Wednesday, October 31, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun

Bendi singa, kacang panjang dan selom yang dituai petang kelmarin. Semuanya masih segar dari kebun. Bendi singa dah dituai dua hari lepas untuk dibarikan kepada kawan. Tak banyak yang tinggal. Biasanya bendi dituai empat hari sekali. Bndi yang paling atas sudah cukup tua untuk dijadikan benih. Ia dipetik daripada bendi dalam foto di bawah. Selom dipetik untuk sekali makan sebagai ulaman. Kacang panjang galaxy adalah tuaian pertama, hasil belum banyak lagi tapi tuan kebun puashati sebab ianya segar dari kebun dan seperti biasa ia bebas racun. Boleh dimakan segar tanpa ragu-ragu.

Buah bendi singa yang tidak dituai untuk dijadikan benih. Saya simpan dua biji buah bendi sulung supaya mendapat buah terbaik sebagai benih.

Thursday, October 25, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Serangga Pembantu & Perosak

Ladybird atau ladybug sebenarnya ada lebih 300 spesis. Bukan semua spesis ladybird membantu petani. Spesis ladybird dikelaskan mengikut bintik pada badannya. 12 spot ladybird seperti dalam foto ini adalah jenis perosak samada larvanya atau ladybird dewasa. Lihat kesan gigitan pada bahagian atas daun. Ia hanya memakan bahagian atas daun tanpa melubangkannya. Kerosakan pada daun tidak begitu teruk kerana jumlahnya yang sedikit. 

Bila nampak tuan kebun, tau pula dia melarikan diri dan sembunyi dengan membuat penyamaran. Macam la tuan kebun tak nampak...hehe.. Ladybird ni saya tak sampai hati nak musnahkan. 

Ladybird 2 bintik ini bersaiz agak kecil. Hanya 1/4 daripada saiz ladybird yang pertama. Foto ladybird ni agak blur kerana ia sedang berlari-lari anak atas daun setelah melihat tuan kebun. Tak pasti kehadirannya untuk menolong atau sebaliknya.

Yang ni sedia untuk menyuntik buah dengan telurnya. Ia adalah antara musuh utama petani dan penanam.

Serangga? Labah-labah bukan serangga tapi araknid. Labah-labah karnivor kecil ini menangkap serangga lain untuk dijadikan makanan.




Tuesday, October 23, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Tetamu Yang Baik & Tidak

Antara ejen pendebungaan dalam kebun kecil saya. Rama-rama kecil berehat di atas daun kacang panjang.

Bari-bari dan semut yang memunggah nektar bunga bendi singa.

Serangga hitam dengan corak putih dan merah ini tak dikenali oleh saya. Tak pasti samada kehadirannya untuk membantu atau sebaliknya. Rasanya ia sama spesis dengan serangga dalam foto di bawah.

Serangga ini mungkin masih muda. Rasanya ia menjadi serangga seperti dalam foto di bawah apabila dewasa.

Masa kanak-kanak, kami memanggilnya superman kerana sayap yang panjang dan berwarna merah. Ia menghisap cairan di bawah daun dan merembeskan cecair. Apa agaknya nama betul serangga ini?

Friday, October 19, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Tembikai Kuning

Bunga jantan tembikai isi kuning. 

Putik bunga kacang panjang galaxy. Bunga sulung daripada pokok yang ditanam.

Tanaman sampingan, pegaga yang kaya dengan pelbagai khasiat dan baik untuk kesihatan badan kita.



Tuesday, October 16, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun


Bendi singa hasil tuaian kali ketiga. Setakat ini hanya 5 daripada 9 pokok yang boleh dituai. 4 pokok lagi ada yang baru berbuah dan berbunga. Lepas petik buah, terus ambik gambar. Segar dan bebas racun. Bendi ni dah selamat dimasak kari bersama ikan pari. Sedap.....

Monday, October 15, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Ahli Baru Kebun

Anak pokok petola ular yang disemai pada 27/09/12. Tanam lima pokok lagi menjadikan tujuh pokok kesemuanya. Dua pokok yang mula-mula ditanam dah ada tiga putik buah.

Anak pokok peria, lima pokok semuanya.

Cili yang saya kurang pasti jenis atau varietinya kerana semasa disemai ada tiga jenis iaitu cili kampung, cili solok dan cili kulai king. Dua daripada bekas semaian tak berjaya hidup dan yang bercambah ini telah saya alih posisinya. Silapnya saya tak buat penandaan.

Anak bendi emas. Saya tanam lima pokok sejajar dengan bendi singa baka F1, 979. Mana tau lepas ni ada benih cross breed antara bendi singa dan bendi emas, bolehlah saya letak namanya, bendi singa emas..hehe..

Kacang botor, daripada lima biji benih yang disemai hanya dua yang berjaya meneruskan hidup.

