Namaku rambutan masam. Ada juga orang yang panggil aku, rambutan telan dan rambutan rakyat. Aku daripada spesis Nephelium dalam famili Sapindaceae. Aku ada saudara rapat, ia juga sama sepertiku..masam tapi kulitnya berwarna kuning apabila masak dan saiznya besar sikit berbanding aku yang kecil molek ni. Buahku berwarna hijau ketika muda dan merah setelah masak. Rasaku masam...tidak manis seperti saudara maraku yang lain, rambutan anak sekolah, gading, gula batu dan pulasan. Aku masih ingat dulu aku jadi rebutan ramai kerana ketika belum banyak klon saudaraku yang baru. Setelah klon rambutan anak sekolah mula dibawa masuk dari Thailand awal 80-an, aku makin terpinggir. Rasaku yang masam membuatkan orang tak pilih aku untuk dimakan..apatah lagi dijual. Biarpun buahku tidak jadi rebutan ramai, aku tetap berbuah lebat saban tahun tanpa jemu dan berkecil hati. Setidak-tidaknya masih ada lagi yang sudi untuk menjadikan aku sebagai santapan. Aku lihat tupai dan kelawar makan buahku yang masak. Dek kerana buahku yang lebat dan telah ranum, bertaburan gugur ke tanah...terbiar dan ada yang bercambah untuk meneruskan kelangsungan. Biasanya tidak lama kerana anak-anak kecilku akan dicabut oleh tuanku. Kalau tak, penuhlah dengan anak-anak di bawah rimbunan daun dan dahanku. Cuma aku terus berharap dan berdoa agar tuan aku tidak menamatkan riwayatku. Biarlah aku terus berbuah lebat biarpun disisihkan...
Thursday, July 28, 2011
Sunday, July 24, 2011
Settho @ Manggis
Ketika muda buah manggis berwarna hijau.
Buah manggis masak akan bertukar menjadi merah gelap dan hitam apabila terlalu masak. Isinya berwarna putih.
Manggis atau settho dalam sebutan di kalangan penduduk Kelantan merupakan tumbuhan asli dari Malaysia. Nama botaninya, garcinia mangostana daripada famili Guttiferae. Pokok manggis berbatang lurus dan tegak dengan ketinggian mampu mencapai sehingga 25 meter. Ia mempunyai banyak dahan atau cabang dan berdaun lebat. Silara pokok berbentuk kon atau silinder. Pokok manggis membiak melalui biji benih dan keratan batang.
Kandungan nutrisi bagi setiap 100gram buah manggis masak :
Air, 72.9g
Karbohidrat, 19.8g
Protein, 0.5g
Lemak, 0g
Fiber/Serat, 0.2g
Besi, 0.9mg
Fosforus, 17mg
Kalsium, 11mg
Vitamin A, 14IU
Vitamin C, 66mg
Xanthone yang terdapat pada bahagian dalam kulit dan biji manggis mempunyai khasiat yang sangat baik untuk kesihatan kita. Jus manggis diminum dapat mengatasi pelbagai penyakit. Xanthone iaitu bahan aktif dalam buah manggis membantu mengatasi alergi, resdung, lelah, eczema, gatal-gatal, psoriasis, seborrhea, jangkitan kulat, luka-luka yang biasa pada mulut, melecur, selepas pembedahan, penyakit darah tinggi, kencing manis, lebihan kolesterol , keletihan, kekurangan darah, ulser, gastrik, saluran usus yang bengkak
Xanthone berfungsi sebagai antioksidan, antiproliferatif, antiinflamasi dan antimikrobial. Sifat antioksidan manggis melebihi vitamin E dan vitamin C. Kajian pakar membuktikan sifat antioksidan pada buah manggis jauh lebih efektif jikadibandingkan dengan antioksidan pada rambutan dan durian. Xanthone hanya terdapat dalam buah manggis. Jika durian dikenali dengan gelaran raja buah, manggis pula mendapat gelaran ratu buah.
Kelebihan dan Khasiat Buah Manggis:
1. Menyembuh dan mencegah kanser
Hasil penelitian sementara, ekstrak yang terdapat pada buah manggis dapat mencegah tumbuhnya sel-sel pada pesakit leukimia, memperlahankan perkembangan sel pada kanser paru-paru, kanser hati, dan kanser usus.
2. Mencegah Penyakit Yang Membawa Maut
Buah ini berkhasiat mengatasi penyakit yang dianggap berbahaya seperti diabetes, kanser, arthritis, Alzheimer, penyakit jantung. .
3. Menurunkan Berat Badan
Xanthone cepat mengubah zat makanan menjadi tenaga.
