Thursday, June 30, 2011

Bunga Part XXV

Bunga kekacang yang tumbuh melilit di pagar chainlink. Ia hanyalah bunga daripada pokok yang hidup meliar tapi lihatlah bunganya. Cantik kan?

Bunga putih ini bersaiz agak kecil sehinggakan kita tak perasan pokoknya sedang berbunga. Pokok ini biasanya ditanam sebagai pokok pagaran dan topiari.

Bunga telipok yang mekar pada waktu pagi.

Tuesday, June 28, 2011

Jus Durian Belanda

Jus durian belanda yang diproses daripada buah durian belanda segar.

Buah durian belanda terkenal dengan khasiatnya yang sangat berguna untuk kita. Tak ramai yang suka makan buah durian belanda secara segar dek kerana rasanya agak masam. Saya boleh menghabiskan sebiji buah durian belanda tanpa sebarang masalah. Buah segar, ramai tak nak makan tapi bila dah diproses menjadi jus..sekejap saja ia dah lenyap dari pandangan mata. Nak buat jus daripada buah durian belanda ni agak mudah. Ambil buah durian belanda yang masak, belah dan ambil isinya. Perhatian! Buang semua biji yang ada dalam buah ini sebelum dikisar. Biji buah durian belanda mengandungi toksik dan boleh menyebabkan keracunan. Isi buah durian belanda dikisar bersama air, susu pekat manis(bukan susu sejat/cair) dan ais. Jus ini boleh ditapis tapi ia lebih sedap jika tak ditapis kerana serat daripada buah ini boleh kita telan semasa minum. Sungguh menyegarkan!

Sunday, June 26, 2011

Pulau Tuba

Pulau Tuba adalah salah satu di antara 104 (bukan 99 buah) buah pulau di gugusan Pulau Langkawi. Ia merupakan pulau kedua yang mempunyai penduduk. Keluasan Pulau Tuba lebih kurang 20 km persegi dengan kepadatan penduduk seramai 5000 orang. Pulau Tuba terletak berhampiran Pulau Dayang Bunting.

Jeti Marble antara jeti untuk ke Pulau Tuba. Satu lagi jeti yang menyediakan perkhidmatan bot ke Pulau Tuba adalah di Jeti Pelancongan, Pekan Rabu. Bot laju (dalam foto) mengambil masa 7 hingga 10 minit untuk sampai ke jeti Pulau Tuba (berdasarkan kekuatan enjin bot dan jumlah penumpang)

Bot laju berlabuh di jeti Pulau Tuba. Untuk sampai ke sini, tambang bagi setiap orang dewasa adalah RM5.00 sehala.

Pemandangan di Pulau Tuba. Sawah padi yang terbiar tanpa diusahakan seperti dulu kerana faktor jentera dan pengairan.

Pemandangan di sebuah perkampungan nelayan. Bot nelayan yang berlabuh ketika air surut.

Jeti nelayan. Si kecil yang sedang menikmati keindahan alam di sini.

Friday, June 24, 2011

Pasangan Bahagia - Yellow Vented Bulbul

Sepasang burung merbah kapur hinggap di ranting pokok tapak gajah
Mengawasi anak-anak mereka dari kejauhan.

Monday, June 20, 2011

Bagai Mencurah Air Ke Daun Keladi


Peribahasa Melayu ada berkata, bagai mencurah air ke daun keladi yang membawa maksud perbuatan yang sia-sia atau merugikan / orang yang tidak mendengar nasihat. Ini kerana air yang dicurahkan tidak lekat pada daun keladi. Itu perumpamaan tetapi di dunia alam semulajadi, curahan air (hujan) ke daun keladi boleh memberi gambaran segar. Air yang terkumpul pada daun keladi akan menitis ke tanah dan menyirami tumbuhan yang berada di bawahnya termasuklah pokoknya sendiri.

Sunday, June 19, 2011

Horse Mango

Buah bacang atau macang yang telah masak. Buah bacang yang dikenali dengan nama horse mango dalam bahasa Inggeris akan gugur dari tangkai menandakan ia telah masak. Ia juga berbau harum apabila masak.

Isi buah bacang yang masak. Ia lembut, harum, manis dan mempunyai serat. Rasa buah bacang berbeza mengikut spesis. Ada yang manis dan ada yang sedikit masam. Buah bacang yang gugur perlu disimpan sekurang-kurangnya dua hari sebelum dikupas. Proses ini adalah untuk memastikan buah bacang benar-benar masak dan ia juga akan mengurangkan kandungan getah pada baaigan kulit buah. Getah buah bacang boleh menyebabkan kegatalan kepada kulit sensitif.

