Segar dari kebun untuk tuaian kali ini adalah sawi fair lady extra dwarf. Yang ini saya tanam pada batch kedua. Sekali tuai untuk dua kali makan. Betul kata kawan-kawan yang biasa makan sawi jenis ini, ianya manis dan sedikit pahit. Sedap...saya boleh makan mentah.
Friday, November 30, 2012
Thursday, November 29, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Ulam Raja, Misi Sukses
Salah satu daripada pokok ulam raja yang ditanam menggunakan pucuk seperti paparan dalam posting terdahulu. Ianya hidup subur dan pucuknya begitu menggoda tuan kebun untuk dipetik sebagai ulam tapi misi untuk membiakkan pokok ulam raja menggunakan biji benih perlu diteruskan. Ia dibiarkan berbunga dan menghasilkan biji benih.
Inilah buah ulam raja yang dah boleh disemai. Biji benih ulam mudah hidup, saya tabur terus ke tanah.
Anak-anak pokok ulam raja dah muncul dan kali ini ia dalam jumlah yang banyak. Lepas ni tuan kebun boleh makan ulam raja segar dari kebun. Misi untuk cambahkan anak pokok ulam raja daripada keratan pucuk yang dibeli di pasar dah sukses.
Monday, November 26, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Kailan??
Pada bungkusannya tertera nama dan gambar kailan, saya beli sebungkus kerana teruja untuk makan kailan segar yang ditanam sendiri. Tiga kali buat semaian baru berjaya bercambah dan hidup. Dua semaian sebelumnya, tak berjaya kerana biji benih dimakan semut. Bila anak cambahan mula membesar, ia dipindahkan ke batas. Di tempat baru yang berkongsi dengan petola segi sebagai pokok peneduh, anak-anak pokok ini membesar. Tapi kenapa ia tak sama seperti kailan? Mungkin masih muda, pujuk hati sendiri. Namun kailan yang dinanti tak nampak rupa, semua yang ditanam bertukar menjadi sawi putih atau sawi pak choy. Magis betul...
Friday, November 23, 2012
Berangan
Berangan yang ini bukannya berangan-angan(berimaginasi) atau pisang berangan tapi ianya buah berangan. Siapa yang pernah makan atau biasa lihat buah berangan? Pernah makan tapi itu cerita lama dulu. Berangan ni mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak(sekolah rendah) dulu. Bila tiba musim berangan berbuah dan gugur, kami(adik beradik dan kawan-kawan) akan pergi mengutip buah berangan untuk digoreng. Berangan digoren dalam kuali tanpa minyak bersama batu-batu kecil. Buah berangan perlu digoreng sehingga isi dibahagian dalamnya masak. Inilah rupa buah berangan yang dah siap digoreng. Berangan ini saya beli dengan harga RM30.00 sekilogram. Zaman kecil dulu, ianya percuma dan kita boleh kutip sebanyak mana yang diingini. Sekarang harganya melambung. Dan dah berpuluh tahun saya tak melihat pokok berangan dan buah berangan segar yang gugur di bawah pokok.
Berangan ini juga mengingatkan saya kepada lagu dialek Kelantan yang popular suatu masa dulu. Ianya dinyanyikan untuk permainan kanak-kanak yang menggunakan jari dengan meletakkan tapak tangan. Saya pun dah lupa bagaimana permainan tersebut dimainkan. Nostalgia yang tak mungkin berulang pada zaman kini.
Antara lirik lagu tersebut:
Cak Klepik Klepuk Klepar
Cak klepik klepuk klepar,
Buoh berange lokoh kulit,
Akat cerano takdok temaka,
Mari Same kito kelik,
Lik lik gung,
Pok Talib keno sigung,
Naik pokok nyor,
Turun kot pelepoh,
......(lirik seterusnya saya dah tak ingat)
p/s : Ada sesiapa yang ingat lirik lagu ni, bolehlah kongsikan ka sini. Terima kasih.
Terjemahan ke BM akan saya buat selepas ini.
Thursday, November 22, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Peria
Kudup bunga peria jantan. Seperti kebanyakan pokok sayuran jenis menjalar/memanjat lain, bunga-bunga jantan peria akan muncul dan mekar dulu sebelum keluar putik buah berserta bunga betina.
