VIP Dedaun Alam

Monday, January 28, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Markisa & Sawi Fair Lady

Bunga markisa sulung daripada pokok yang saya tanam 4 bulan lalu. Dah lama saya tak lihat bunga markisa yang cantik ni.

Bunga sawi fair lady. Pokok sawi ini dibiarkan berbunga kerana tuan kebun nak ambil biji benihnya.

Friday, January 25, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 12/01/13


Tuaian kali ni tuan kebun kena bawa dua bekas sebab hasil agak banyak daripada biasa. Kobis cina dituai kali kedua dan masih ada untuk tuian ketiga. Tuaian ketiga adalah pokok-pokok kobis yang kurang subur kerana perebutan nutrien dan ruang. Kobis-kobis tersebut diberi penjagaan lebih baik dan membesar dengan baik. Petola segi terus memberi hasil yang baik kepada tuan dia. Sebiji petola ular boleh dimasak dua kali. Kacang botor makin lebat buahnya, buah-buahnya boleh dipetik tiga hari sekali. Kacang bendi singa berterusan memberi hasilnya. Peria kampung sedap dimakan sebagai ulam biarpun agak pahit rasanya.

Tuesday, January 22, 2013

Bunga Part XXXIII

Bunga cannon ball tree. Pokok cannon ball atau peluru meriam merupakan pokok 'trademark' Botanical Garden, Penang.

Bunga kuning keemasan ini adalah bunga Maiden's Jealousy. Pokok jenis memanjat berkayu keras ini sebenarnya tmubh meliar di kawasan paya bakau dan ia banyak ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga marigold. Biarpun keseluruhan bahagian pokok berbau busuk, bunga tetap cantik dan harum.

Mawar merah kecil yang ditanam oleh bonda saya.

Friday, January 18, 2013

Kebun Kecil Pagar - Cili Solok Siam



Ada kisah mengapa saya menanam cili solok ini. Kisahnya begini, sebelum ni isteri saya buat nasi kerabu dan solok lada antara pelengkapnya. Saya dan isteri jelajah di serata kedai/pasar untuk beli cili solok tapi tiada dalam pasaran. Yang dijual kebanyakan cili besar yang tak sesuai untuk dijadikan solok lada. Akhirnya, nasi kerabu dihidang tanpa kehadiran solok lada. Kecewa betul.... Akhirnya, setelah mendapat tahu biji benih cili solok dijual oleh en. Iskandar(tanamsendiri.com), saya terus pesan. Biji benih disemai, anak-anak pokok cili solok membesar biarpun pembesarannya agak perlahan. Hasilnya sekarang, pokok cili solok dah pun berbuah. Puashati tapi lada solok belum jadi realiti sebab buahnya belum banyak. Pokok cili solok yang baru belajar berbuah ada dua pokok dan yang lain masih kecil, baru nak bercabang dan berbunga.

Wednesday, January 16, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Petola Ular Gergasi

Buah petola ular yang saya tanam ni agak luar biasanya panjangnya. Ianya sepanjang 1.4 meter dan satu-satunya buah yang luarbiasa saiznya. Buah-buah yang lain bersaiz normal. Bahagian hujung buah patah kerana ia telah mencecah tanah semasa ditinggalkan tuan kebun selama 12 hari. Balik dari bercuti, jenguk kebun dan terkejut tengok buah petola yang panjang. 
Bandingkan panjang buah petola ular ini dengan puteri saya yang berumur lima tahun. Buah yang mencecah tanah telah saya tinggikan sedikit. Buah ini tak dituai dan masih lagi berada di pokok sekarang. Saya nak simpan buahnya untuk diambil biji benih.


