Monday, January 31, 2011

Ketam Guri

Pokok ketam guri yang tumbuh liar di kawasan terbuka. Perhatikan pokoknya yang seakan dicantas. Pokok ini menjadi kegemaran lembu yang meragut daun, ranting dan bunganya.

Pokok ini disemai oleh penulis kerana ingin mengubahnya menjadi pokok bonsai.

Inilah bunga ketam guri yang sering dijadikan motif seni ukiran dan batik. Bunga ketam guri seakan bunga raya kerana mereka adalah dalam famili yang sama

Nama Botani : Sida rhombifolia sp.
Famili : Malvaceae

Pokok ketam guri merupakan tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh secara meliar di kawasan padang, tempat yang terbuka dan kawasan terbiar. Pokok ini juga dikenali dengan nama getang guri, segar guri dan jerun jantan. Bagi peminat atau orang yang terlibat dalam bidang seni ukiran dan batik, bunga ketam guri sememangnya cukup sinonim kerana ia adalah antara motif utama ukiran dan lukisan batik. Namun begitu, tidak ramai orang (termasuk mereka yang melibatkan diri dalam seni) yang mengenali pokok dan bunga ini.

Pokok ketam guri dikatakan boleh digunakan untuk merawat masalah diabetis. Ia juga mempunyai sifat anti bakteria dan anti fungus.

Friday, January 28, 2011

Pokok Tulang Ayam

Pokok tulang ayam

Pokok tulang ayam merupakan tumbuhan yang hidup meliar di dalam hutan. Pokok ini kurang dikenali dan tidak begitu terkenal dalam bidang perubatan tradisional kerana bukan mudah untuk mendapatkan pokok ini. Pokok tulang ayam mempunyai daun yang berbentuk bujur dan tirus, bergerigi pada bahagian tepi dan permukaan daunnya agak kesat.

Antara kegunaan pokok ini adalah untuk merawat masalah kecacingan. Secara tradisional, daun pokok tulang ayam direbus dan air rebusannya digunakan sebagai mandian. Ia dikatakan sangat berkesan untuk mengatasi masalah kecacingan pada kanak-kanak atau bayi. Kaedah mandian ini digunakan sejak sekian lama sehingga kewujudan ubat cacing yang menggunakan bahan kimia(yang boleh didapati di kedai ubat/farmasi/klinik/hospital). Kegunaannya semakin dilupakan oleh generasi sekarang.

Wednesday, January 26, 2011

Ayam Mutiara

Ayam mutiara mepunyai sifat setiakawan yang sangat utuh. Biasanya mereka hidup dalam kumpulan dan tidak suka terpisah antara satu sama lain.


Ayam mutiara juga dikenali sebagai ayam api-api(di Kelantan ia dikenali dengan nama ayam api) dan ayam burung (utara Semenanjung). Ramai yang terkeliru antara ayam mutiara dan ayam belanda. Ayam mutiara dan ayam belanda adalah spesis yang berbeza. Ayam belanda bersiaz lebih besar dan lebih dikenali dengan nama ayam turki atau ayam piru. Terdapat beberapa spesis yang ada di Malaysia dan ia dibezakan melalui corak dan warna bulu. Antara spesis ayam mutiara adalah helmeted guinea fowl, vulturine guinea fowl, crested guinea fowl dan pied guinea fowl. Harga ayam mutiara di pasaran semasa agak tinggi iaitu RM60 hingga RM80 seekor (dewasa).

Tuesday, January 25, 2011

Burung Melilin

Burung melilin biasanya hinggap atau berada di pokok besar dan tinggi. Lokasi : Kuah, Langkawi

Dan jika boleh, tempat yang paling tinggi seperti ini.
Singgah sebentar di dahan pokok sebelum melayang ke pokok lain. Burung ini tidak terbang seprti kebanyakan burung-burung lain, ia sekadar membuka sayap untuk meluncur dan sekali sekali mengepakkan sayapnya jika jarak yang agak jauh.

