VIP Dedaun Alam

Showing posts with label paku tunjuk langit. Show all posts
Showing posts with label paku tunjuk langit. Show all posts

Thursday, February 10, 2011

Paku Tunjuk Langit Dan Kisah Misterinya.

Pokok paku tunjuk langit 'misteri' yang disemai oleh penulis. Pokok tersebut telah menghasilkan pokok baru yang lebih subur dan segar.

Paku tunjuk langit merupakan tumbuhan dalam famili paku pakis dan entri mengenainya boleh dibaca di sini. Ramai yang terkeliru antara pokok paku tunjuk dan pokok buah tunjuk langit. Sebenarnya kedua-dua pokok ini sangat berbeza tetapi ada persamaan namanya. Pokok paku tunjuk dalam foto di atas penulis gali dari bawah pokok belimbing ini. Tempat tersebut akan ditambak dengan tanah dan ketika sedang membersihkan kawasan tersebut, tiba-tiba terpandang pokok paku tunjuk langit ini. Hari sebelumnya, tak kelihatan pokok tersebut di situ. Entah dari mana ia datang kerana ia adalah satu-satunya pokok paku tunjuk langit yang tumbuh di situ. Mungkin juga sporanya terbang atau dibawa jauh dari tempat asal induknya. Teringatkan pesan seorang kawan baik penulis, 'kalau kita jumpa pokok ubat (herba), jangan bertangguh untuk ambil kerana ia mungkin hilang begitu saja'. Pernah berlaku semasa masih remaja, penulis terjumpa pokok senduduk yang berbunga putih. Hanya sepokok itu sahaja  berbunga warna putih sedangkan yang lain mengeluarkan bunga yang berwarna seperti biasa. Penulis menganggap pokok senduduk tersebut albino kerana bunganya berwarna putih. Selepas itu, penulis menceritakan penemuan senduduk albino tersebut kepada arwah bapa. Baru penulis tahu, pokok senduduk itu sebenarnya pokok senduduk putih yang memang sukar untuk ditemui. Apabila penulis pergi semula ke tempat pokok senduduk putih tersebut, ia telah tiada pada tempat berkenaan. Puas penulis mencari tetapi tidak menjumpainya. Memang agak pelik tetapi ia terjadi kepada penulis. Kerana inilah bila penulis terjumpa pokok paku tunjuk langit ini, terus gali dan semai dalam polibeg sebelum ia lenyap dari pandangan mata. Sekarang pokok induk paku tunjuk langit itu telah membiakkan pokok baru.

Friday, June 4, 2010

Paku Tunjuk Langit

Pokok paku tunjuk langit

Nama Botani : Helminthostachys zeylanica
Famili: Ophioglossaceace

Pengenalan

Paku tunjuk langit merupakan tumbuhan jenis paku pakis daripada famili ophioglossaceace. Ia biasanya tumbuh di kawasan tanah rendah yang terbuka, redup dan bertanah liat atau laterit seperti di kebun getah. Bahagian paling atas yang merupakan sporangium yang terbuka dan sentiasa menegak ke arah langit. Sporangium ini akan tetap menunjuk ke arah langit walaupun pokoknya telah tumbang dan kerana sifat inilah pokok ini mendapat nama. Setelah matang sporangium akan pecah dan membebaskan spora untuk pembiakan.

Kegunaan

Akar, rizom dan keseluruhan bahagian pokok yang berada di atas permukaan tanah digunakan sebagai bahan dalam perubatan herba. Rizomnya yang ditumbuk sehingga halus dan dikunyah bersama pinang dipercayai boleh dijadikan sebagai penawar demam dan merawat batuk. Untuk merawat disentri, akar pokok ini ditumbuk halus dan direbus. Air rebusan ditapis, disejukkan dan diminum. Tunjuk langit juga amat terkenal sebagai penawar sakit lemah syahwat iaitu dengan cara meminum air rebusan keseluruhan tanaman tersebut. Ia juga dipercayai mampu untuk dijadikan penawar sakit atau lenguh pinggang. Caranya, ambil sedikit akar pokok ini, dibasuh bersih dan kunyah.