VIP Dedaun Alam

Sunday, January 29, 2012

Pigeon Orchid Blossom

Bunga orkid merpati yang mekar

Foto bunga orkid merpati ini diambil pada bulan Mac 2008 menggunakan kamera berpixel 3.0. Pokok orkid merpati ini saya tanam didahan pokok mangga/pauh/mempelam/pelam. Bunganya akan mekar serentak dalam satu masa. Mekar pada waktu pagi dan akan layu pada waktu petang. Bila ia mekar, keharuman bunga akan dapat dihidu dari jarak yang agak jauh.

Wednesday, January 25, 2012

Nipah

Pokok nipah yang tumbuh di tebing sungai berhampiran jeti Tok Bali, Pasir Puteh.

Nama Botani : Nypa Fruticans
Famili : Arecaceae

Nipah sejenis tumbuhan palma daripada famili arecaceae yang biasa dijumpai tumbuh meliar di kawasan paya berhampiran dengan pantai. Pokok nipah mempunyai batang yang pendek dan pada hujung batang ini terdapat pelepah daun yang panjangnya sehingga 6 meter. Daun nipah tirus panjang dan agak keras tersusun rapi di sepanjang pelepahnya. Nipah membiak melalui biji benih yang dihanyutkan air kerana sifatnya yang terapung. Ia juga mebiak melalui rumpun pokok yang hanyut.

Daun nipah dijadikan atap dengan menyusun dan melipatkan pada buluh dan dijalin menggunakan batang bemban yang dibelah. Atap nipah semakin kurang mendapat tempat kerana pilihan bahan sebagai yang pelabagi dan kepakaran membuat atap nipah semakin lenyap. Pucuk nipah juga digunakan untuk membuat rokok daun atau daun rokok. Pucuk nipah dibuang selaputnya, dijemur dan setelah kering ia dipotong mengikut saiz kira-kira 10cm. Buah nipah boleh dimakan segar, isi buah nipah hampir sama dengan buah kabung. Nira nipah yang dihasilkan daripada tandan buah yang masih muda boleh diminum dan ia dikatakan sangat baik untuk kesihatan. Nira nipah juga boleh dijadikan manisan atau gula nipah. Bunga serta buah nipah muda dimakan sebagai sayuran, dimasak lemak dan kerabu.

Sunday, January 22, 2012

Sekilas Ikan Di Air, Sudah Tahu Jantan Betinanya


Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya bermaksud dengan hanya melihat luaran telah diketahui keadaan atau situasi sebenarnya. Itu pepatah atau peribahasa tapi secara logiknya dapatkah kita kenal jantina ikan dengan hanya sekali imbas sahaja? Apakah jantina ikan dalam foto di atas? Rasanya tak perlu bertanyakan jantina kerana mereka nampak sama saja. Soalan mudah, apa agaknya nama ikan kat atas tu?

Thursday, January 19, 2012

Pseudocalymma Alliaceum @ Garlic Vine

Pokok garlic vine atau garlic creeper di tanam sebagai pokok hiasan.

Nama Botani : Pseudocalymma alliaceum
Famili : Bignoniaceae

Pokok garlic vine adalah tumbuhan jenis berkayu yang memanjat atau menjalar. Pokok ini berasal daripada Amerika Tengah dan Amerika Selatan iaitu Mexico sehingga Brazil. Dalam habitat asalnya iaitu hutan, pokok garlic vine memanjat pokok besar yang lain untuk mendapat cahaya matahari. Batang pokok garlic vine atau garlic creeper ini mencapai 5 meter panjang. Pokok yang biasa tumbuh meliar kini banyak ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik. Ia ditanam dengan memanjat sokongan lain seperti pergola, para-para, tiang dan pokok besar lain. Bunganya keluar secara berjambak dalam jumlah yang banyak pada satu pokok. Bunga garlic vine berwarna ungu dan mempunyai bau yang unik. Ia berbau seakan-akan bawang putih. Pokok ini mendapat nama daripada bau bunganya. Di Sepanyol, ia dikenali dengan nama ajos sacha (false garlic). Bunganya yang cantik ini menarik perhatian lebah, rama-rama dan burung untuk mendapatkan madunya.

Selain ditanam sebagai pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat sebagai ubatan tradisional. Di negara asalnya, ia digunakan sebagai penawar kepada rheumatik dan arthtritis. Daun dan batang pokok garlic vine direbus dan wap daripada rebusan ini disedut sebagai penawar demam panas dan selesema. Air rebusan diminum untuk membunuh cacing.

