VIP Dedaun Alam

Sunday, August 21, 2011

Kuih Atap

Kuih atap, kuih nipah, bengkang atap dan gedung adalah nama bagi kuih tradisional ini. Sekali pandang ia kelihatan seperti otak-otak.

Salah satu kuih tradisional negeri Kedah adalah kuih nipah. Ada yang memanggilnya kuih atap, bengkang atap dan gedung cak. Kuih ini dibuat daripada adunan tepung pulut, kelapa parut dan gula merah. Adunan ini dibungkus dengan menggunakan dua keping daun nipah yang dipotong mengikut saiz kira-kira 20cm panjang. Daun nipah akan dilekatkan secara bertentangan menggunakan lidi. Sekarang kebanyakan lidi ditukar dengan stapler kerana mudah dan cepat tetapi ia tidak asli dan semulajadi. Daun nipah yang dimasukkan dengan adunan tadi dibakar sehingga masak. Kuih ini hanya dijual dalam bulan Ramadhan sebagai juadah berbuka puasa.. Pada masa lain agak sukar untuk mendapatkan kuih tradisional ini di pasaran.

Wednesday, August 17, 2011

Jus Rambutan

Jus rambutan yang menggunakan rambutan klon anak sekolah.

Rambutan anak sekolah masih banyak di pokok tapi dalam bulan Ramadhan orang kurang minat untuk makan buah rambutan pada waktu  malam. Buah rambutan semakin ranum dan ada yang telah gugur ke bumi. Dalam bulan Ramadhan ni berbagai jenis minuman yang dijual di bazaar Ramadhan dan kita hanya mendapati jus atau minuman adalah sama setiap tahun. Dan kerana ingin mencuba sesuatu yang baru dan 'menyelamatkan' buah rambutan daripada terbiar, jus rambutan ini adalah jawapannya. Pasti tak ramai yang pernah mencuba atau merasa jus rambutan ni. Mungkin ini kali pertama mendengar jus rambutan. Jus rambutan ini dibuat menggunakan rambutan anak sekolah. Untuk membuat jus ini pun agak mudah, saya gunakan +-500 gram buah rambutan, kupas dan isi rambutan diasingkan daripada bijinya. Masukkan isi rambutan ke dalam balang mesin pengisar bersama air, sedikit gula dan ais. Kisar sehingga hancur. Hasilnya seperti dalam foto, jus rambutan menjadi warna putih secara semulajadi. Rasanya sangat sedap dan asli. Nyaman tekak semasa berbuka puasa.

Sunday, August 14, 2011

Pisang Mantan

Pisang mantan yang telah matang.

Pisang mantan yang juga dikenali dengan nama pisang 40 hari adalah antara pisang tempatan yang kurang dikenali. Pisang mantan bersaiz sebesar pisang emas dan ia mengambil masa yang agak singkat untuk masak dari mula-mula keluar jantung iaitu kira-kira 40 hari. Pisang ini sedap dimakan segar. Jika buah pisang ranum, sedikit sukar untuk mengupasnya kerana kulit pisang ini seperti melekat pada isi buah.

Thursday, August 11, 2011

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Model : Rebung buluh madu. rebung buluh klon baru ini paling laris di pasaran.

Melentur buluh biarlah dari rebung bermaksud mendidik anak-anak biarlah sejak kecil lagi kerana apabila besar, majoriti yang sudah tidak mampu 'dilentur' lagi. Ketika anak-anak masih 'rebung', ia masih 'lembut' dan mudah dilentur dan dibentuk tetapi perlu berhati-hati kerana kerja-kerja melentur kena ada cara dan etikanya. Kalau tidak 'rebung' yang rapuh boleh patah. Dan apabila sudah menjadi buluh (dewasa), kerja melentur adalah suatu yang mustahil kerana kekuatan buluh sebenarnya mengatasi besi. Jika dilentur ia akan kembali ke sifat asalnya.

Sunday, August 7, 2011

Nona Serikaya

Buah nona serikaya atau buah sekaya yang sering dikelirukan dengan saudara rapatnya, nona.

Putik buah nona. Kulit buah nona agak licin berbanding nona serikaya(foto atas). Daun nona lebih runcing dan berwarna hijau gelap, daun nona serikaya lebih lebar dan berwarna hijau muda.


Nama Botani : Annona Squamosa
Famili : Annonaceae

Nona serikaya merupakan tumbuhan dalam famili annonaceae yang berasal dari Amerika Selatan. Pokok ini berketinggian sekitar 3 hinga 5 meter. Ramai yang terkeliru antara nona serikaya atau sekaya ini dengan nona. Sebenarnya ia adalah dua jenis buah yang berbeza tetapi dalam spesis dan famili yang sama iaitu Annona Squamosa (nona serikaya) dan annona reticulata (nona).

Daun nona serikaya direbus dan diminum untuk mengatasi masalah mual-mual, sengal-sengal tulang, batuk dan selsema. Daunnya yang ditumbuk digunakan sebagai pencuci rambut untuk mengatasi masalah sakit kulit.

Kulit buah nona serikaya direbus dan diminum untuk merawat demam dan cirit birit. Air rebusan akar pokok nona serikaya digunakan sebagai julap dan juga mengatasi masalah sakit tulang belakang dan sakit pinggang.

Biji buah nona serikaya yang ditumbuk dan disapu boleh digunakan mengatasi masalah sakit sendi. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan untuk membunuh kutu pada rambut. Sama seperti nona dan durian belanda, biji buah dalam famili annonaceae mempunyai toksik dan tidak boleh dimakan.

Thursday, August 4, 2011

Ulaman

Ini adalah antara ulaman kegemaran saya. Semuanya boleh dipetik secara segar dan tanpa bermusim.

Pucuk gajus. Rasanya sedikit kelat. Sedap dicicah budu atau sambal belacan.
Pucuk beko. Dicelur sebelum dimakan, rasanya pahit tapi sedap dimakan.

Pucuk cemumar. Salah satu ulaman yang mempunyai rasa unik.

Jantung pisang. Dibelah dua dan dicelur.

Pucuk semambu atau mambu ini rasanya agak pahit. Ia mepunyai khasiat untuk kesihatan.