Monday, January 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 07/01/13


Tuaian pertama kobis cina yang saya kurang pasti varieti apa. Rasanya kobis cina micky. Saya sebenarnya rasa cuak untuk tanam kobis cina kerana ia lebih sesuai dengan cuaca sederhana dan sejuk. Lagipun nak tanam pokok sayuran berdaun seperti ini kita perlu semai biji benih, tunggu ia bercambah dan membesar denan baik. Bila anak pokok telah sesuai untuk dipindahkan ke tempat baru, ia perlu dicabut dari semaian. Kerja menanam anak-anak pokok yang kecil dan rapuh ini perlukan ketekunan, kesabaran dan kerajinan yang bukan sedikit. Yang pasti, tak semua anak-anak pokok yang baru ditanam akan hidup dan membesar. Pasti ada yang gagal hidup. Itulah cabaran yang perlu dihadapi selain serangan serangga perosak. Kobis cina yang saya tanam ni adalah benih kongsi yang diberi percuma oleh en. Iskandar(tanamsendiri.com). Kata beliau, daun pokok kobis jenis ini akan terbuka jika ditanam ditempat panas dan tertutup sekiranya kita tanam di kawasan bersuhu sederhana atau sejuk.

Semasa anak-anak pokok kobis cina dipindahkan dan ditanam di batas, ia diserkup dengan jaring hijau untuk kurangkan pancaran cahaya matahari secara terus. Anak pokok membesar dengan baik biarpun ada yang mati dan mereka juga ditinggalkan selama 12 hari tanpa sebarang penjagaan dan pengawasan. Akhirnya, penat lelah tuan kebun terbalas dengan tuaian pertama yang boleh dimakan dua kali. Yang pertama, makan sebagai ulam dan kedua, masak bening.

Friday, January 11, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 29/12/12


Ini tuaian kedua selepas kebun ditinggalkan 12 hari untuk bercuti tahun lepas. Petola ular sebiji (dapat masak dua kali), pucuk ulam raja, selom, petola segi, peria kampung, sawi putih dan sawi fair lady extra dwarf.

Wednesday, January 9, 2013

Kuih Bungkus Manis


Siapa yang pernah lihat dan makan kuih bungkus manis? Kuih bungkus adalah kuih tradisional Kelantan yang makin sukar untuk dibeli sekarang. Kuih ni disebut sebagai 'kuih bukuh manih' oleh penduduk tempatan. Semasa zaman sekolah dulu, bonda saya biasa buat kuih bungkus manis untuk dijadikan hidangan minum petang kami sekeluarga. Proses membuatnya masih saya ingat dan sayalah tukang ambil daun pisang untuk membungkus kuih ni. Kuih bungkus manis ni dalam perancangan saya dan isteri untuk membuatnya. Ubi kayu dah ditanam dan bila ubinya dah ada, InsyaAllah kuih tradisional ini akan jadi hidangan kami.

Nota : Kuih dalam foto dibeli oleh adik ipar saya untuk sarapan pagi bersama nasi berlauk. Kuih bungkus manis sebenarnya bukan mudah untuk didapati kerana orang yang membuat dan menjualnya sekarang dah berkurangan.

Tuesday, January 8, 2013

Rambai

Rambai yang dikenali dengan nama rambai telur.

Rambai atau nama botaninya Baccaurea Motleyana dalam famili Euphorbiaceae. Buah rambai juga termasuk dalam kategori buahan nadir di Malaysia. Pokok rambai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Pokok rambai biasanya berbatang lurus dan buahnya keluar pada bahagian batang, dahan dan ranting pokok.

Buah rambai mempunyai rasa masam dan manis dimakan mentah dan boleh dijadikan bahan masakan. Isi buah rambai melekat pada bijinya dan jika memakan buah rambai, ia ditelan bersama bijinya.

Nota : Dah lama saya tak makan buah rambai, balik kampung hujung tahun lepas jumpa orang orang jual buah rambai ni. Beli dan makan untuk lepaskan rindu..hehe.. Di kampung lama saya ada banyak pokok rambai tapi masa balik biasanya bukan musim ia brbuah.