4. Mengurang Dan Menghilang Rasa Sakit
Buah manggis juga berkhasiat mengurangi atau menghilangkan rasa sakit.
5. Mencegah Penyakit Jantung
Buah manggis dapat memulihkan kembali kekenyalan pembuluh darah melalui antimikorbial dan antioksidan yang terdapat di dalam buah tersebut.
6. Melawan Radika Bebas
Buah manggis mengandung catechins yang terbukti lebih efektif dan lebih berdaya guna dibandingkan vitamin C atau vitamin E dalam melawan radikal bebas yang ada di dalam tubuh kita. Memakan buah manggis setiap hari sebagai makanan supplement, akan mendapatkan zat antioksidan yang lebih banyak.
7. Mengurangi Tekanan Darah Tinggi
Hipertensi atau tekanan darah tinggi terjadi disebabkab terdapat gangguan pada pembuluh darah dan akan menyebabkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok. Buah manggis mampu mengatasi masalah tersebut terutama untuk mengawal dan menormalkan berat badan.
8. Memelihara Sistem Penghadaman
Xanthone berkhasiat mengatasi kelebihan bakteria dan menyeimbangkan kembali kerja perut.
9. Menjaga Saluran Kencing
Zat xanthone yang ada pada buah manggis termasuk zat yang mengaktifkan antibakteria.
10. Mengatasi Gangguan Pernafasan
Xanthone yang terdapat pada buah manggis dapat mengatasi gangguan pernafasan.
11. Memulihkan Penyakit Asma
Buah manggis menjadi ubat alternatif untuk menyembuhkan asma kerana ia memiliki kemampuan melawan jangkitan dan mengandung zat-zat yang mengurangi alergik.
12. Mencegah dan Mengubati Diabetes
Nutrisi yang terdapat dalam buah manggis membantu menormalkan tekanan darah, memulihkan tenaga dan mengurangi paras gula yang berlebihan dalam darah.
13. Memelihara Kemampuan Mental
Kita digalakkan memakan buah manggis yang banyak mengandung zat antioksidan kerana ia juga boleh mencegah mental degeneration.
14. Kelebihan Lain Buah Manggis
Memulihkan tenaga, menurunkan paras kolesterol LDL, mengatasi masalah penyakit batu karang dan mencegah masalah penglihatan.
Thursday, July 21, 2011
Buah Jentik
Buah jentik atau ada di sesetengah tempat yang memanggilnya buah jentik-jentik. Pokok jentik satu famili dengan rambai. Nama botaninya, baccaurea sp daripada famili eurphorbiacea. Ia mempunyai ciri pokok dan buah yang hampir sama dengan rambai. Buah jentik ini termasuk dalam kategori buah nadir kerana ia berasal dari hutan dan ada yang ditanam di kawasan kampung tetapi sekarang ia semakin sukar untuk dijumpai.
Berbeza dengan buah rambai, kulit buah jentik akan terpecah kepada tiga bahagian jika dipicit atau dijentik. Untuk memakannya kita hanya perlu menjentik kulit buah yang telah masak dan ia akan terbuka dengan sendirinya. kerana itulah ia dikenali dengan nama buah jentik.
Isi buah jentik berwarna merah, biasanya setiap biji buah mengandungi tiga isi yang rasanya masam-masam manis.
Tuesday, July 19, 2011
Kelulut
Kelulut membuat sarang di rekahan kayu.
Kelulut bersaiz lebih kecil daripada lalat rumah. Kelulut sedang mengumpulkan sisa madu di pintu masuk sarangnya.
Kelulut merupakan antara 33 jenis spesis lebah trigona yang tidak mempunyai sengat. Kelulut adalah antara agen pendebungaan yang penting. Saiznya yang kecil membolehkan kelulut melakukan proses pendebungaan pada bunga-bunga kecil yang tidak dapat dilakukan oleh lebah. Berbeza dengan kebanyakan lebah, kelulut tidak berbahaya kepada manusia dan madu yang dihasilkan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan. Kelulut bersaiz kecil dan biasanya hidup di hutan dengan membuat sarang pada pokok yang mati. Madu kelulut dikatakan menjadi kegemaran beruang kerana ia mudah untuk diambil. Sarang yang dibina oleh kelulut biasanya di tempat yang rendah. Walaupun madu yang dihasilkan oleh kelulut tidak banyak seperti madu lebah tetapi khasiatnya adalah sama. Madu kelulut berwarna agak gelap dan cair.