Friday, June 17, 2011

Sentul Dah Masak

Buah sentul klon yang telah masak. Bandingkan saiz buah sentul klon ini dengan telur ayam tu. Dah boleh agak sebesar mana buah sentul ini kan? Ini mungkin antara buah-buah terakhir dari pokoknya.

Isi buah sentul klon. Ulas bijinya sebesar ulas durian kampung. Jika telan atau tertelan, padahlah jawapannya. Bijinya rasa manis dan sedap dimakan begitu saja...

Ini adalah antara penyebab kenapa ia mungkin ia tidak lagi dibenarkan berbuah dan meneruskan khidmat pada tuannya. Buah buah sentul yang masak luruh dan terbiar begitu saja di bawah pokok dek kerana terlalu lebat dan 'tak ada sapa nak makan'. Alasan inilah yang biasanya mengakibatkan pokok buahan akan termasuk dalam kategori nadir.

Inilah penamat riwayatnya............................

Wednesday, June 15, 2011

Bunga Part XXIV

Koleksi bungaan dalam siri XXIV yang ditampilkan oleh Dedaun Alam kali ni terdiri daripada bunga hiasan dan bunga pokok herba. Jom lihat bunga-bunga ini.

Bunga susun kelapa.

Bunga semarak api.

Bunga yang saya lupa namanya.

Bunga gemunggal. Pucuk dan buahnya boleh dimakan dan iana mempunyai khasiat dalam perubatan.

Monday, June 13, 2011

Ekor Kucing

Pokok ekor kucing

Nama Botani : Acalypha Hispida
Famili : Euphorbiaceae

Pokok bunga ekor kucing berasal dari India. Ia biasanya ditanam sebagai  pokok hiasan. Pokok ini dibiakkan melalui keratan batang. Pokok ekor kucing berketinggian sekitar 2.5 meter.

Pokok hiasan ini juga mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Air rebusan akar pokok ekor kucing diminum untuk merawat batuk bedarah. Bunganya yang direbus dan diminum air rebusan tersebut juga dikatakan dapat menyembuhkan batuk berdarah. Bunga bersama daun ekor kucing direbus dan disapu pada luka dan ulser. Air rebusan ini diminum untuk melawasakan pembuangan air kecil dan besar. Daun ekor kucing direbus dan diminum sebagai rawatan untuk seriawan. Daun ini dilumatkan dan ditampal pada bisul untuk merwat penyakit tersebut. Batang atau ranting pokok ekor kucing yang direbus dan diminum dipercayai dapat merawat penyakit asma.

Friday, June 10, 2011

Daun Mangkuk

Pokok daun mangkuk yang ditanam sebagai pokok hiasan laman rumah.

Nama Botani : Polyscias scutellaria
Famili : Araliaceae

Pokok daun mangkuk yang dipanggil pokok keropok oleh kalangan penduduk Kelantan ini dipercayai berasal dari Kepulauan Jawa. Ia banyak ditanam sebagai pokok hiasan. Ia dibiakkan melalui keratan batang dan ketinggian pokok ini sehingga 3 meter.

Pokok daun mangkuk juga mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Ramai yang tidak mengetahui pucuk muda pokok ini boleh dimakan sebagai ulam dengan mencelurnya terlebih dahulu. Akar pokok ini direbus dan diminum untuk merangsang pembuangan air kecil dan pengeluaran peluh. Daun pokok ini yng direndam dalam air mendidih dan diminum dikatakan dapat merawat masalah bengkak payudara. Daun yang matang ditumbuk bersama kunyit dan ditampal pada payudara juga boleh mengatasi bengkak.

Tuesday, June 7, 2011

Bunga Kembang Pukul Empat

Pokok bunga kembang pukul empat.

Pokok bunga kembang pukul empat juga dikenali dengan nama bunga pukul empat berasal dari Amerika Selatan. Ia kini telah tersebar luas di seluruh dunia kerana ditanam sebagai pokok hiasan dan juga herba. Nama botaninya, Mirabilis Jalapa L. daripada famili Nyctaginaceae. Pokok jenis renek ini berketinggian 1 meter dan membiak melalui biji benih, keratan ranting dan ubi. Bunga kembang pukul empat berbentuk trompet dan berwarna merah, oren, kuning, merah jambu, ungu, putih dan ada yang mempunyai jalur kombinasi warna. Bunganya akan mekar atau kembang pada waktu petang (biasanya selepas pukul 4 petang) dan layu pada waktu pagi keesokan hari. Bunga kembang pukul empat berbau wangi. Bunga ini biasanya menghasilkan buah yang berbentuk bulat dan kecil. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan manjadi hitam setelah tua/masak.

