Pokok garlic vine atau garlic creeper di tanam sebagai pokok hiasan.
Nama Botani : Pseudocalymma alliaceum
Famili : Bignoniaceae
Pokok garlic vine adalah tumbuhan jenis berkayu yang memanjat atau menjalar. Pokok ini berasal daripada Amerika Tengah dan Amerika Selatan iaitu Mexico sehingga Brazil. Dalam habitat asalnya iaitu hutan, pokok garlic vine memanjat pokok besar yang lain untuk mendapat cahaya matahari. Batang pokok garlic vine atau garlic creeper ini mencapai 5 meter panjang. Pokok yang biasa tumbuh meliar kini banyak ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik. Ia ditanam dengan memanjat sokongan lain seperti pergola, para-para, tiang dan pokok besar lain. Bunganya keluar secara berjambak dalam jumlah yang banyak pada satu pokok. Bunga garlic vine berwarna ungu dan mempunyai bau yang unik. Ia berbau seakan-akan bawang putih. Pokok ini mendapat nama daripada bau bunganya. Di Sepanyol, ia dikenali dengan nama ajos sacha (false garlic). Bunganya yang cantik ini menarik perhatian lebah, rama-rama dan burung untuk mendapatkan madunya.
Selain ditanam sebagai pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat sebagai ubatan tradisional. Di negara asalnya, ia digunakan sebagai penawar kepada rheumatik dan arthtritis. Daun dan batang pokok garlic vine direbus dan wap daripada rebusan ini disedut sebagai penawar demam panas dan selesema. Air rebusan diminum untuk membunuh cacing.