Buah jering matang.
Jering atau nama botaninya, archidendron jiringa adalah tumbuhan dalam famili Fabaceae yang berasal dari Malaysia dan Thailand. Pokok jering biasanya tumbuh meliar di dalam hutan dengan ketinggian sehingga 20 meter. Pokok jering tumbuh merendang dengan cabang-cabangnya yang banyak.
Buah jering dimakan sebagai ulam tetapi kurang popular kerana baunya yang tidak menyenangkan dan baunya lebih kuat berbanding petai. Buah jering mengandungi 3.5% protein, 0.1% lemak, 1.7% karbohidrat, kalsium, fosforus, besi, dan vitamin A, B, dan C. Ia juga mengandungi sejenis sebatian alkoloid yang boleh memberi rangsangan membuang air besar. Tetapi biji jering juga mengandungi bahan toksid yang dikenali sebagai asid jenkolik. Sekiranya kita memakan terlalu banyak, ia akan memudaratkan kesihatan. Asid jenkolik yang banyak terkumpul dalam badan akan membentuk hablur dalam ginjal dan akhirnya akan menyebabkan pundi kencing tersumbat. Jering boleh menjadi penawar yang berkesan untuk pesakit diabetis kerana kandungan sebatian alkoloid mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.
Akar pokok jering yang dikeringkan kemudian direbus dan diminum air rebusan tersebut dipercayai dapat merawat diabetis.
Selain buahnya yang dimakan sebagai ulam, pucuk muda pokok jering juga boleh dijadikan ulaman. Buah jering boleh dimakan segar sebagai ulam, dijeruk, dijadikan jering relung dan direbus. Jering relung dihasilkan dengan kaedah menanam biji jering matang atau agak tua di dalam pasir sehingga tunasnya mula bercambah. Setelah tunasnya bercambah, biji jering boleh digali dan dibersihkan untuk dimakan sebagai ulam. Proses membuat jering relung ini adalah untuk mengurangkan bau dan melembutkan tekstur isi buah jering. Jering relung boleh dibiarkan berada di dalam pasir sehingga anak pokok jering mula tumbuh.