Pokok palas mengambil masa yang sangat lama untuk membesar dan tinggi seperti ini.
Anak pokok palas. Pokok palas membiak melalui pecahan rumpun dan biji benih. Masa diambil untuk membesar seperti induknya dalam foto di atas ialah lebih daripada 30 tahun.
Famili : Palmae
Pokok palas merupakan tumbuhan daripada famili palma. Ia adalah tumbuhan asli hutan di Malaysia. Pokok palas biasanya tumbuh meliar di kawasan tanah pamah yang berhampiran dengan sumber air seperti paya. Ia juga mampu hidup di kawasan berbukit tetapi pembesarannya lebih lambat dan tidak subur. Pokok palas banyak ditemui tumbuh di ladang getah kerana ia dibiarkan hidup oleh pemilik ladang atau kebun getah. Ini disebabkan pokok palas ada kegunaannya. Pucuk palas sangat sinonim dengan kuih tradisional hariraya iaitu ketupat. Tanpa daun palas, ketupat tidak akan bermakna. Apabila hariraya semakin hampir, daun palas pasti mendapat permintaan tinggi. Selain daripada kegunaan pucuknya, pokok palas juga mempunyai teras yang sangat keras dan digunakan sebagai tongkat dalam seni silat tongkat. Teras palas dipilih kerana ia lebih padu dan tidak mudah untuk patah serta tahan lama. Biasanya pokok palas yang tua(berusia lebih 30 tahun) dipilih kerana terasnya berkualiti tinggi dan baik.