Anak pokok yang senget ni adalah petola segi. Bukan patah tapi saya semai di bawah lindungan matahari. Jadi, ianya condong ke arah cahaya matahari.

Friday, October 12, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Selom & Pokok Buahan

Bunga selom daripada pokok yang ditanam menggunakan keratan batang yang dibeli dari pasar sebagai ulaman.

Salah satu daripada dua pokok mulberi yang disemai menggunakan keratan batang. Pokok mulberi mengambil masa yang agak lama untuk bertunas dan berpucuk.

Nangka madu yang disemai menggunakan biji benih daripada buah yang dibeli. Pokok yang disemai menggunakan biji biasanya tidak menghasilkan buah seperti induknya. Anak pokok ini akan di'kahwin apollo' dengan klon asli nangka madu.

Pokok markisa dah melilit pagar. 

Pokok pisang tanduk. Yang ni ditanam di luar kebun kecil.

Pisang nangka.  Antara koleksi pisang yang saya tanam setakat ini ialah pisang berangan kampung, berangan cavendish, abu, nipah, kapal dan mantan.





Thursday, October 11, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Tuaian Pertama & Senyuman

Ini yang membuatkan tuan kebun tersenyum, putik dan bunga betina petola ular. Bunga-bunga yang keluar sebelum ini semuanya jantan.

Pokok ulam raja yang ditanam menggunakan pucuk telah berbunga. Bunga-bunga ini akan menghasilkan benih dan lebih banyak pokok ulam raja boleh ditanam selepas ini.

Tuaian pertama bendi singa. Daripada 10 biji benih yang disemai, 9 bercambah dan membesar, 5 pokok dah berbuah. 6 biji bendi segar dari kebun. Yang penting ia bebas racun dan organik. 2 biji buah bendi sulung tak dituai, nak simpan sebagai benih.

Semaian pada 04/10/12 dah bercambah. Antaranya peria, labu botol, petola segi, kacang botor dan yang kecil-kecil adalah anak kailan. Biji benihnya tertumpah,  kutip dan tabur dalam bekas ini. Kailan ini adalah semaian kali ketiga.

Cili hutan yang disemai menggunakan biji daripada buah segar.

Tuesday, October 9, 2012

Bunga Lempoyang

Lempoyang yang berbunga mengikut musimnya. Bentuk bunganya seakan mikrofon dan sering dipetik untuk dijadikan bunga kering hiasan. Rizom pokok lempoyang mempunyai pelbagai khasiat untuk perubatan. Kajian saintifik mendapati ia mampu merawat kanser.
Khasiat pokok lempoyang boleh baca di sini.

Friday, October 5, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Semaian 27/09 & 04/10

Biji benih yang disemai pada 27/09/12. Berkongsi bekas semaian ini dari kiri, sawi fair lady, petola ular, timun jepun (perfect green), labu air yang belum bercambah dan bendi emas.

Semaian kali ini lebih menjadi kerana kesemua lima biji benih petola ular bercambah.


Cili solok siam. Semaian kali kedua kerana pada semaian pertama semua biji benih dimakan semut gatal. Ada kisah menarik di sebalik cili solok ini. 

Cili kulai king. Semaian kali ketiga. Yang pertama dan kedua tidak berjaya kerana dimusnahkan oleh semut gatal. Mereka memakan cambahan anak pokok dan kotiliden semasa benih bertunas.

Semaian pada 04/10/12. Petola segi, kacang botor, labu botol dan peria.

Hasil pertama bendi singa yang ditanam sehari sebelum raya. Bendi-bendi ini akan dituai esok.

Tuesday, October 2, 2012

Yang Singgah Di Sini...

Mereka sering kelihatan singgah dan hinggap di sini tapi ada juga spesis burung yang sangat jarang untuk dijumpai seperti tiung belacan. Burung-burung lain yang biasa dilihat di sini adalah dendang selayang, melilin, bangau, camar, layang-layang, helang, butbut dan beberapa spesis yang tak dikenali oleh saya.

Burung kelicap yang sering kelihatan singgah untuk menghisap madu bungaan.
Saya hanya sekali lihat burung ini singgah di sini. Sempat ambil dua keping gambar dan ia terus terbang. Spesis ini jarang dilihat dan agak sukar untuk dijumpai. Burung daripada spesis tiung ini dikenali dengan nama tiung belacan. Suara tidak merdu seperti saudara rapatnya iaitu tiung emas.

Burung cecawi yang kesejukan selepas hujan lebat. Singgah hanya sekejap sebelum terbang. Spesis cecawi anting-anting sering kedengaran suaranya tapi payah untuk diambil gambar. Bila nampak orang, ia terus terbang jauh.

Penangkap ikan atau udang yang mahir. Ia juga pakar terjun junam. Pekaka yang berehat di atas kabel elektrik.