Pasangan burung ini mencari makan pada batang pokok mempelam di Ulu Melaka.

Burung melilin merupakan salah satu spesis burung enggang atau kenyalang (hornbill). Biasanya burung melilin bersaiz lebih kecil berbanding kenyalang atau enggang. Terdapat 57 spesis burung enggang di seluruh dunia dan ia tergolong dalam kumpulan bucerotidae. Burung daripada spesis ini mempunyai paruh berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna terang dan garang. Burung ini memakan buah-buahan, serangga dan haiwan kecil.

Burung melilin masih banyak dan hidup bebas di Langkawi. Ia adalah burung yang dilindungi sepenuhnya kerana semakin diancam kepupusan. Burung melilin ini boleh dilihat dihampir semua tempat di Langkawi. Jika melalui Jalan Persiaran Putera (Di Hadapan Bangunan LADA dan Billion), anda boleh melihat burung ini terbang bebas dan mencari makan tanpa rasa takut. Malah penulis pernah melihat burung ini makan buah pinang hiasan di tepi jalan menuju ke Jetty Point. Ia boleh dilihat dihampir keseluruhan pulau Langkawi dan pulau-pulau sekitarnya. Kehadiran burung ini mudah untuk dikesan kerana ia mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan terbang dalam kumpulan kecil.

Burung betina daripada spesis ini biasanya bertelur sehingga 6 biji. Ia bertelur di dalam sarang yang dibina dalam lubang pokok yang tinggi. Lubang ini akan ditutup dengan menggunakan tanah liat, selut, najis dan cebisan buah-buahan. Semasa mengeram, burung betina akan tinggal di dalam sarang yang mempunyai satu bukaan kecil (sekadar muat untuk mengeluarkan paruh). Melalui lubang kecil inilah burung jantan memberi makan kepada pasangan dan anak-anaknya. Apa yang menarik, burung ini adalah pasangan sehidup semati. Burung betina akan terus berada bersama anak-anaknya di dalam lubang sehingga anak-anaknya membesar dan mampu unuk terbang.

Sunday, January 23, 2011

Rebahnya Setiar Satu Abad

Pokok setiar yang berusia lebih satu abad. Hampir setiap tahun ia mengeluarkan buah yang banyak. Pernah berlaku,  dahan sebesar satu pemeluk patah dan jatuh bersama buah yang sedang masak.

Bandingkan saiz si kecil yang berusia 2 tahun 10 bulan dengan pokok setiar gergasi. Foto ini dirakam sehari sebelum ia rebah ke bumi.

Rebahnya pokok setiar satu abad ini dengan hanya kudrat dua orang bersama mesinnya.

Inilah penamat khidmat dan sumbangannya kepada manusia, kerengga(berpuluh-puluh sarang kerengga musnah), tupai yang kehilangan mahligai dipuncak dan beburung yang bersarang/singgah berehat pada dahan pokok tua ini.

Thursday, January 20, 2011

Bunga Balung Ayam

Pokok bunga balung ayam


Nama Botani : Celosia arargentea var cristata
Famili : Amaranthaceae

Pokok bunga balung ayam merupakan tumbuhan hiasan jenis berbunga yang berasal dari Brazil. Terdapat berbagai varieti pokok bunga balung yang boleh dibezakan melalui saiz pokok dan warna bunga. Pokok ini berketinggian sehingga 1.2 meter. Pokok bunga balung ayam berbatang yang licin dan mempunyai beberapa cabang. Daunnya berbentuk bujur dan tersusun bertentangan pada batangnya. Biji benih bunga ini terletak di bahagian bawah atau pangkal bunga dan ia berwarna coklat atau hitam.

