Thursday, June 28, 2012

Locong

Locong biasanya dibuat dengan pelbagai bentuk dan warna.

Locong adalah salah satu makanan tradisional Kelantan yang akan dicari oleh penggemar dan peminatnya. Nama locong popular dan jadi sebutan ramai ketika bulan puasa kerana ia biasanya dijual dalam bulan Ramadhan sebagai makanan berbuka puasa. Locong dijual dalam bungkusan plastik. Bagi penggemarnya, ada beberapa cara untuk menikmati makanan pencuci mulut ini iaitu menuangkan santan yang dimasak dan dicampurkan air gula melaka/gula merah(seperti kuah cendol). Cara kedua, tuangkan susu pekat manis dan sedikit air masak, kacau rata dan boleh dimakan. Cara ketiga iaitu cara paling mudah, campurkan air gula ke bekas yang diisikan dengan locong dan nikmatinya. Rasanya yang kenyal dan sejuk sangat menyegarkan ketika berbuka.

Monday, June 25, 2012

Kuih Buah Tanjung

Kuih buah tanjung

Ramadhan semakin dekat dan bila tiba bulan puasa, kuih buah tanjung menjadi satu kemestian dan kuih yang mesti ada ketika itu. Kuih buah tanjung merupakan kuih tradisional yang berasal dari Kelantan. Biasanya kuih ini hanya dijual dengan banyak dalam bulan Ramadhan sebagai juadah berbuka puasa. Kuih ini tidak dimakan sebagai juadah atau kudapan tapi sebagai pencuci mulut kerana rasanya yang sangat manis. Kuih tradisional ini dibuat dengan bahan-bahan yang mudah namun cara untuk membuatnya memerlukan sentuhan seni dan kesabaran. Acuan tidak digunakan untuk membentuk seperti buah tanjung, hanya sentuhan tiga jari menjadikan bentuk dan saiz kuih ini. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih buah tanjung ialah tepung beras, tepung pulut, kuning telur itik, gula, daun pandan, air dan bunga cengkih. Tepung pulut, tepung beras yang digoreng tanpa minyak dan kuning telur itik(dipukul hingga kembang) diadun dan diuli hingga menjadi doh yang lembut. Guna tiga jari untuk membuat bentuk dan saiz seakan buah tanjung. Kerja membentuk perlukan kesabaran kerana ia perlu dibuat satu demi satu sehingga doh habis. Setelah siap dibentuk, kuih ini dimasak dalam air yang dicampur gula, bunga cengkih dan daun pandan sehingga masak.

Friday, June 22, 2012

Bunga Part XXX

Bungaan dalam Bunga Part XXX ini merupakan bunga daripada pokok yang tumbuh meliar dan rumpai. Ada yang ditanam sebagai pokok hiasan seperti jarak pagar. Bungaan lain adalah bunga-bunga kecil yang kita terlepas pandang untuk melihat keindahan dan kecantikannya. Dedaun Alam membawa bunga-bunga kecil ini ke dalam dunia yang lebih besar untuk tatapan semua.

Bunga dan buah yang cantik ini ialah bunga jarak pagar. Biarpun pokok jarak pagar berketinggian sehingga 2 meter tetapi bunganya bersaiz agak kecil dan keluar dalam jumlah yang banyak
.
Bunga maman hantu yang cantik. Tidak nampak hantunya.

Bunga ini bersaiz kecil, saya telah terpijak pokoknya semasa mengambil gambar bunga maman hantu di atas dan terpandang bunga di celah dedaunnya. Ini bunga rumput yang biasa tumbuh di kawasan terbuka seperti padang, sawah dan kawasan terbiar.

Siapa tahu dan kenal nama pokok ini? Saya kurang pasti nama asal pokok yang tumbuh meliar dan berkhasiat sebagai ubatan herba. Rempah padang? Bunganya sangat kecil tapi cantik.

Wednesday, June 20, 2012

Puding Diraja

Puding Diraja atau Royal Pudding

Makanan tradisional yang berasal dari Pahang dan biasanya hanya terdapat di daerah Pekan iaitu bandar diraja Pahang. Puding Diraja merupakan sajian diraja suatu masa dahulu dan sekarang ia telah dikomersilkan. Bahan utama Puding Diraja adalah pisang lemak manis, jala mas, prune kering, ceri, gajus dan kuah. Pisang yang digunakan daripada jenis lemak manis sahaja. Jala mas dibuat menggunakan kuning telur itik. Kuah untuk puding ini adalah campuran susu cair, gula dan esen vanila yang dimasak di atas api perlahan. Bahan ini dikacau rata supaya tidak berketul dan dimasak sehingga mendidih. Setelah pekat, ia disejukkan. Untuk menikmati kesedapan puding diraja ini, kuah dituang ke atas bahan-bahan puding.  Kali pertama saya merasa puding diraja ini dan ternyata ianya sangat sedap. Sesuai untuk dijadikan sajian pencuci mulut (dessert). Untuk melihat susun atur puding diraja yang lebih sempurna atau ingin merasai kesedapan puding ini, boleh jenguk ke tempat asal dan pembuat puding diraja ini, myroyalpudding.