Pokok bunga kembang pukul empat bukan sekadar ditanam sebagai pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Akarnya yang dilumatkan dan ditampal digunakan untuk merawat lebam, luka dan terseliuh. Akar dan ubi pokok ini yang direbus dan diminum untuk melawaskan pembuangan air besar, membunuh cacing dalam perut, merawat atritis, disenteri, jangkitan salur kencing dan keputihan bagi wanita. Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk merawat bengkak, bengak payudara, bisul dan kudis dengan menyapu air tersebut pada bahagian berkenaan.

Buah kembang pukul emapt yang telah masak dijadikan serbuk disapu pada jerawat untuk menghilangkan jerawat dan ia juga boleh digunakan untuk menghaluskan dan memutihkan kulit. Serbuk daripada buah ini juga dijadikan bedak dan sabun. Bunga kembang pukul empat yang dihancurkan dan ditampal pada penyakit kulit seperti kurap untuk merawatnya. Bunga kembang pukul empat berwarna putih yang dijadikan jus dan dicampur dengan madu digunakan untuk merawat batuk berdarah. Cecair bunga ini juga boleh digunakan sebagai ubat titis untuk sakit telinga.

Daun pokok bunga kembang pukul empat yang ditumbuk lumat dan ditampal pada kudis dan luka untuk mengubatinya. Ia juga boleh merawat bengkak mata. Daun ini juga boleh merawat demam paas dan mengubati bisul.

Friday, June 3, 2011

Bunga Part XXIII

As salam kepada pembaca setia Dedaun Alam, koleksi bunga dalam siri yang ke 23 ini juga adalah daripada pokok bunga yang ditanam sebagai hiasan landskap rumah atau taman.

Bunga ros jepun atau bunga kembang pukul sepuluh. Bunga daripada spesis ini biasanya akan mekar selepas pukul 10 pagi.
Bunga kosmos kuning. Ia dikenali dengan nama bunga bintang berayun di Kelantan dan intan berayun di Pahang. Pokok bunga kosmos kuning ini menyamai pokok ulam raja tetapi pucuknya tidak boleh dijadikan ulam seperti kerabat terdekatnya.

Bunga ekor kucing.

Bunga janda kaya. Tidak pasti dari mana pokok ini mendapat nama. Mungkinkah seorang janda kaya yang mula-mula menanam pokok ini??

Wednesday, June 1, 2011

Limau Nipis

Pokok limau nipis akan mengeluarkan buah setelah berusia dua tahun ke atas.

Nama Botani : Citrus aurantifolia
Famili : Rutaceae

Limau nipis merupakan antara spesis limau yang sangat digemari dan biasa ditanam di negara ini. Ia mepunyai pelbagai kegunaan dalam masakan, minuman, perubatan dan kegunaan secara tradisonal. Buah limau nipis berbentuk bulat, berukuran 2.5cm – 5cm. Kulit buahnya berwarna hijau ketika muda dan berubah menjadi hijau kekuningan, licin dan berkilat setelah masak. Isi limau nipis agak berair dan masam rasanya. Pokok limau nipis mencapai ketinggian sehingga 5 meter. Ia boleh hidup di hampir semua jenis tanah tetapi lebih sesuai ditanam di atas tanah jenis berpasir. Pokok limau nipis tidak sesuai ditanam di kawasan berair dan kawasan yang sering ditenggelami air. Pokok limau nipis mula berbuah di antara umur dua hingga tiga tahun selepas ditanam.

Buah limau nipis kaya dengan vitamin A dan C. Ia biasa dijadikan perisa masakan dan minuman. Di Kelantan, terdapat minuman jus limau nipis yang dikenali sebagai 'singa beng'. Jus ini dihasilkan daripada perahan jus buah limau nipis segar dicampur bersama air masak, gula dan ais. Asid sitrik yang terkandung dalam limau nipis berkesan menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Ia juga berguna untuk melegakan perut dan mengatasi masalah penghadaman.

Ia juga digunakan untuk membersihkan rambut dan kepala terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kelemumur. Buahnya juga sering kali digunakan untuk mengilatkan kuku dan menghilangkan bau badan. Kuli buah limau nipis juga dapat mengurangkan pening atau sakit kepala dengan cara memicit kulit  nipis dan menghidunya. Buah limau nipis juga digunakan dalam ritual tradisional dan perubatan tradisional.