Tuesday, May 29, 2012

Ulaman - Bahagian 4

Pegaga. Ulaman yang paling mudah diperolehi kerana ia tumbuh meliar di  celahan rumput, tepi bangunan(rumah), dalam pasu pokok bunga dan kawasan lapang yang terdedah kepada cahaya matahari. Rasanya sedikit pahit tetapi sangat baik untuk kesihatan kita. Boleh dimakan segar sebagai ulaman, dibuat kerabu dan dikisar menjadi jus sebagai minuman herba. Klik sini untuk info

Ini ulaman paling ngeri saya tengok. Kenapa? Lihatlah duri-duri tajam seperti cangkuk pada pokok ini. Sebenarnya duri tersebut masih lembut dan selamat untuk dimamah dan ditelan. Rasanya sangat pahit namun baik untuk badan. Kenal pokok apa ni? Tak ramai yang pernah lihat pokok ini dan makan pucuknya sebagai  ulam. Inilah pokok caesalpinia crista 

Peria pantai. Celur dan cicah dengan pencicah kegemaran. Ia juga boleh dimasak lemak. Sedap.

Bunga betik jantan. Bunga betik jantan dicelur dan dimakan sebagai ulam atau dijadikan kerabu. Rasanya pahit. Khasiatnya boleh baca di sini.

Sunday, May 27, 2012

LILAC 2012

LILAC atau Langkawi International Laksa Carnival 2012 adalah acara julung kali diadakan di Langkawi. Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi ini berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada 25 hingga 27 Mei 2012. Karnival dianjurkan oleh LADA(Langkawi Developemet Authority) ini berlangsung di Laman Padi, Pantai Chenang.. Karnival ini bukan hanya menumpukan kepada laksa sahaja tetapi terdapat terdapat pelbagai pameran dan aktiviti lain. Yang paling menarik perhatian, permainan gasing terbang dan pembuatan wau. Kedua-duanya adalah permainan tradisional berasal dari Kelantan. Jom kita nikmati laksa dalam foto ini dulu. Selamat telan air liur....


Laksa Pahang. Bahan asas dan penting untuk kuahnya ialah santan dan ikan kering jenis talang. Saya belum pernah merasa laksa Pahang, apalagi beli sebungkus. Rasa kuahnya memang sedap. Selain laksa, puding diraja dan kasidah Pahang (yang hanya terdapat Pahang)

Ulaman yang dimasukan bersama laksa Pahang.

Gerai Laksa Kelantan dan Laksa Siam

Kuah laksam yang lemak. Kegemaran saya sejak sekian lama. Bonda saya mahir membuat laksam dan kuahnya.

Laksam dan laksa Kelantan. Lakse so.....

Laksa Siam. Kuahnya agak kuning dan rasanya lebih kurang sama dengan kuah laksam tapi agak pedas namun sedappp...! Laksanya bersaiz kecil. Laksa ini dikenali dengan nama laksa mi.

Ulaman untuk laksa Siam.

Laksa Kuala Perlis.  Ada dua jenis kuah dan dua jenis laksa(laksa biasa dan laksa mi). Saya beli kuah yang dimasukkan asam. 

Laksa Penang. Laksa Penang dah biasa sangat makan. Jadi, ambil gambar sahaja..

Thursday, May 24, 2012

Kunyit Hitam -Terkini

Kunyit hitam asli yang sangat sukar untuk diperolehi. 

Kisah mengenai kunyit hitam pernah saya paparkan dalam entri sebelum ini. Kunyit hitam paling mendapat tempat di kalangan pembaca di blog ini sekarang. Kunyit hitam yang asli ini telah ditanam sejak lama dulu. Kunyit hitam dalam foto ini baru tumbuh daripada proses 'mupuh'. Seperti spesis kunyit lain, ia akan mati untuk tempoh waktu yang agak lama dan tumbuh kembali apabila tiba masanya.

Tuesday, May 22, 2012

Pisang Mentalun

Pisang mentalun. Pisang jenis ini kurang dikenali dan agak sukar untuk diperolehi. Ia adalah pisang lama iaitu seangkatan dengan pisang rastali, lemak manis, perak, kapas dan lain-lain.

Perbandingan saiz pisang mntalun dengan pisang lain. Mentalun ditengah, sebelah kanannya ialah pisang awak(kelat lego) dan di kirinya, pisang kapas. Tak ramai yang pernah makan pisang mentalun ni kan? Rasanya bagaimana? Pada saya, rasanya ada persamaan dengan pisang berangan atau bunga, ada rasa sedikit masam berbanding kedua-dua pisang terkenal tu. Sebiji pisang mentalun bersamaan tiga pisang berangan!

