VIP Dedaun Alam

Thursday, May 30, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 30/05/13

Dalam bekas ini ada lapan jenis tuaian segar dari kebun kecil. Dapat tak bezakan lapan jenis tuaian tersebut? Salah satunya, tak kelihatan dalam foto kerana bersaiz kecil dan terperosok di bahagian bawah bekas iaitu cili hutan.

Tuaian segar dari kebun kecil dibuat pagi tadi. Hanya ada tiga jenis sayuran baru dalam tuaian kali ini iaitu terung panjang ungu(dah dituai sebelum ini tapi tak diambil fotonya), labu botol(atau labu air?) dan cili hijau/merah panjang. Labu botol merupakan tuaian pertama. Cili Kulai King berterusan memberi hasil yang sangat memuaskan. Cili solok masih berbuah biarpun tak begitu lebat. Terung panjang hijau adalah hasil daripada pokok nan sebatang tapi ia sudah memadai buat penanamnya.

Tuesday, May 28, 2013

Buah Cermai


Cermai tergolong dalam kategori buahan nadir di Malaysia. Jika dulu ia agak mudah ditemui kerana kebanyakan orang menanam pokok cermai tapi kini ia semakin berkurangan dan semakin sukar untuk kita jumpa pokok atau buah cermai. Rasa buahnya yang sangat masam mungkin menjadi punca utama ia dipinggirkan. Sebenarnya buah cermai tidak sesuai dimakan secara segar, ia lebih sedap dimakan bersama pencicah/colek. Buahnya yang matang juga boleh dijadikan jeruk dan halwa. malangnya generasi sekarang kebanyakan tidak berminat dengan makanan tradisional dan pastinya ada antara kita yang belum pernah melihat pokok dan buah cermai ini.

Friday, May 24, 2013

Ulat Gulung


Entri ini dibuat atas permintaan salah seorang pembaca blog Dedaun Alam suatu ketika dulu. Katanya, dia sudah lama tak melihat ulat gulung pada daun pisang. Ini komen pembaca tersebut yang hanya dikenali dengan nama Aza Mars, "jarang jumpa ngan kumbang nih~~jgn la dipupuskannya.. lagi satu aku dh tak pernah tgk katak pisang,kodok ngan ulat yg ada kt daun pisang yg brgulung---kalu ada pn aku jumpa gulungan daun pisang yg brgulung..."

 Ini pula respon saya kepada komen beliau, "Sekarang dah makin sukar untuk jumpa kumbang pengorek lubang ni. Rekabentuk rumah dah banyak guna konkrit dan pasang siling, kumbang nak korek lubang buat sarang dah tak boleh. Terpaksa cari pokok/dahan mati utk teruskan kelangsungan hidupnya. Ulat yang gulung daun pisang tu memang dah lenyap kat tempat saya. Daun pisang yang saya tanam tiada satunya yg digulung oleh ulat. Mungkin rama2 yang bertelur di daun pisang dah berkurangan."

 Dua minggu lepas saya terpandang ada gulungan pada daun pisang yang ditanam. Sahlah ulat gulung masih wujud biarpun tak banyak. Kepada sesiapa yang rindu nak tengok ulat gulung, boleh tengok kat sini ye. Ada tak rakan-rakan maya yang tak pernah lihat ulat gulung ni?

Tuesday, May 21, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Betik Sekaki



Biji benih betik ini asalnya daripada betik klon MARDI. Sepokok betik jenis ini antara tanaman yang mula-mula ditanam dalam kebun kecil. Bila pokok telah membesar, ia mengambil ruang yang agak luas, banyak pokok yang berada di bawah naungannya terpaksa mengalah kerana kekurangan cahaya. Nak alih ke tempat lain pun tak boleh kerana pokok betik ini dah lebih tinggi dari orang yang menanamnya. Semasa entri ini ditulis, buah sulungnya belum lagi masak. Tak sabar nak tengok warna isinya dan bagaimana pula rasanya. Adakah betik klon MARDI sama dengan betik sekaki yang popular tu?

Sunday, May 12, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Cambahan Semulajadi


Semaian biji benih adalah antara salah satu cabaran besar buat penanam/pekebun sayuran berskala kecil iaitu sebagai pengisi masa lapang serta kawasan lapang dan tak lapang di laman rumah seperti saya dan kawan-kawan sekbun maya lain.

Ada biji benih yang perlu direndam dulu, ada yang perlu ditoreh dan ada yang perlukan tempat gelap untuk bercambah. Biji benih petola segi yang beli ditoreh pada bahagian kulit berdekatan mata tunas untuk memastikan ia bercambah. Ini kerana biji benih yang disemai terus, akan rosak(menjadi seakan jus dalam kulit) kerana mata tunas gagal memecahkan kulit keras.

Buah petola segi yang tua melebihi keperluan untuk semaian semula, jadi saya biarkan beberapa biji dalam kebun kecil. Letak atas tanah dan biarkan ia behujan panas beberapa ketika. Setelah lama terdedah kepada kitaran hidup secara semulajadi, akhirnya biji benih dalam buah petola ini bercambah dengan sendirinya. Sekarang, petola segi merupakan antara sayuran terbanyak dalam kebun kecil kerana ia bercambah dan membesar dengan sendiri. Ia lebih berdikari dan mampu menangani masalah dengan persekitaran dengan mudah.

Thursday, May 9, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Markisa


Setelah lebih enam bulan ditanam, pokok markisa yang dibiarkan melilit dan melingkari pagar akhirnya berbunga dengan lebat. Dalam tempoh hampir dua bulan semua bunga yang mekar tidak menjadi buahnya. Dan selepas itu, kelihatan putik-putik buah bergantungan tapi kebanyakannya disengat oleh serangga perosak (lalat buah) yang menyebabkan buah rosak dan ada yang gugur.

Tuesday, May 7, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Keladi Johor


Keladi Johor antara tanaman sayuran tradisional yang saya tanam dalam kebun kecil tepi pagar. Sayuran jenis keladi agak sukar untuk didapati dalam pasaran di sini, jadi saya tanam untuk stok sayuran kegunaan sendiri. Untuk makluman rakan-rakan sekebun maya dan pembaca, keladi Johor adalah sayuran keladi yang agak baru berbanding keladi pinang. Keladi pinang telah lama ditanam dan banyak dijual di Malaysia. Keladi Johor paling sedap dimasak asam pedas sepertimana kebanyakan spesis keladi yang boleh dimakan.

Wednesday, May 1, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Ubi Itik

Anak pokok ubi itik yang berusia dua minggu.

Memandangkan ramai rakan sekebun maya yang menanam sayuran jenis klon baru dengan nama yang pelik-pelik, saya pula ambil langkah lebih tradisional iaitu menanam pokok ubi itik dalam kebun kecil. Saya percaya tidak ramai antara kita yang mengenali, melihat dan pernah makan ubi itik ini. Bagaimana rupa ubi itik? Inilah dia rupa ubi itik dan pokok yang dah memanjat.