iaitu dengan cara meminum air rebusan keseluruhan tanaman tersebut. Ia juga dipercayai mampu untuk dijadikan penawar sakit atau lenguh pinggang. Caranya, ambil sedikit akar pokok ini, dibasuh bersih dan kunyah.

Thursday, June 3, 2010

Bunga Part III

Dedaun Alam terus mempersembahkan bunga dan flora Malaysia. Bunga dalam siri ini merupakan bunga yang mungkin biasa dilihat oleh kita tetapi ada juga yang tidak mengenalinya. Kali ini, tiada nama bunga diberikan kerana ingin menguji pengetahuan pembaca mengenai bunga dan flora yang terdapat di Malaysia.

Bunga ini adalah dari pokok hiasan landskap yang sering menjadi pilihan kerana ia lasak.

Bunga yang mekar cantik ini merupakan tumbuhan yang hidup liar di kawasan terbuka dan padang. Buahnya boleh dimakan.

Pokok yang mengeluarkan bunga ini mempunyai khasiat yang tinggi dalam perubatan herba.

Bunga bersaiz kecil ini pula daripada pokok yang pucuknya boleh dimakan.

Inilah antara bunga yang terkecil tetapi menghasil buah bersaiz besar. Bandingkan saiz bunga dengan semut yang berada di pangkal tangkai bunga.

Cekur

Pokok cekur

Nama Botani : Kaempferia galanga
Famili : Zingiberaceae


Pengenalan

Cekur merupakan tumbuhan dalam famili halia iaitu zingiberaceae. Pokok cekur terdiri daripada dua hingga lima helai daun yang tebal berbentuk bujur telur dan bunganya berwarna putih keunguan. Cekur membiak melalui rizomnya. Tempoh matang rizom cekur adalah diantara 8 hingga 10 bulan selepas ditanam.

Kegunaan

Rizom cekur mempunyai aroma yang lembut. Rizom cekur mengandungi sebatian minyak pati seperti sineol, borneol, kamphere, asid sinamik dan beberapa sebatian pati minyak yang lain. Daun cekur digunakan sebagai ulam dan ramuan dalam penyediaan nasi ulam. Rizomnya boleh digunakan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, perut memulas, bengkak, muntah, sakit urat saraf dan lain-lain. Untuk tujuan tersebut biasanya bahagian rizom dimakan secara segar. Rizom cekur juga digunakan dalam ramuan ubatan herba dan jamu yang terdapat dipasaran.

Orang Melayu zaman dahulu menggunakan rizom cekur, jerangau dan rempah-rempah lain untuk mengubati demam malaria. Rizom cekur, cekur jerangau dan akar bunga susun kelapa juga dijadikan ubat penyakit resdung. Di Indonesia, cekur digunakan oleh wanita selepas bersalin untuk memanaskan bahagian perut, bengkak dan kebas otot. Di Filipina rizom cekur digunakan untuk menyembuhkan penyakit selesema dengan cara menghidu rizomnya. Air rizom cekur juga digunakan untuk menyembuhkan luka dalam perut dan sebagai ramuan dalam tonik.