Thursday, June 24, 2010

Petai

Pokok petai yang tumbuh subur dan berbuah lebat ini di Kg. Renok, Gua Musang. Perhatikan bentuk bunga petai yang unik (penjuru atas sebelah kanan foto)
Nama botani : Parkia speciosa
Famili : Leguminaceae

Pengenalan

Petai merupakan tumbuhan yang hidup secara meliar di dalam hutan dan ada yang ditanam di kebun, dusun atau ladang. Pokok petai yang terdapat di negara adalah 4 spesies iaitu petai kerayung (parkia javanica), petai meranti (parkia ingsularis), petai biasa (parkia speciosa) dan petai nering (parkia sumatrana). Pokok petai boleh mencapai ketinggian sehingga 30m dengan diameter batang menjangkau 5m.

Kegunaan

Petai merupakan antara ulaman yang paling diminati di Malaysia kerana khasiat yang terdapat di dalamnya. Namun begitu ada juga mereka yang tidak menggemari petai kerana baunya yang enak. Petai boleh dimakan mentah, dicelur, dijeruk atau dimasak sambal tumis(bersama udang, kerang, ikan bilis dan sotong).
Mengikut kajian, amalan memakan petai setiap hari berupaya menurunkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40 peratus. Vitamin B6, B12, kalium dan magnesium yang terdapat di dalam petai dikatakan berupaya membantu tubuh sembuh cepat daripada ketagihan nikotin. Ini boleh membantu perokok untuk berhenti merokok.

Kandungan zat besi yang tinggi, petai berupaya menstimulasi pembentukan sel darah merah dan ini membantu mengurangkan derita pesakit anemia. Petai memiliki kandungan fiber yang tinggi dan ia memudahkan proses pencernaan. Ia boleh mengatasi masalah sembelit. Amalan memakan petai sebagai ulaman juga berupaya mengatasi masalah obesiti. Ia juga dipercayai dapat mengurangkan tekanan perasaan. Trytophan yang terdapat dalam buah petai berupaya merubah mood seseorang menjadi tenang dan tidak tertekan. Buah petai dipercayai boleh mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis. Petai umumnya menyumbang kearah kesihatan seseorang melalui pelbagai vitamin, galian dan unsur-unsur lain.

Kandungan khasiat dalam buah petai berbeza mengikut umur dan tahap kesegaran bijinya. Petai yang kecut dan yang tidak bulat bijinya mempunyai kandungan khasiat yang rendah. Selain mengubat penyakit darah tinggi dan kencing manis, masyarakat Melayu juga percaya bahawa buah petai juga berkesan untuk merawat penyakit hati, buah pinggang dan untuk mengubat kanak-kanak yang kecacingan.

Kandungan nutrisi bagi 100 gram buah petai:

tenaga 120.0 kalori
air 70 g,
protein 10 g,
lemak 1.8 g,
fiber 1.5 g,
karbohidrat 16.9 g,
kalsium 126mg,
fosforus 3 mg,
ferum 3.4 mg,
natrium 11 mg,
kalium 376 mg,
vitamin B1 0.15 mg,
vitamin B 2 0.2 mg,
niasin 0.5 mg,
vitamin C 32.7 mg

No comments:

Post a Comment