Selain ditanam sebagai pokok hiasan, pokok bunga balung ayam juga mepunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Ranting atau dahan pokok balung ayam yang ditumbuk lumat boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak dan luka dengan menampalnya pada tempat berkenaan. Air rebusan ranting dan bunga yang dikeringkan boleh diminum sebagai rawatan batuk berdarah, keputihan, batuk dan buasir. Untuk merawat jangkitan saluran kencing, disenteri, batuk dan darah haid yang berlebihan, seluruhy bahagian pokok direbus dan diminum airnya.

Ada juga yang mengatakan pokok balung ayam dapat melawaskan pembuangan air besar dan air kecil. Ia juga dikatakan baik untuk tenaga batin tetapi tiada sebarang kajian dibuat mengenainya.

Tuesday, January 18, 2011

Pepatung

Pepatung bersaiz kecil ini terbang agak perlahan.

Salah satu spesis pepatung bersaiz sederhana.

Sepasang pepatung yang romantik sedang mengawan.

Januari 2011, musim untuk pepatung ini membiak. Tiga pasang pepatung tidak sedar aksi mereka dirakam oleh lensa kamera penulis.

Pepatung yang juga dikenali dengan nama tuyut (Kelantan), pelatung (Kedah), sibur-sibur (Perak) merupakan sejenis serangga terbang yang unik. Ia mempunyai mata bulat yang besar, dua pasang sayap lutsinar yang kuat dan abdomen yang panjang. Pepatung mempunyai tiga pasang kaki seperti serangga lain tetapi ia tidak boleh berjalan. Pepatung juga merupakan hidupan atau serangga yang paling laju bergerak di dunia. Ia mampu terbang dengan kelajuan melebihi 200kmj dan mampu untuk berhenti secara pegun diudara walaupun dengan kelajuan tinggi. Ini bermakna ia mampu untuk berhenti serta merta pada kelajuan melebihi 200kmj. Kemampuan dan kelebihan ini terletak pada dua pasang sayapnya yang boleh mengawal pergerakannya. Ia mampu terbang ke depan, kiri, kanan, mengundur dan terbang setempat (Rekaan helikopter ditiru daripada kehebatan pepatung ini). Pepatung juga dapat memusingkan kepalanya dalam pusingan hampir 360 darjah tanpa menggerakkan badan. Terdapat lebih daripada 2000 spesis pepatung di dunia. Ia boleh dibezakan melalui saiz, bentuk dan warna badannya. Pepatung menjadikan serangga lain (termasuk pepatung lain) sebagai makanannya.

Walaupun pepatung ini serangga terbang tetapi ia bertelur dan membiak di dalam air. Kita sering melihat pepatung yang terbang di permukaan air sambil menyentuh bahagian hujung abdomennya. Inilah salah satu cara ia bertelur. Ia juga bertelur di atas tumbuhan akuatik dan ada spesis pepatung yang mampu untuk menyelam ke dasar untuk bertelur. Telur tersebut akan menetas dan menjadi nimfa. Nimfa ini mengambil masa kira-kira 2 bulan sehingga lima tahun di dalam air(mengikut spesis pepatung). Ia memakan berudu, anak-anak ikan, udang dan lain-lain. Ia bernafas melalui insang.

Apabila larva telah bersedia untuk proses metamorfosis, ia akan memanjat tumbuhan akuatik. Setelah berada di luar air, ia mula bernafas. Kepompong akan terbuka pada bahagian belakang kepala dan pepatung dewasa akan keluar dan terbang untuk meneruskan hidupnya sebagai serangga terbang yang hebat. Usia pepatung tidak panjang iaitu kira-kira empat bulan.

Monday, January 17, 2011

Dragon's Scale Fern

Pokok paku dragon's scale atau duit-duit yang menumpang pokok besar lain.