Selain madu, dua lagi bahan dihasilkan oleh lebah kelulut yang sangat istimewa ialah bee bread iaitu campuran polen dengan madu, air liur dan cairan dari perut lebah yang boleh membantu masalah pencernaan dan fermentasi. Sementara propolis pula merupakan campuran getah tanaman dan cairan khusus yang dikeluarkan oleh lebah dan ia dikatakan mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.
Sunday, July 17, 2011
Bila Bunga-Bunga Berguguran...
Bunga-Bunga Berguguran
Ditiup angin senja
Bunga-bunga berguguran
Di dalam keindahan tiada lagi cahaya
Hilanglah seri penghias taman
Kelopak bagai sutera
Bumi tandus tiada bermaya
Hilanglah keharuman tiada lagi berseri
Bunga layu di pangkuan ini
Di manakah jejari yang sering menanti
Untuk menyuntingmu ketika kau mekar mewangi
Dititis embun pagi
Kau tak mungkin mekar kembali
Di ruang warna senja
Dan bunga-bunga berguguran
Hilanglah kemegahan cahaya penerang zaman
Setelah bunga jatuh berserakan...
Nyanyian Fauziah Ahmad Daud
Model : Bunga rumpai
Friday, July 15, 2011
Burung Leba
Burung gembala kerbau atau common myna
Burung leba adalah nama panggilan bagi burung gembala kerbau oleh penduduk di Kelantan. Burung ini daripada spesis tiung dengan nama saintifiknya, acridotheses tristis dalam famili sturnidae. Burung biasa ditemui hidup bebas dan meliar di kawasan bandar dan desa. Ia menjadikan serangga dan sisa makanan sebagai diet utamanya. Burung ini mampu mengeluarkan pelbagai jenis bunyi dan ia boleh mengajuk suara manusia. Ia paling gemar membuat sarang pada bahagian pelepah pokok kelapa yang tinggi dan dalam bumbung bangunan.
Tuesday, July 12, 2011
Sulur Keladi
Sulur keladi daripada pokok induk. Sulur keladi ini boleh dijadikan bahan makanan/masakan. Biarpun pokok keladi dan ubinya tidak boleh dimakan disebabkan kegatalan tetapi sulurnya sedap dibuat beberapa jenis masakan.
Anak pokok keladi mulai tumbuh pada bahagian hujung sulur. Inilah cara pokok keladi membiak, ia juga membiak melalui ubi.
Sulur keladi mungkin antara sayuran tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi sekarang. Malah ada yang tidak mengenali dan melihat sulur keladi. Apatah lagi untuk makan masakan daripada sulur keladi. Sulur keladi sebenarnya salah satu cara keladi membiak. Apabila tida masanya, pokok induk keladi akan mngeluarkan beberapa sulur yang akan menjalar agak jauh darinya. Sulur ini akan mengeluarkan tunas dan bercambah menjadi anak pokok keladi. Sulur yang masih muda, diambil dan boleh dijadikan beberapa jenis masakan seperti asam rebus, masak asam, sambal tumis dan lain lain. Ada sesiapa yang ingin merasa masakan daripada sulur keladi? Sulur keladi ada dijual di sesetengah tempat dan ia juga dipandang sepi oleh sebahagian besar generasi sekarang.
Friday, July 8, 2011
Tekukur
Burung tekukur biasanya hidup secara berpasangan dan tidak berkumpulan.
Burung Tekukur atau nama dalam bahasa Inggeris, Spotted Dove ialah spesis burung merpati. Ia termasuk dalam famili Columbidae. Nama saintifiknya Streptopelia chinensis. Burung ini biasanya hidup di kawasan padang dan menjadikan bijirin atau buah rumput sebagai makanan. Selain merbuk atau ketitir, burung tekukur menjadi plihan oleh peminat burung untuk dibela di dalam sangkar. Ia mengeluarkan bunyi, 'koo-koo-koo' secara perlahan dan 'kuu-kuu-kruuh' dengan agak nyaring.
Wednesday, July 6, 2011
Bunga Liar
Tidak diketahui nama pokok ini. Ia hanya tumbuh meliar dan jika dibiarkan ia akan mencacatkan landskap. Keindahan bunga ini hanya disedari ketika pokoknya hampir dicabut. Bunganya bersaiz kecil dan tidak terserlah kecantikannya. Apabila telah diabadikan dalam foto, baru kita sedar tentang betapa indahnya ciptaan Allah (swt).
Biawak Pasir
Biawak pasir yang mempunyai corak badan yang cantik.
