VIP Dedaun Alam

Friday, April 29, 2011

Bunga Part XX

Atas permintaan en zul permatang badak(rakan maya satu aliran minat), bungaan dalam siri ke 20 ini adalah terdiri daripada bunga-bunga rumput atau rumpai yang tumbuh meliar. Beliau ingin lihat bunga yang terbiar diangkat ke mata dunia kerana kecantikan bungaan ini sering diabaikan. Bunga-bunga ini kebanyakan antara akan terlepas pandang dan pasti terpijak jika melalui kawasan yang ditumbuhi oleh pokok-pokok ini. Ada di antara pokok yang mengeluarkan bunga yang cantik ini bersaiz lebih rendah daripada rumput sambau. Kita hayati bersama keindahan bunga ciptaan Illahi.



Yang ini bunga widelia. Bentuknya seakan bunga matahari tetapi bunganya hanya sebesar lebih kurang 5mm sahaja.

Pokok widelia tumbuh secara menjalar di atas tanah dan sering dianggap menyusahkan oleh sesetengah orang kerana ia cepat membiak dan akan menguasai satu kawasan dalam tempoh yang singkat.

Ini bunga daripada pokok yang dahulunya dijadikan ubat untuk kembung perut bagi bayi. Pokoknya berbau agak busuk.

Ini bunganya dari dekat. Putih bersih dan dihiasi dengan bulu-bulu halus. Bunga ini bersaiz sebesar lidi.

\Yang ini tidak diketahui namanya. Banyak tumbuh meliar di kawasan rumah dan kebun. En zul mungkin tahu nama pokok ini.

Pokok ini tumbuh di celah-celah pokok rumput sambau. Kita mungkin terpijak tetapi lihatlah bunganya yang cantik dan memberi manfaat kepada semut kerana madunya.

Bunga sawi langit. Banyak tumbuh di kawasan terbuka.

Thursday, April 28, 2011

Remilang

Pokok remilang

Pokok remilang ini yang juga dikenali dengan nama beremi atau pucuk sepit ini adalah tumbuhan yang hidup secara meliar. Info mengenainya boleh dibaca di sini. Dalam entri sebelum ini, pokok remilang atau beremi dibeli di pasar untuk dimakan sebagai ulaman. Kali ini, ia hidup secara semulajadi.

Wednesday, April 27, 2011

Pokok ??


Pokok jenis menjalar dan memanjat ini sangat popular pada tahun 70-an hingga 80-an. Ia biasanya ditanam sebagai hiasan digerbang rumah. Pokok hiasan ini mengingatkan saya kepada arwah datuk dan nenek kerana pokok ini ditanam di anjung (porch) rumah. Pokok ini dibiarkan melilit pada dua batang tiang dan dijadikan gerbang alam semulajadi. Sekarang pokok hiasan hiasan ini telah disisihkan. Pokok dalam foto di atas ditemui hidup meliar dengan melilit di pagar kebun.

Sunday, April 24, 2011

Amaran Si Yellow Vented Bulbul

Burung merbah kapur atau yellow vented bulbul ini berkicau dan membuat pergerakan sebagai amaran kepada saya semasa hendak mengambil gambar putik buah sentul klon. Kelakuan seperti ini biasanya sebagai amaran, sarangnya ada berhampiran. Puas saya mencari sarangnya tetapi gagal. Burung merbah kapur ini diam setelah saya berlalu pergi dari situ. Inilah foto aksi burung merbah kapur yang sempat saya ambil.



Untuk melihat aksi burung ini memberi amaran, scroll down foto ini dengan gerakan yang agak cepat.

Thursday, April 21, 2011

Pisang Berangan

Setandan pisang berangan yang matang. Boleh dituai dalam tempoh sebulan atau lebih.

Pisang berangan merupakan varieti pisang tempatan yang paling terkenal dan mempunyai pasaran yang meluas di seluruh dunia. Pisang jenis ini menjadi pilihan utama untuk ditanam secara ladang kerana permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.

Tuesday, April 19, 2011

Pisang Kapal

Buah pisang kapal yang masih muda.

Pisang kapal adalah antara pisang tempatan yang semakin sukar temui ditanam sekarang. Buah pisang kapal tidak mempunyai nilai komersil yang menyebabkan ia tidak menjadi pilihan peladang untuk menanamnya secara ladang. Pisang kapal juga dikenali sebagai dwarf banana (pisang kerdil) kerana ketinggiannya yang sederhana iaitu sekitar 1 hingga 1.5 meter sahaja.

