Jantung pisang kapas
Jantung pisang sebenarnya adalah bunga pokok pisang (musa sp.). Bunga pisang ini mempunyai banyak lapisan kelopak yang melindungi barisan bunga di dalamnya. Bunga pisang yang berbentuk jantung ini akan berterusan mengeluarkan bunga sekiranya tidak dipotong daripada tandan buah. Bunga pisang atau lebih dikenali dengan nama jantung pisang ini mempunyai khasiat dan kegunaannya. Ia biasanya dijadikan ulam(setelah dicelur), kerabu, teresek(masakan tradisional Kelantan), gulai dan pelbagai jenis masakan. Namun begitu bukan semua jenis jantung pisang yang boleh dimakan kerana terdapat beberapa jenis pokok pisang mengeluarkan jantung yang rasanya pahit atau sangat kelat.
Jantung pisang mengandungi 1.2% protein, 0.3% lemak, 7% karbohidrat, fosfurus dan zat besi. Jantung mampu memberi tenaga kepada kita dan ia juga dikatakan baik untuk jantung, hati dan buah pinggang.