Pernah dengar nama biawak pasir? Mungkin ramai yang belum melihat rupa biawak pasir ini. Dedaun Alam kali ini memperkenal reptilia yang jarang dilihat. Biawak pasir atau dikenali dengan nama biawak kojai adalah antara spesis biawak yang terdapat di Malaysia. Biawak pasir biasanya ditemui hidup di kawasan tanah berpasir seperti tepi laut atau sungai. Ia bersaiz sederhana dan panjangnya kira-kira 30cm. Reptilia ini tinggal di dalam lubang yang dikorek dalam tanah. Apabila ada musuh, ia akan berlari dengan pantas dan akan berhenti sambil mengangguk kepalanya jika keadaan dirasai selamat. Tidak seperti saudaranya, biawak pasir tidak boleh memanjat.
Tuesday, July 5, 2011
Khasiat Pisang
Pisang berangan yang diambil dari pokok ini dan diperam secara semulajadi.
Kebaikan dan Khasiat Pisang
Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.
Tekanan
Merujuk kepada tinjauan terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protein yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.
PMS
Lupakan pil-pil hospital makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mud anda.
Anemia
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.
Tekanan Darah Tinggi
Buah pisang mengandungi kadar potassium yang tinggi dan garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.
Kuasa Minda
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap.
Penghadaman
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.
Keletihan
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.
Panas Jantung
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.
Demam Pagi
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.
Gigitan Nyamuk
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.
Saraf
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.
Obesiti dan Tekanan Kerja
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.
Ulser
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.
Kawalan Suhu
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar.
Seasonal Affective Disorder (SAD)
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita..
Ketagihan Rokok Dan Tembakau
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.
Stress
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.
Strok
Mengikut kajian dalam buku The New England Journal of Medicine, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!
Penyakit Kulit
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.
Pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati…
Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!
PS : Kesimpulannya, pisanglah adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!
Sumber Asal : Berita Harian
Sunday, July 3, 2011
Kampung Mawat - Di Sini Lagenda Mahsuri Bermula...
Kampung Mawat. Foto diambil dari tengah bendang pada pada 01 Julai 2011. Di kampung inilah Mahsuri binti Pandak Mayah dilahirkan pada tahun 1700-an.
Pada tahun 1700-an, Kampung Mawat merupakan perkampungan tradisional. Ia adalah tempat di mana Mahsuri dilahir dan dibesarkan. Mungkinkah bendang padi ini tempat permainan Mahsuri bersama kawan-kawannya. Sekarang Kampung ini telah banyak berubah, bangunan di sebelah kanan foto ialah Ampitheater Kota Mahsuri. Di tengah-tengah foto terletaknya rumah asal keluarga Mahsuri yang masih ada sehingga sekarang(terpelihara dalam Kota Mahsuri).
Lagenda Mahsuri tidak dapat dipastikan bila ianya berlaku kerana tiada rekod secara bertulis yang ditemui dan kisah mengenai Mahsuri hanya bergantung kepada sumber lisan. Ada sumber yang menyebut peristiwa ini berlaku pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1798). Satu lagi sumber menyatakan ianya berlaku semasa pemerintahan Sultan Tajuddin Halim Shah II ( 1804-45 ).
Di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka tinggal sekeluarga tiga beranak. Si bapa bernama Pandak Mayah, isterinya Mak Andak Along dan seorang anak perempuan bernama Mek Yah. Keluarga miskin ini menjalankan kegiatan pertanian sebagai sumber rezeki iaitu berhuma, bercucuk tanam, dan mencari hasil dari hutan. Nasib keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya yang hilang. Ketika mencari kerbaunya yang hilang, dia berhnti rehat di sebuah pondok dan di situ Pandak Mayah terjumpa kerak nasi yang dikatakan Maya Padi (semangat Padi). Dalam masyarakat Melayu, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu dihormati. Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi yang ditanak. Apabila mereka memakan nasi yang dicampur Maya Padi ini, ia telah mengubah nasib keluarga Pandak Mayah. Rezekinya mula bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi. Dan di sinilah lagenda Mahsuri bermula.......
Friday, July 1, 2011
Durian Si Raja Berduri
Durian atau nama botaninya, durio sp. Buah durian yang menunggu masa untuk gugur, menandakan ia telah masak.
Durian yang dikategori oleh orang ramai sebagai 'durian kampung'. Ia biasanya berduri agak panjang, tajam dan rapat.
Isi 'durian kampung' yang kuning keemasan. Isi durian ini juga agak tebal dan manis. Isinya lebih sedap dimakan segar, makan bersama pulut, dibuat pengat, dicampur bersama bubur kacang, dijadikan cekodok durian... Isi yang dah kurang elok, boleh dibuat tempoyak. Untuk simpan lebih lama, ia boleh dimasak sebagai lempuk.