Saturday, May 19, 2012

Melur Hutan

Melur hutan yang jarang ditemui. Ia hidup dengan memanjat pokok besar yang berdekatan.

Bunga melur hutan bewarna putih bersih. Baunya harum.

Dedaun Alam kali ini memperkenalkan tumbuhan yang kurang dikenali dan pastinya hanya segelintir di antara kita mengenali tumbuhan ini. Hampir tiada rencana atau info yang ditulis mengenai tumbuhan ini di Malaysia kecuali sebuah karya yang bertajuk Capa Rengat. 

Melur hutan adalah tumbuhan berkayu jenis memanjat seperti melur biasa dan melur susun. Nama botaninya, Jasminum bifarium daripada famili Oleaceae. Pokok melur hutan hidup dengan memanjat pokok besar yang lain. Daunnya berbentuk bujur, kira-kira 10 cm panjang, 5 cm lebar. Bunganya mempunyai sembilan kelopak yang berwarna putih dan berbau wangi. Melur hutan juga dikenali dengan nama star jasmine (melur bintang) dan capa rengat. Buahnya dalam bentuk beri bersaiz kurang daripada 1 cm panjang dan apabila matang ia menjadi hitam kebiruan. Melur hutan ini tumbuh meliar di dalam hutan sehingga ketinggian 1,500 meter dari aras laut. Ia biasanya ditemui di dalam semak sepanjang pantai dan kawasan pasang surut. Melur hutan adalah tumbuhan asli di Asia Tenggara. 

Di Filipina, akar melur hutan direbus digunakan untuk merawat gusi berdarah dans sebagai ubat kumur untuk radang gusi. Air rebusan akar melur hutan juga digunakan untuk ibu lepas bersalin. Akarnya yang direbus dan diminum boleh merawat kepanasan badan. Daunnya yang dilumat dan ditampal pada bahagian kepala berkesan untuk mengurangkan sakit kepala dan pening.

Thursday, May 17, 2012

Camouflage!


Berapa lama masa yang anda ambil untuk jumpa objek camouflage dalam foto di atas? 0-5 saat, penglihatan sangat baik, 0-10 saat(baik), 0-15saat(kurang baik), 0-25 saat(kena pakai spek atau tukar power spek..hehe..)

Tuesday, May 15, 2012

Pucung Kuak @ Black-crowned Night Heron

Pucung kuak atau Black-crowned Night Heron yang hidup dalam kurungan. .


Pucung kuak (Nycticorax nycticorax) adalah antara spesis pucung yang terdapat di Malaysia. Ia hidup di hampir sebahagian dunia kecuali kawasan paling sejuk dan Australasia. Burung pucung kuak dewasa berukuran lebih kurang 64 cm (25 inci) panjang dan berat 0.8 kg. Ia mempunyai bulu berwarna hitam pada bahgian atas kepala dan badan. Bahagian tepi berwarna kelabu dan putih pada bahagian bawah. Burung pucung kuak jantan dan betina sama dari segi bentuk dan corak tetapi yang jantan lebih besar. Pucung kuak tidak mempunyai bentuk yang sama dengan spesis pucung lain. Badan mereka agak gempal dan tinggi kira-kira 63 cm dengan paruh, kaki dan leher yang pendek berbanding sepupu dalam famili yang sama iaitu bangau dan Day Heron. 

Burung ini suka membuat bising burung ketika bersarang dalam koloni. Sarang mereka dibina menggunakan ranting kayu di atas pokok dan tanah. Pucung kuak bertelur diantara tiga hingga lapan biji. Mereka mendiami kawasan berpaya air tawar atau air masin(pantai). Seperti namanya, burung ini mengeluarkan bunyi 'quok' atau 'kuak..kuak'.

Burung pucung kuak memakan ikan, krustasia, katak, serangga akuatik, ular, mamalia kecil dan bururng kecil.. Burung ini akan berdiri dan menunggu untuk menyerang hendap mangsanya pada waktu malam atau awal pagi.  Pada siang hari mereka berehat di atas pokok atau semak.

Friday, May 11, 2012

Belibis

Burung belibis atau lesse whistling-duck.

Rakaman video suara burung belibis yang nyaring.

Burung comel yang nampak seperti anak itik ini adalah burung belibis (Dendrocygna javanica). Nama Inggerisnya, Lesser Whistling-Duck atau Lesser Treeduck. Walaupun bersaiz kecil (sebesar tapak tangan orang dewasa), ia mengeluarkan yang kuat dan nyaring. Sebab itulah ia dipanggil Lesser Whistling-Duck. Burung belibis mendiami kawasan berhampiran pantai atau kawasan paya. Di Langkawi terdapat sebuah kampung yang diberi nama Kampung Belibis kerana terdapat banyak burung ini di situ suatu masa dahulu. Kampung ini terletak di Ewa, Mukim Ayer Hangat. Burung belibis adalah spesis burung yang dilindungi sepenuhnya.