Pokok paku  dragon`s scale atau pokok duit-duit ini merupakan tumbuhan daripada famili paku pakis. Nama botaninya, Pyrrosia piloselloides. Ia adalah paku pakis jenis epifit iaitu hidup menumpang pada pokok lain dan boleh membuat makanan sendiri. Ia biasa ditemui hidup menumpang dihampir semua jenis pokok di India, New Guinea, Malaysia, Filipina dan Indonesia. Pokok ini tumbuh secara menjalar dan melekap pada batang atau dahan pokok. Daunnya tebal dan mempunyai kandungan air yang banyak di bahagian dalamnya. Ia mebiak melalui spora yang terdapat pada daunnya.

Sunday, January 16, 2011

Bunga Part XV

Seperti biasa Dedaun Alam mempersembahkan bungaan yang terdapat di negara Malaysia samada ia daripada pokok liar dan terbiar atau pokok hiasan. Sama-sama kita lihat keindahan ciptaan Allah (swt).

Bunga kecil tersusun dengan tona warna mengikut usia ia mekar. Bunga daripada pokok renek yang tumbuh meliar dan ianya cantik.

Bunga ini akan menghasilkan buah yang sedikit aneh. Buah daripada bunga ini mempunyai biji yang terletak di bahagian luar. Ini adalah bunga gajus yang juga dikenali dengan nama ketereh, janggus dan jambu monyet.

Bunga ini mekar pada waktu pagi. Lima kelopak, putih suci warnanya. Bunga timun tikus.

Bunga kemboja. Ada yang mengatakan bunga kemboja ini boleh dimakan sebagai kudapan.

Bunga ixora atau siantan atau tudung puyuk.

Friday, January 14, 2011

Kunyit Hitam Asli

Pokok kunyit hitam yang asli masih dalam proses semaian. Di belakangnya adalah anak pokok duku palembang.

Kisah mengenai kunyit hitam pernah penulis paparkan dalam Dedaun Alam sebelum ini. Kunyit hitam tersebut tidak sama dengan kunyit hitam yang asli ini. Dan inilah dia kunyit hitam yang penulis maksudkan dalam entri berkenaan. Pokok kunyit hitam lebih bernilai dan dikatakan mempunyai unsur mistikal. Ada yang mengatakan jika kunyit hitam ini ditanam di empat penjuru rumah, ia akan menghalang gangguan sihir dan makhluk halus(jin). Dikatakan juga, hanya orang-orang yang tertentu boleh menanam kunyit hitam ini dan ia tidak boleh diberi sebarangan kepada orang lain. Sekiranya ini berlaku, pokok kunyit ini tidak akan hidup. Malah ada yang mengatakan kunyit hitam adalah pemberian 'penjaganya' kepada orang-orang yang tertentu sahaja. Apapun, Allah (swt) yang maha berkuasa.

Pokok kunyit hitam ini memang telah lama penulis tanam di kampung dan ia dibawa ke tempat tinggal penulis sekarang untuk dibiakkan. Dah lebih sepuluh dekad kunyit hitam ini hidup tanpa sebarang masalah di kampung halaman penulis. Anak-anak pokok duku palembang dan dokong juga disemai untuk ditanam.

Thursday, January 13, 2011

Meriam Batu

Pokok meriam batu yang melilit pada batang pokok nona.

Pokok jenis memanjat dan tumbuh secara meliar ini dikenali dengan nama meriam batu. Ia mempunyai daun berbentuk hati atau 'love' yang bersaiz sebesar daun sirih. Daun pokok meriam batu ini boleh digunakan untuk membalut batu tungku semasa proses bertungku selepas melahirkan anak (dalam pantang).

Wednesday, January 12, 2011

Kesum

Pokok kesum hidup subur di kawasan lembab dan berair.


Nama Botani : Persicaria odorata/Polygonum minus huds
Famili : Polygonaceae

Pengenalan

Kesum yang juga dikenali dengan nama cenohom oleh penduduk bahagian utara Semenanjung Malaysia merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Pokok kesum lebih menyukai dan hidup subur di kawasan yang lembab dan berair. Terdapat beberapa spesis pokok kesum yang boleh dibezakan melalui bentuk dan corak pada daunnya. Ia boleh dibiakkan melalui keratan batang dan mudah untuk hidup. Kesum mempunyai bau unik yang agak kuat jika bahagian pokok dipatahkan atau dihancurkan.

