VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 30, 2011

Pisang Rebus

Pisang nipah rebus


Pisang rebus antara makanan tradisonal yang semakin dilupai oleh generasi kini. Malah ada yang tidak pernah tahu kewujudannya sebagai makanan. Ia sangat popular pada zaman dahulu terutama ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu (kini Malaysia). Semasa penjajahan Jepun, pisang dan ubi rebus menjadi salah satu makanan utama kerana ketiadaan stok beras. Pisang yang direbus biasanya daripada jenis masam dan berkulit tebal seperti pisang nangka, pisang abu, pisang nipah, pisang awak dan pisang jari buaya. Pisang rebus dimasak dengan cara yang agak mudah. Pisang mengkal atau masak dipotong pada bahagian tangkai dan hujung buah, bersihkan dan masukkan ke dalam periuk. Tambah air sehingga pisang hampir tenggelam, bubuh sedikit garam kasar dan direbus sehingga masak(empuk). angkat, toskan dan boleh dimakan ketika masih panas. Ia juga sedap dimakan ketika sejuk. Jika pisang rebus darpada buah pisang mengkal, ia boleh dicacah bersama kelapa parut yang dicampur sedikit garam dan gula.

Saturday, November 26, 2011

Melur Susun @ Duke Of Tuscany


Bunga melur susun daripada spesis jasminum sambac varieti duke of tuscany. Bau bunga melur susun tidak sekuat bunga melur biasa. Baca info bunga melur di sini.

Friday, November 25, 2011

CHOGM Park - 22 Tahun Telah Berlalu...

Taman CHOGM dibina sempena CHOGM yang berlangsung di Langkawi pada tahun1989.

Terletak bersebelahan masjid Al-Hana di Kuah, taman CHOGM diwujudkan untuk memperingati Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel yang diadakan di Langkawi pada Oktober 1989. CHOGM adalah sidang kemuncak dwitahunan yang disertai semua ketua kerajaan dari negara-negara Komanwel. Setiap dua tahun, mesyuarat ini akan dikendalikan oleh negara ahli yang berbeza dan biasanya dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Presiden. Sebagai kenangan, delegasi dari negara yang bermesyuarat di sini menanam pelbagai jenis pokok di taman ini. Kini telah lebih dua dekad berlalu, pokok-pokok yang ditanam telah membesar dan ada yang mati. Kebanyakan pokok yang ditanam adalah pokok tanjung. Setiap pokok ditandakan nama dan negara asal penanamnya.

Wednesday, November 23, 2011

Buah Nona

Nona yang telah masak.

Buah nona yang dah masak dipetik dari pokok ini. Ia dipetik semasa hampir masak untuk mengelakkan daripada dimakan oleh haiwan yang berminat dengan kesedapannya. Diperam selama sehari dan apabila masak, kulit buah nona yang ketika muda berwarna hijau gelap berubah menjadi hijau kemerahan. Rasa buah nona ini jauh lebih manis berbanding durian belanda dan nona serikaya(sekaya). Tekstur isinya lebih kurang sama dengan saudara terdekatnya tetapi rasanya manis bersari.

Monday, November 21, 2011

Bagai Kaduk Naik Junjung


Bagai kaduk naik junjung dalam peribahasa Melayu membawa maksud orang hina yang dimuliakan atau mendapat keistimewaan sehingga dia lupa diri dan asal usulnya. Sebenarnya peribahasa ini tercipta daripada permerhatian orang lama tentang alam dan kehidupan. Pokok kaduk dibandingkan dengan sirih yang mempunyai ciri dan bentuk pokok yang serupa. Sirih jenis pokok memanjat manakala kaduk tumbuh melata di atas tanah. Pokok sirih yang ditanam biasanya dipasang kayu pancang (dikenali sebagai junjung) untuk membolehkan pokok sirih memanjat dan mencengkam kayu pancang. Pokok kaduk lebih kecil tetapi sifatnya berdikari kerana ia tidak memerlukan kayu pancang sebagai sokongan untuk berdiri tetapi apabila ada junjung disebelahnya, ia akan menggunakan junjung tersebut. Kaduk akan membesar bersama junjung dan terlupa seandainya junjung patah atau rebah, ia turut sama rebah kerana batang pokok kaduk sudah tidak dapat menanggung berat yang selama ini disokong oleh junjung. Selagi ada junjung, kaduk terus lupa diri... Dalam kehidupan kita, ada yang bersifat seperti kaduk naik junjung ini.