Sunday, January 6, 2013

Orkid - Satu Ketika & Kini

Sebagai peminat bungaan dan landskap, pokok orkid merupakan salah satu daripada pokok hiasan yang menjadi pilihan saya. Kira-kira lapan tahun lalu, saya membeli pokok-pokok orkid dan membina sebuah rumah orkid untuk menempatkan koleksi yang ada. Biasanya saya membeli pokok orkid dengan melihat warna dan bentuknya. Pokok yang dah berbunga dan mekar selalunya dibawa pulang. Itu cerita lama. Setelah berpindah ke tempat baru, pokok-pokok orkid ditinggalkan. Beberapa tahun lepas rumah orkid runtuh kerana faktor usia. Kini, mereka mendapat rumah baru dan dibawah jagaan baik bonda saya. Bunga-bunga orkid dalam entri ini adalah antara yang mekar semasa saya balik kampung hujung tahun lepas.

Bunga orkid yang disirami titisan hujan musim tengkujuh.

Warna bunga orkid ini memikat hati. Ketika membeli pokok ini dulu, bunga-bunganya sedang mekar.

Bunga orkid mekar dengan indah bila dijaga dengan baik oleh bonda saya.

Orkid ini hanya tinggal sekuntum. Bila disentuh, bunga gugur. Terpaksa panggil model kecil pegang bunga untuk diambil fotonya.

Tak pasti kenapa kelopak orkid jadi kegemaran serangga perosak sedangkan yang lainnya tak diusik.

Antara bunga orkid yang mekar ketika sesi fotografi dibuat. Yang lain, belum keluar tangkai bunga baru dan ada yang belum mekar bunganya.

Friday, January 4, 2013

Isi Buah Tal


Pernah lihat isi buah tal segar? Buah tal juga dikenali dengan nama kelapa laut. Kelapa laut pun tak pernah lihat pokoknya? Buah tal segar pada tandan rupanya bagaimana agaknya? Isi buah tal segar kali terakhir saya makan adalah semasa masih bersekolah. Ketika itu ia masih banyak dijual, sebungkus seprti dalam foto di atas hanya berharga RM1.00. Sekarang, harganya dah melonjak. Bukan saja harganya naik, isi buah tal sangat payah nak jumpa orang jual sekarang. Isi buah tal rasanya hampir sama dengan isi kelapa muda tapi teksturnya lebih kenyal. Selain dimakan segar, isinya boleh dijadikan jus. Hiris isi tal nipis-nipis dan masak bersama dan gula. Boleh dicampur madu dan ais untuk menambahkan lagi keenakan rasanya.

Info mengenai pokok kelapa laut, buah dan khasiat serta kegunaannya, boleh baca di sini.

Thursday, January 3, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Setelah 12 Hari (Episod Akhir)

Sebahagian hasil yang dituai setelah kebun kecil ditinggalkan 12 hari. Sebahagian lagi dibiarkan pada pokok untuk dijadikan benih. Kebun pun dah dibersihkan sepenuhnya(foto masih ada dalam kamera dan akan dimuat naik selepas ini). Tiada lagi semak samun yang menutup ruang kebun. Kebun kecil menerima ahli baru iaitu terung panjang hijau dan cili hutan.

Wednesday, January 2, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Setelah 12 Hari (Ep. 4 : Ceria)

Lada solok yang berbuah agak banyak biarpun pokok masih kecil dan ditinggalkan tanpa sebarang penjagaan selama 12 hari. Pokok lada solok ada dua pokok yang berbuah. Yang lain baru ditanam dan masih kecil.

Biarpun tanpa siraman dan kawalan serangan serangga perosak, kobis cina hidup subur. Ianya  mengujakan tuan kebun biarpun ada yang mati atau rosak tapi peratusannya kecil.
.
Sawi putih tetap hijau walaupun saiznya mengecil daripada biasa. Perhatikan tanah sekitarnya kering dan merekah. Ada juga yang terencat pembesarannya. Sawi-sawi ini telah pun dituai, jumlahnya melebihi keperluan tuan kebun. Sebahagian diberikan kepada saudara-mara. Tuan kebun masih dapat masak sawi putih dua kali.

Biji bunga matahari dah pun menjadi benih. Saya kutip dan simpan untuk ditanam selepas ini.