Kegunaan

Kesum sangat penting dalam masakan seperti asam pedas dan laksa. Bukan sahaja daunnya yang dimasukkan dalam masakan tersebut tetapi bersekali dengan bahagian batangnya. Ia akan memberi rasa dan bau pada kuah laksa dan asam pedas. Selain digunakan sebagai bahan masakan, kesum juga dapat merawat kelemumur. Daun kesum ditumbuk dan diperah airnya. Kemudian air perahan tersebut dicampur dengan sedikit air dan gunakan untuk mencuci bahagian kulit kepala. Biarkan seketika dan dibilas menggunakan air bersih. Daun kesum direbus dan diminum air rebusan tersebut dikatakan dapat merawat masalah penghadaman.

Tuesday, January 11, 2011

Dendiar

Riang-riang atau reriang ini adalah serangga tahunan (bermusim)


Dendiar adalah nama panggilan bagi riang-riang oleh penduduk Kelantan. Riang-riang atau reriang ini merupakan serangga dalam famili Cicadidea. Riang-riang mempunyai mata kumpuan yang besar dan sepasang sayap lutsinar. Terdapat lebih kurang 2,500 spesis riang riang di seluruh dunia. Riang-riang mengeluarkan bunyi yang kuat melalui gesekan bahagian bawah sayap lutsinarnya. Bunyi ini dihasilkan sebagai cara riang-riang jantan untuk memikat pasangan pada musim mengawan. Biasanya riang-riang akan mati selepas mengawan dan bertelur. Riang-riang bertelur di atas pokok dan apabila telurnya menetas, nimfa riang-riang akan bergerak ke bahagian tanah. Nimfa ini akan berada dalam tanah untuk tempoh yang sangat lama. Apabila cukup tempohnya, nimfa akan berubah menjadi riang-riang. Riang-riang biasanya akan berbunyi pada musim kemarau.

Monday, January 10, 2011

Buluh Madu

Pokok buluh madu yang mempunyai ketinggian sederhana.


Nama Botani : Bambusoidae
Famili : Gramineae

Pokok buluh termasuk dalam dalam famili Gramineae. Gramineae merupakan tumbuhan jenis rumput seprti rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Pokok buluh berada di bawah sub-keluarga Bambusoideae yang mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi.

Pokok buluh madu dikatakan berasal dari Thailand dan ia dipercayai dihasilkan dengan teknologi klon. Pokok buluh madu bersaiz sederhana, tidak terlalu rimbun dan mempunyai rebung yang membesar dengan cepat. Ia mempunyai nilai komersil dan telah banyak ditanam di Malaysia kerana permintaan twerhadap rebung agak tinggi. Walaupun ia diberi nama buluh madu tetapi rasanya tidak manis seperti madu. Mungkin ia juga berpunca daripada kekurangan idea untuk nama pokok klon baru sepertimana tembikai madu, nenas madu, belimbing madu, nangka madu dan lain-lain.

Rebung buluh  boleh dimakan secara segar sebagai ulaman ataupun dijadikan bahan masakan. Ia mengandungi beberapa nutrien yang penting untuk badan seperti B-Karotina, Vitamin B1, Vitamin B2, Vitamin C, Kelembapan, Protein, Lemak, Fiber, Karbohidrat dan Tenaga.

Thursday, January 6, 2011

Teratai

Pokok teratai yang ditanam dalam pasu sebagai pokok hiasan. Ia memerlukan penjagaan dan pembajaan yang betul untuk memastikan pokok teratai hidup subur dan berbunga.