Wednesday, November 16, 2011

Patah Tumbuh Hilang Berganti


Kata orang, yang patah tumbuh, hilang berganti. Maksudnya, akan ada pengganti bila kehilangan sesuatu. Yang patah, akan tumbuh tunas baru. Yang hilang akan ada pengganti walaupun tak sama dan serupa. Dan mungkin juga yang hilang tak akan berganti dan yang patah tidak tumbuh tunas baru. Pokok betik dalam foto ini patah kerana beban buahnya yang lebat dan ketinggiannya lebih 10 meter. Apabila angin bertiup agak kencang, batangnya sudah tidak mampu menanggung berat buahnya yang banyak dan besar. Tunas yang bercambah sebenar telah ada beberapa bulan sebelum pokok ini patah seolah-olah tahu kejadian malang bakal menimpanya. Buah betik masak daripada pokok ini biasanya menjadi habuan sang burung kerana buahnya terlalu tinggi untuk dikait. Burung gembala kerbau, merbah kapur dan burung melilin kini telah hilang sumber rezeki alam untuk sementara waktu.... Menanti yang tumbuh itu membesar dan berbuah.

Tuesday, November 15, 2011

Laksa Langkawi

Laksa utara versi original dari Langkawi.

Laksa adalah antara makanan tradisonal orang Melayu yang cukup terkenal di serata negara. Setiap negeri ada laksa dengan resepi yang tersendiri. Biasanya ia mempunyai rasa yang berbeza-beza mengikut negeri, daerah dan orang yang memasaknya. Laksa utara versi asal dari Langkawi ini berbeza dengan laksa utara yang biasa. Ikan yang dipilih untuk dijadikan kuah adalah kombinasi daripada dua jenis ikan iaitu ikan temenung (ikan kembung) dan ikan kebasi. Rasanya tak ramai yang mengenali ikan kebasi. Ikan kebasi juga dikenali dengan nama ikan selangat. Jika belum kenal ikan jenis ini, sila buat carian di internet dengan kata carian, ikan kebasi atau ikan selangat. Kuah laksa tidak akan sempurna jika tidak dimasukkan bunga phaeomeria speciosa dan daun persicaria odorata. Ia juga mesti disekalikan dengan beberapa jenis ulaman seperti pucuk ketereh (gajus), mentimun, bawang besar yang dipotong nipis dan lada burung (cili padi atau cabai Melaka). Dan tidak lupa telur ayam rebus. Laksa dalam foto menggunakan telur ayam kampung.

Sunday, November 13, 2011

Kulat Sisir @ Cendawan Kukur

Kulat sisir atau cendawan biasanya tumbuh pada batang kayu mati.

Kulat sisir atau juga dikenali dengan nama cendawan kukur dan kulat sisik. Nama botani bagi kulat sisir ialah schizophllyum commune. Kulat atau cendawan jenis paling mudah ditemui hidup pada batang kayu pokok getah yang mati. ia juga tumbuh pada batang kayu pokok lain yang mati tetapi dalam jumlah yang kecil. Cendawan kukur atau kulat sisir yang dikutip menggunakan tangan boleh terus dimasak selepas dikutip atau disimpan bereapa lama dengan kaedah mengeringkannya di bawah panas matahari. Kulat sisir yang dikeringkan direndam di dalam air bersih sebelum dimasak. Proses merendam ini adalah supaya kulat atau cendawan ini mengembang dan menjadi lembut. Kulat sisir paling sedap di masak lemak kuning atau masak lemak cili padi. Ia juga sedap digoreng bersama telur.

Ramai yang tidak mengetahui kulat atau cendawan tradisional ini mempunyai khasiat yang sangat tinggi utntuk kesihatan kita. Kulat sisir mengandungi schizophllyan yang bersifat anti tumor dan anti kanser. Ia juga mampu meningkatkan sistem imun badan. Selain itu, ia bersifat anti bakteria, anti parasit dan anti radang. Khasiat yang terdapat dalam kulat sisir ini mampu melindungi dan mengawal hati.

Wednesday, November 9, 2011

Jering

Buah jering matang.