Wednesday, May 9, 2012

Ayam Hutan @ Red Junglefowl

Sepasang ayam hutan yang tidak lagi hidup liar dalam hutan tapi dalam kurungan hutan batu.


Ayam hutan adalah daripada genus Gallus dan ia dikenali sebagai  nama Junglefowl. Genus ini milik famili Phasianidae. Spesis lain dalam famili Phasianidae ialah ayam belanda, merak, kuang, dan puyuh. Ayam domestik dipercayai berasal daripada Red Junglefowl dan berkongsi nama saintifiknya, Gallus Gallus. Ayam dewasa bersaiz diantara 43 hingga 76 cm panjang. Bahagian kepala yang mempunyai telinga dengan corak putih dan balung merah. Leher berwarna kekuningan dan bahagian belakang berwarna merah terang. Bahagian bawah badan gelap dan kaki berwarna kelabu. 

Ayam hutan hidup dalam keluarga yang tipikal iaitu terdiri daripada seekor ayam jantan dan beberapa ekor ayam betina. Ayam hutan membiak dalam bulan Januari hingga November. Telur ayam hutan berwarna putih kekuningan dan biasanya ia bertelur diantara 5 hingga 7 biji. Sarang ayam hutan dibina di atas tanah dengan mengais lubang cetek.

Ayam hutan memakan serangga seperti anai-anai, belalang, kelkatu, haiwan inverterbrata, buahan dan bijirin. Ayam hutan termasuk dalam kategori haiwan yang dilindungi. Mereka yang mempunyai pengalaman memburu ayam hutan sering mengaitkan ayam hutan dengan kisah misterinya iaitu mereka ada 'penjaga'nya.

Sunday, May 6, 2012

Rajawali Terbang Tinggi Yang Sayu


Sayu hati... Lihatlah matanya yang memandang penuh kesayuan. Rajawali atau helang biasanya terbang bebas tinggi di langit tapi yang ini tidak mapu untuk menggunakan kemahiran terbang kerana terkurung. Ia seolah-olah mengharapkan kebebasannya.. Hayati lirik lagu Rajawali Terbang Tinggi nyanyian Dato' M.Nasir.


RAJAWALI TERBANG TINGGI
 Terdengar gendang-genderang
Gema menghentam dada
Seluruh nusantara
Rentak yang sama

Pergolakan drama manusia
Masing-masing mahu buktikan
Kuat lemah

Langit mana pun sama
Bulan pun redha
Sinar bumi ayahku
Dan ayahmu jua

Gugur daun
Di telapak tangan
Terpijak ranting di jalanan
Aku rindu oh! kampungku

Aku tak mahu dijadikan hamba lagi
Aku tak mahu dijajah lagi
Biar terkubur jasad terbujur
Tak rela aku berpisah
Dari cintaku yang satu

Dan Rajawali terbang tinggi
Rajawali terbang tinggi... terbang

M. Nasir ©1988 Dunia Musik Wea Sdn. Bhd.

Thursday, May 3, 2012

Hawaiian Baby Woodrose




Hawaiian Baby Woodrose (Argyreia nervosa) adalah tumbuhan memanjat yang juga dikenali sebagai Elephant Creeper dan Wolly Morning Glory. Ia berada dalam famili convolvulceae iaitu famili yang sama dengan  Rivea corymbosa(Ololiuhqui) dan Ipomoea violacea (Morning Glory). Pokok memanjat ini mengambil masa 18 bulan selepas ditanam untuk berbunga dan ia akan merimbun dalam tempoh 2 tahun. Ia boleh emebesar sehingga 10 meter panjang. Pokok yang mempunyai daun berbentuk hati(love) ini tidak boleh didedahkan kepada cahaya matahari secara terus kerana boleh mengakibatkan daun menjadi lecur dan kering. Hawaiian Baby Woodrose memerlukan  tiang, para-para dan pergola sebagai sokongan untuk memeanjar dan menjalar. 

Di setengah tempat, biji buah pokok ini dimakan dengan pelbagai kaedah penyediaan masakan. Woodrose Bayi Hawaii mengandungi LSA (d-lysergic acid amide) yang memberi kesan sampingan seperti loya,  muntah,  kejang perut, kecelaruan, pening, paranoia, takut dan panik jika terlebih makan.