Nama Botani : Nelumbium nelumbo Druce
Famili : Nelumbonaceae

Pengenalan

Pokok teratai adalah tumbuhan akuatik yang berasal dari Asia. Ia biasanya tumbuh secara meliar di kawasan berair seperti tasik, kolam, lombong, parit, taliair dan sawah padi. Teratai memerlukan air dan dasar berselut(lumpur) untuk hidup subur. Ia tumbuh secara menegak dengan umbinya menjalar dalam lumpur di dasar. Daun teratai berwarna hijau, lebar dan berbentuk hampir bulat dengan tangkai daun yang panjang. Daun teratai biasanya berada sedikit jauh dari permukaan air. Bunga teratai berbau wangi dan ianya mekar pada waktu pagi sehingga petang. Teratai mempunyai bunga berwarna merah jambu, putih dan kuning mengikut jenisnya. Bunga ini akan menghasilkan buah. Pokok teratai banyak ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik dan ia juga merupakan bunga suci agama Buddha.

Kegunaan

Daun teratai boleh digunakan sebagai pembungkus. Umbi muda dan biji teratai boleh dimakan. Teratai mengandungi nutrien yang penting seperti vitamin B1, B2, C, protein, lemak, karbohidrat, caroten, asid nikotinat, , kalsium, phosphorus dan besi. Biji teratai boleh digunakan untuk mengatasi masalah penghadaman, diare dan radang usus. Umbi teratai dapat merawat demam, batuk berdarah, muntah, tekanan darah tinggi dan anemia. Akarnya pula boleh mengubati muntah darah dan batuk berdarah. Daun teratai juga boleh boleh digunakan merawat strok haba, diare, sakit kepala dan pendarahan pada wanita. Bunga teratai pula dapat merawat pendarahan dan radang kulit.

Untuk merawat batuk darah dan muntah darah:, umbi teratai dibersihkan dan dijadikan jus. Jus tersebut diminum sehingga sembuh. Umbi teratai yang dicampur bersama kunyit diparut dan diambil airnya.  Air hasil parutan tersebut boleh direbus bersama air sehingga mendidih dan dicampur sedikit madu.  Kemudian diminum untuk merawat disenteri.

Biji teratai dan biji teratai muda direbus dan airnya diminum untuk merawat penyakit darah tinggi. Untuk menghentikan pendarahan hidung, ruas akar teratai dibersihkan dan dijadikan jus. Titiskan air tersebut ke bahagian hidung.

Wednesday, January 5, 2011

Bunga Part XIV

Dedaun Alam kali ini memperkenalkan bunga daripada pokok hiasan yang biasa kita lihat dan pokok yang diketahui namanya tetapi belum pernah kita melihat bunganya. Jom kenali bunga-bunga yang terdapat di Malaysia.

Bunga kecil lima kelopak berwarna putih bersih ini adalah bunga jeliti. Ia keluar secara berjambak dan baunya sangat harum.

Bunga ini sangat jarang dilihat kerana pokoknya juga tidak ramai yang mengenalinya apatah lagi untuk melihat bunganya secara dekat. Pokok yang berbunga cantik ini ialah pokok maman sayur.

Bunga kopi atau ada sesetengah tempat memanggilnya kahwa.

Sekali pandang ia kelihatan seperti bunga lengkuas. Sebenarnya ia adalah bunga lidah jin. Bunga ini mempunyai bau yang wangi.

Sunday, January 2, 2011

Ponytail Palm

Ponytail palm

Nama Botani : Beaucarnea recurvata
Famili : Ruscaceae

Ponytail palm yang juga dikenali dengan nama elephant foot's palm dan palma botol ini merupakan tumbuhan asli Mexico. Biarpun namanya ponytail palm tetapi ia bukan daripada famili palma. Pokok ini banyak ditanam sebagai hiasan landskap samada sebagai pokok pasuan atau ditanam terus ke tanah. Pokok ini memerlukan sinaran matahari secara terus dan saliran yang baik. Ia juga tidak memerlukan siraman yang kerap. Tumbesaran pokok ini sangat perlahan dan menjadi semakin perlahan jika ditanam sebagai pokok pasuan.