Sunday, June 17, 2012

Gasing Terbang

Gasing terbang adalah permainan tradisional rakyat Kelantan. Gasing terbang berpusing sehingga hampir tiga jam lamanya.

Setiap gasing bersaiz kira-kira 15 cm dengan berat lebih kurang 4 kg. Lilitan timah pada bahagian untuk memberi tambahan berat kepada gasing terbang dan membolehkannya berpusing lebih lama dan seimbang. Tiang berukiran pada bahagian tengah gasing hanya sebagai hiasan, ia dihasilkan daripada aluminium.

Kayu yang biasa digunakan untuk menghasilkan gasing terbang adalah merbau dan membaru. Gasing dalam foto menggunakan kayu yang unik. Mengikut pemilik/pembuat gasing ini, kayu yang digunakan ialah kayu dedalu pokok getah (dedalu yang menumpang pada batang pokok getah). Bahagian kiri gasing dalam foto adalah kayu getah dan sebelah kanannya kayu pokok dedalu. Kayu jenis ini bukan mudah ditemui.


Kenapa permainan gasing ini dipanggil gasing terbang? Sila lihat video yang dirakam di bawah. 


Tuesday, June 12, 2012

Kuih Tahi Itik

Kuih tahi itik antara kuih tradisional yang mempunyai nama unik.

Pernah dengar nama kuih tahi itik? Kalau biasa dengar namanya, pernah tak lihat bagaimana rupa dan merasa kuih tradisional ini? Kuih tradisonal negeri Kelantan ini dibuat menggunakan putih telur itik, santan kelapa, gula, tepung pulut dan tepung beras. Semua bahan ini diadun dan dimasak. Setelah masak, ia dibentuk mengikut citarasa masing-masing. Kuih tahi itik tiada bentuk yang spesifik. Kuih ini popular ketika bulan Ramadhan namun tidak banyak tempat/orang yang membuat dan menjualnya.

Sunday, June 10, 2012

Manila Palm

Pokok palma Manila ditanam sebagai hiasan landskap dan antara spesis palma yang menjadi pilihan di Malaysia.

Sesuai dengan namanya, palma ini merupakan tumbuhan yang berasal daripada Filipina. Palma ini dijumpai di kawasan pantai Pulau Palawan dan Coron. Palma Manila ini tumbuh di hutan terbuka tanah batu kapur yang curam. Nama botani bagi palma ini ialah Veitchia merillii dan ia juga dikenali dengan nama Christmas Palm, Adonidia Palm dan Dwarf Royal Palm. Pokok palma ini tumbuh dengan satu batang tunggal dan ketinggiannya sehingga 25 meter.

Setiap pokok palma Manila mengandungi sehingga 14 pelepah daun yang padat sepanjang 1.5 meter. Mayang bunga palma ini keluar dicelah upih pelepah dan apabila matang ia akan berada di bawah pelepah daun. Bunganya akan menghasilkan buah bersaiz 3.0 cm panjang dan 1.9 cm lebar. Buah palma ini semasa muda berwarna hijau dan berubah menjadi merah terang apabila masak.

Wednesday, June 6, 2012

Pisang Kapas


Pisang kapas banyak ditanam di kawasan kampung sejak lama dulu dan sehingga sekarang ia masih bertahan. Pisang kapas sebenarnya ada banyak kegunaannya. Dari batang sehingga daun boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Buah yang muda, boleh dimasak gulai bersama ikan kering dan dijadikan kerepek. Buah pisang kapas yang masak boleh dimakan segar. Bau isinya sangat harum. Ia juga dijadikan bahan penting untuk kuih cucur kodok atau cekodok atau jemput-jemput pisang, kek dan pelbagai jenis kuih muih tradisional. Daun pisang kapas digunakan sebagai pembungkus mesra alam. Batang pokok pisang yang telah ditebang dicincang dan dijadikan makanan ternakan. Jantung pisang kapas sedap dicelur untuk dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu. Ia juga boleh dimasukkan dalam masakan tradisional Kelantan iaitu teresek. Getah pisang digunakan untuk merawat luka kecil.

Friday, June 1, 2012

Bunga Part XXIX

Sudah lama Dedaun Alam tidak bersiaran dengan bungaan. Bunga-bunga dalam siri ke 29 ini terdiri bungaan berwarna putih. Pasti ada peminat bunga berwarna putih kerana kebanyakan bungaan yang berwarna putih ini mempunyai bau yang harum.

Bunga melur hutan atau capa rengat. Putih suci warnanya dan berbau harum.

Bunga orkid liar yang tumbuh meliar. Bunga bersaiz kecil, hampir tidak dapat dilihat dari jauh. Pokoknya tumbuh di atas tanah dengan ketinggian sekitar 30cm sahaja.

Bunga siantan (ixora) putih atau di Kelantan ia dikenali dengan nama bunga tudung periuk putih. Ia juga berbau harum dan akarnya digunakan sebagai ubatan tradisional.

Bunga jeliti yang sangat harum baunya walaupun bersaiz kecil, ia mekar dalam jumlah yang banyak ketika berbunga.