Jering atau nama botaninya, archidendron jiringa adalah tumbuhan dalam famili Fabaceae yang berasal dari Malaysia dan Thailand. Pokok jering biasanya tumbuh meliar di dalam hutan dengan ketinggian sehingga 20 meter. Pokok jering tumbuh merendang dengan cabang-cabangnya yang banyak.

Buah jering dimakan sebagai ulam tetapi kurang popular kerana baunya yang tidak menyenangkan dan baunya lebih kuat berbanding petai. Buah jering mengandungi 3.5% protein, 0.1% lemak, 1.7% karbohidrat, kalsium, fosforus, besi, dan vitamin A, B, dan C. Ia juga mengandungi sejenis sebatian alkoloid yang boleh memberi rangsangan membuang air besar. Tetapi biji jering juga mengandungi bahan toksid yang dikenali sebagai asid jenkolik. Sekiranya kita memakan terlalu banyak, ia akan memudaratkan kesihatan. Asid jenkolik yang banyak terkumpul dalam badan akan membentuk hablur dalam ginjal dan akhirnya akan menyebabkan pundi kencing tersumbat. Jering boleh menjadi penawar yang berkesan untuk pesakit diabetis kerana kandungan sebatian alkoloid mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan. Akar pokok jering yang dikeringkan kemudian direbus dan diminum air rebusan tersebut dipercayai dapat merawat diabetis. 

Selain buahnya yang dimakan sebagai ulam, pucuk muda pokok jering juga boleh dijadikan ulaman. Buah jering boleh dimakan segar sebagai ulam, dijeruk, dijadikan jering relung dan direbus. Jering relung dihasilkan dengan kaedah menanam biji jering matang atau agak tua di dalam pasir sehingga tunasnya mula bercambah. Setelah tunasnya bercambah, biji jering boleh digali dan dibersihkan untuk dimakan sebagai ulam. Proses membuat jering relung ini adalah untuk mengurangkan bau dan melembutkan tekstur isi buah jering. Jering relung boleh dibiarkan berada di dalam pasir sehingga anak pokok jering mula tumbuh.

Monday, November 7, 2011

Cecawi Anting-Anting

Burung cecawi anting-anting.

Burung cecawi anting-anting adalah antara spesis burung cecawi yang terdapat di Malaysia. Spesis cecawi ini dikenali dengan nama Greater Rocket-Tailed Drongo (Dicrurus Paradiseus). Cecawi anting-anting mempunyai jambul pada bahagian dahi. Ekornya bercabang dan mempunyai ekor panjang tanpa bulu dan berbulu sedikit pada bahagian hujung (seperti damak/anak panah). Bulu burung ini berwarna biru gelap berkilat tetapi kelihatan seakan kehitaman. Panjang keseluruhan burung cecawi anting-anting ini adalah di antara 30 hingga 36cm.

Ia biasanya mendiami kawasan hutan, tanah pamah, pinggir hutan (termasuk kawasan kampung), hutan sekunder, kawasan ladang dan boleh ditemui sehingga pada ketinggian 1,700 meter dari paras laut. Burung cecawi anting-anting menjadikan serangga, nektar bunga, burung-burung kecil, reptilia dan mamalia kecil sebagai makanan.. Ia mebiak pada bulan Februari-Julai setiap tahun. Burung betina bertelur di antara 3 hingga 4 biji dalam sarang yang dibina tergantung dari dahan pada ketinggian 4 meter hingga 15 meter dari tanah.

Burung ini mengeluarkan pelbagai bunyi termasuk kicauan yang kuat, bercampur siulan, bunyi hilaian garau dan ia mampu meniru suara burung lain.

Mengikut Akta 76/72, ia diperlindungi sepenuhnya.

Thursday, November 3, 2011

Raja Satong

Pokok raja satong yang hidup dengan menumpang pokok besar lain.

Nama Botani : Hydnohytum Sp.
Famili : Rubiaceae

Pokok raja satong merupakan tumbuhan jenis epifit yang biasanya tumbuh meliar di hutan. Ia hidup dengan menumpang pokok besar lain. Sekarang ia semakin sukar untuk dijumpai kerana pengambilan tanpa kawalan oleh individu yang mengetahui khasiat pokok ini. 

Khasiat pokok raja satong tidak banyak dibuat kajian secara saintifik oleh pakar tetapi ianya diambil secara tradisional oleh pengamal ubatan herba sejak sekian lama. Ia dikatakan mampu merawat semua jenis  kanser, penyakit hati dan paru-paru.