Nama Botani : Psophocarpus tetragonolobus
Famili : Fabaceae/Leguminosae
Kacang botor atau juga dikenali dengan nama kacang botol merupakan tumbuhan jenis menjalar/memanjat yang dipercayai berasal dari Afrika Timur, Utara India dan Papua New Guinea. Kacang botor mempunyai daun jenis trifoliat dan berbunga pada ketiak daun dengan bilangan 2 hingga 10 kuntum bagi setangkai bunga. Bunganya berwarna biru, putih, merah dan kuning mengikut baka. Buah kacang botor panjang dan berbentuk empat dengan empat sayap pada setiap segi. Pokok kacang botor mula berbunga dan mengeluarkan setelah dua setengah hingga 5 bulan ditanam. Tempoh berbuah selepas ditanam adalah mengikut baka. Buahnya sesuai dipetik sebelum 20 hari selepas berbunga dan ia akan matang setelah berusia 65 hari.
Buah muda kacang botor mengandungi protein, mineral, kalsium dan Vitamin A. Daunnya mengandungi protein, mineral, Vitamin A dan Vitamin B. Biji buah yang masak mengandungi air, protein, karbohidrat, lemak dan fiber. Asid amino yang terdapat dalam kacang botor hampir sama dengan kacang soya.
Selain buah, daun dan bunganya juga dijadikan makanan. Ada baka kacang botor yang mempunyai ubi di dalam tanah dan ia juga boleh dimakan. Biji buah kacang botor boleh diproses sepertimana kacang soya. Daun kacang botor yang dikeringkan dan dijadikan sebagai teh digunakan untuk mencuci mata yang bengkak, bisul dan kudis. Untuk merawat bisul, daunnya yang ditumbuk lumat ditampal pada tempat berkenaan. Daun serta biji kacang botor yang dimasak dan dimakan dikatakan dapat merawat bisul dan ulser. Akar pokok ini direbus dan diminum airnya sebagai meredakan vertigo. Buah kacang botor mengadungi tokoferol yang bersifat anti penuaan dan antioksidan. Bagi penggemar kacang botor, ianya awet muda.