Sunday, April 17, 2011

Pisang Nangka

Pisang nangka yang belum masak. Baru diambil semalam kerana pokoknya patah akibat beban buah yang berat walaupun telah ditongkat dengan kayu sebesar paha! Ada 6 sikat semuanya dan sebiji buahnya agak besar(bandingkan kesan tapak kaki dinosaur..err..ayam di atas simen pada bahagian atas buah pisang).

Pisang nangka adalah antara varieti pisang yang terdapat dan ditanam di Malaysia. Ia mendapat nama kerana apabila masak, isi buahnya berbau wangi seakan-akan nangka. Pisang nangka biasanya tidak dimakan segar kerana isinya agak pejal dan rasanya yang sedikit masam. Ia merupakan pisang yang terbaik untuk digoreng, dibuat pengat, disira, dimasukkan ke dalam pulut dakap dan beberapa jenis kuih tradisional tempatan. Benih pisang nangka ini dibawa dari kampung dan ditanam di tempat tinggal sekarang ini. Tanahnya sangat sesuai untuk tanaman pisang.

Wednesday, April 13, 2011

Bunga Part XIX

Bunga-bunga yang dipaparkan dalam part XIX ini kebanyakannya kurang dikenali dan jarang kita lihat.

Bunga cantik yang mekar secara bergugusan ini daripada pokok yang biasa ditanam sebagai peneduh di pantai dan taman.
Bunga bersaiz kecil ini adalah bunga rumpai liar. Ia biasanya tumbuh di kawasan terbuka seperti kebun.
Bunga semambu yang juga dikenali dengan nama mambu atau neem. Bunganya kecil dan akan menghasilkan buah berbentuk bujur.
Kudup bunga anggerik hutan. Pokok anggerik ini tumbuh di atas tanah bukannya menumpang pokok lain

Sunday, April 10, 2011

Pantai Kok

Pantai yang bersih. Tiada siapa yang berkelah atau bersantai di sini. Tiada sebarang kemudahan asas disediakan oleh pihak berkenaan seperti kebanyakan pantai di sini. Pantai ini biasanya dikunjungi oleh orang ramai semata-mata mahu menikmati laksa utara dan rojak buah yang dijual di sini. Ia juga digunakan sebagai 'track' untuk menunggang 'lembu'. Kuda yang dianggap lembu oleh anak saya.
Pemandangan dari pantai Kok ke arah Telaga Harbour Park

Kapal-kapal layar yang berlabuh berhampiran Telaga Harbour Park. Pemilik kapal layar yang kaya tapi mahu 'save budget' dengan tidak berlabuh di jeti Telaga Harbour yang mengenakan bayaran tertentu. Pulau buatan manusia yang dibina berhadapan Telaga Harbour Park yang berfungsi sebagai benteng penahan ombak. Dua bua pulau dibina untuk tujuan berkenaan.

Wednesday, April 6, 2011

Kubung 2

Kubung yang sedang bergayut pada batang pokok cermai manis.

Rasanya kubung ini masih juvenile (belum dewasa) kerana saiznya lebih kecil daripada kubung sebelum ini.

Ia sangat jinak dan langsung tidak melarikan diri semasa kamera dihala ke arahnya. Kubung adalah haiwan nokturnal (aktif pada waktu malam). Ia akan menjadi aktif apabila malam menjelma. Perhatikan bunga cermai manis yang lebat tu.



"Nak melayang ke tidak ni...?" Melayang adalah skil yang hebat dan unik bagi kubung.

"Atau lebih baik panjat pokok ni lebih tinggi lagi".

"Dia ni nampak baik je... Tak payah la aku lari. Biaq pi la kat dia nak amek gambaq aku pun. Nanti semua orang boleh tengok aku yang comel ni..hehe.."

Monday, April 4, 2011

Musim Bunga Di Langkawi

Ada orang yang memanggilnya bunga sakura kerana ia kelihatan seperti bunga tersebut.

Musim bunga bagi pokok ini di sini adalah pada bulan Mac. Pokok tabebuia berasal dari Amerika Tengah dan bahagian utara Amerika Selatan.

Bunganya akan keluar dalam jumlah yang banyak. Tabebuia adalah tumbuhan dalam famili bignoniaceae.

Terdapat dua jenis tabebuia yang ditanam iaitu bunga berwarna putih seperti ini dan bunga merah jambu.

Bunganya akan gugur setiap masa terutama ketika angin bertiup kencang.

Bunga tebebuia rosea yang berwarna merah jambu.