Monday, January 16, 2012

Cynocephalus Variegatus & Cocos Nucifera

Mana kepala, mana ekornya? Cynocephalus variegatus atau nama manjanya, kubung sedang tidur dengan bergayut di pelepah cocos nucifera. Kubung adalah mamalia nokturnal, ia tidur pada siang dan aktif bila malam menjelma.

Kubung dah terjaga dari mimpi indah. Cahaya flash kamera membuatkan tidurnya terganggu.

Haiwan comel dan jinak ini sekadar memandang tanpa berusaha untuk melarikan diri. Kubung sebenarnya tidak dapat melihat dengan baik pada waktu siang. Boleh dikira ia spesis haiwan yang rabun siang.

Tetap setia melekap pada pelepah pokok kelapa. Pokok kelapa menjadi tempat kegemaran kubung untuk berehat dan tidur pada waktu siang. Selalunya ia berada di bahagian pangkal pelepah (bahagian tandan buah) jika tidak diganggu atau terganggu oleh sesuatu.

Nota : Kisah dan info mengenai kubung boleh dibaca di sini dan sini

Monday, January 9, 2012

Mentadak @ Kekchong

Anak mentadak atau nimfa yang sebesar kerengga.

Mentadak yang dikenali dengan nama kekchong dan sudu senu oleh penduduk Kelantan merupakan serangga karnivor. Terdapat lebih 2,200 spesis mentadak di seluruh dunia. Ia terdiri dalam 15 famili yang berbeza tetapi kebanyakan  mentadak yang dijumpai sekarang adalah dalam famili Mantidae. Serangga ini mempunyai sepasang kaki depan yang unik untuk menangkap mangsanya. Ia menjadikan serangga lain seperti belalang, lalat, semut sebagai makanan. Mentadak bertindak sebagai kawalan serangga perosak secara biologi. Ia menggunakan teknik serang hendap untuk memerangkap mangsa sebagai makanannya. Kepalanya mampu berpusing hampir satu pusingan, ia juga boleh melompat dan terbang dalam jarak sederhana. Mentadak mempunyai kebolehan untuk menggunakan teknik penyamaran diri atau camouflage sepertimana sesumpah dan cicak kubing untuk mengelak daripada musuh..

Friday, January 6, 2012

Spotted Dove

Spotted Dove on the pole position. Burung tekukur singgah di puncak tiang talian elektrik.

Dari bawah. Streptolia chinensis hinggap di dahan cermai.

Wednesday, January 4, 2012

Patah Tumbuh Hilang Berganti - Episod 2

Kisah patah tumbuh hilang berganti episod 2 adalah sambungan entri ini. Yang tumbuh makin besar dan keluar satu lagi tunas untuk bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan.


Jawapan kepada soalan en. zul permatang badak dalam komen entri tersebut, betul...biarlah burung makan.....rezeki dia...dia berdoa untuk kita dimurahkan rezeki...... tapi yg tumbuh tu.....ada riak2 nak berbuah ke?...... Tanam je benih baru..... 

Kira-kira sebulan lebih, pokok yang tumbuh berganti ini sudah mula berbuah. Dah ada 3 biji buah walaupun batang pokok gantian masih kecil.

Monday, January 2, 2012

Loch Ness Monster?


Loch Ness monster?? Sudah tentu bukan. Masa berjalan-jalan di tepi sebuah tasik, terpandang fauna ini sedang berenang dengan meninggalkan riak air. Sekali pandang macam Loch Ness monster yang menjadi lagenda tu. Pada mulanya saya fikir ianya memerang, rupa-rupanya... Kenal tak fauna ni?

Sunday, January 1, 2012

Bougainvillea @ Bunga Kertas

Pokok bunga kertas.

Pokok bunga kertas atau bougainvillea berasal dari Brazil. Ia ditanam diseluruh dunia sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik dan mempunyai pelbagai warna. Pokok yang berasal daripada famili Nyctaginaceae dibiakkan melalui keratan batang, cantuman dan tut. Pokok bunga kertas sebenarnya jenis pokok berkayu yang memanjat dan menjalar. Antara kelebihan pokok ini ialah ia boleh dicantum dengan spesis bunga kertas yang lain pada satu pokok. Ia akan mengeluarkan bunga yang berbagai warna. Pokok bunga kertas juga boleh dijadikan bongsai dengan memangkas secara berjadual.

Sebenarnya pokok bunga kertas bukan sekadar pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan herba tradisional.  Daun pokok bunga kertas yang segar dilumatkan boleh digunakan untuk merawat luka kecil. Daun yang dilumatkan ditampal pada tempat luka. Akar pokok bunga kertas direbus dan diminum untuk meredakan demam panas dan sebagai julap (atasi sembelit). Air rebusan bunganya pula diminum sebagai penawar batuk.