Bunga jantan peria yang sedang mekar. Jika beberapa pokok peria ditanam dan bila bunga-bunganya mekar, kita akan dapat menghidu keharuman yang sangat mengujakan dari pagi hingga ke petang. Biarpun buah peria rasanya pahit namun bunganya sangat harum dan dapat dihidu dari jauh. Selepas seminggu bunga-bunga jantan muncul dan mekar, putik-putik buah serta bunga betina akan keluar. InsyaAllah, dapat tuai buah peria segar dari kebun pula lepas ni.
Wednesday, November 21, 2012
Ulaman Bahagian 5
Pucuk melur hutan. Dimakan segar atau mentah dan ianya baik untuk ibu lepas bersalin. Pucuk melur hutan tidak dijual di pasaran dan ianya agak sukar untuk diperolehi.
Pucuk dan buah putat. Pucuk putat dimakan segar ulaman dan buahnya dihiris nipis-nipis untuk dijadikan ulaman. Selain dijadikan ulaman, pucuk putat merah(putat nasi) boleh digunakan sebagai syampu organik.
Selom. Dimakan sebagai ulaman atau dijadikan kerabu.
Bendi. Dimakan segar atau dicelur .
Kacang panjang juga sedap dijadikan ulaman.
Thursday, November 15, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Kacang Panjang Galaxy
Pokok kacang panjang galaxy. Daripada 10 biji benih, 6 pokok yang berjaya meneruskan hidup dan berbuah. Yang lain-lain, gagal untuk melihat dunia. Kacang panjang jenis ini cepat berbuah dan lebat. ia juga tahan penyakit tapi tidak dapat menahan serangan ladybird. Kesan gigitan pada daun adalah hasil kerja kreatif oleh ladybird dan anak-anaknya.
Buah kacang panjang galaxy bersama bendi singa(dan benih bendi singa yang kedua). Ianya memberi keriangan berganda kepada tuan kebun kerana setiap tangkai ada dua kacang.
Thursday, November 8, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Sawi Fair Lady Extra Dwarf
Benih sawi fair lady extra dwarf ini saya dapat percuma daripada en Iskandar(www.tanamsendiri.com). Ianya diberi sebagai benih kongsi dalam pesanan biji benih. Waktu dilalihkan, ianya agak mengecewakan saya kerana serangan serangga yang teruk terhadap anak pokok sawi sehingga ada antaranya hanya tinggal tulang daun. Jadi, saya biarkan ia survival dengan sendirinya kerana tak pernah jumpa serangga yang memakan daunnya. Sesuai dengan namanya, sawi fair lady extra dwarf, sawi ini bersaiz kecil dan comel. Akhirnya, ia membesar tanpa sebarang serangan serangga perosak setelah terdapat sayuran lain yang ditanam terutamanya kacang panjang yang cukup digemari oleh serangga perosak seperti lady bird 12 spot dan larvanya. Sawi yang saya tanam ni dah berbunga. Saya tak tuai sawi batch pertama ni. Batch kedua sawi fair lady extra dwarf dah ditanam dan akan dituai bila ia membesar seperti ini.
Tuesday, November 6, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Petola Ular Atau Petola Gamat?
Buah petola ular ini ditanam dalam kebun kecil pagar tapi bentuknya sangat berbeza dengan petola ular yang biasa saya lihat sebelum ini. petola ular mempunyai bentuk seakan ular, panjang dan mempunyai jalur hijau-putih. Petola ular yang saya tanam ini bersaiz sebesar betis kanak-kanak(lebih kurang saiz petola sarang) dan jauh lebih pendek daripada petola ular biasa. Adakah ianya klon atau varieti baru petola ular? Bau buahnya memang sah baka petola ular. Dek kerana bentuk buahnya yang pendek dan bulat seperti gamat, saya memanggilnya petola gamat..hehe..
Mungkin ada antara kita yang biasa lihat petola ular yang berbentuk seperti ini, bolehlah kongsi ilmu dan pengalaman di sini.
Thursday, November 1, 2012
Kebun Kecil Tepi Pagar - Ejen Yang Comot
Dalam kebun kecil tepi pagar saya terdapat berbagai jenis serangga yang menjadi ejen pendebungaan. Semut hitam kecil ini adalah antara peminat madu bunga bendi. Dek kerana terpikat dengan manisnya madu, habis badan semut kecil ni comot dengan nektar bunga. Ia sedang berusaha untuk membuang nektar yang melekat pada seluruh badannya.
"Adoyaii...nak berjalan pun payah ni..huhu...", kata semut hitam. Kesian pulak tengok ejen saya yang comot ni berjalan atas kelopak bunga bendi.