Monday, November 16, 2009

Celagi @ Asam Jawa

Buah asam jawa yang matang
Nama Botani : Tamarindus inidica
Nama lain : Celagi (Pantai Timur Malaysia), Asam (Utara Semenanjung)

Pengenalan

Asam jawa juga dikenali sebagai celagi di kalangan penduduk Pantai Timur Malaysia. Nama botaninya, Tamarindus inidica. Nama dalam bahasa Inggerisnya, tamarind adalah berasal daripada nama Arab dan Parsi iaitu tamar yang bermakna kurma India. Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika iaitu sebahagian selatan padang pasir sahara. Pokok asam jawa tumbuh paling baik dalam keadaan cuaca yang mengalami musim kemarau yang nyata tetapi sederhana. Ketinggian pokok asam jawa boleh mencapai sehingga 26m.Daun pokok asam jawa adalah malar hujan dan banyak anak daun yang halus. Ia berwarna hijau muda dan menjadi hijau tua apabila matang. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang(rujuk foto). Isinya berketul-ketul dan berwarna keperangan. Isi buah ketika muda berwarna hijau dan apabila masak, ia bertukar menjadi coklat. kulitnya akan jadi rapuh dan mudah untuk mengasingkan isinya.
Kegunaan

Pokok asam jawa terbahagi kepada dua jenis iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Asam jawa banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Di India, kulit pokok asam dikunyah bersama-sama dengan daun sirih atau dimakan begitu saja bagi menjaga kesihatan badan, terutamanya bagi wanita yang mengandung. Di Malaysia, asam jawa dan akar pokoknya digunakan bagi menyejukkan badan dan sebagai pelawas. Kayu terasnya pula sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati dan penawar kurang selera makan. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa boleh dijadikan ubat cirit-birit kerana ia mengandungi banyak tanin manakala isinya banyak asid tartar. Kulit kayu juga dijadikan losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser dan gatal kerana terkena gigitan serangga. Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas dan dapat melegakan lelah. Daun asam jawa muda ditumbuk lumat dan di tampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan.
Air rebusan asam jawa yang dicampur dengan gula boleh digunakan sebagai ubat cacing dalam perut dan penawar penyakit disenteri berdarah. Air rebusan asam jawa diguna untuk mengubati selesma dan air rebusan daunnya pula diminum untuk mengubati penyakit kencing manis dan batuk kerana gatal kerongkong. Ia juga dijadikan sebagai penawar demam campak dan dibuat air mandian penawar demam panas dan sakit otot. Air rebusan akar asam jawa juga boleh digunakan untuk mengubati jaundis dan pendarahan.

No comments:

Post a Comment