VIP Dedaun Alam

Thursday, October 27, 2011

Kerabu & Gulai Siput Rodong

Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, menu masakan menggunakan siput rodong  akan dipaparkan di sini. Tak ramai yang mengenali, melihat dan merasa siput rodong ini. Dua jenis masakan yang boleh dibuat menggunakan siput rodong adalah kerabu dan gulai lemak. Untuk menyediakan masakan ini, isi siput rodong perlu dikeluarkan daripada cengkerangnya dahulu. Caranya, kita perlu mengetuk cengkerang menggunakan benda keras seperti tukul, belakang parang dan sebagainya. Isi yang diperolehi perlu dibersihkan kerana biasanya ia bercampur pasir atau selut. Kepingan berbentuk bulat (berfungsi sebagai injap) yang menutup isi dan cengkerang juga perlu dibuang.

Kerabu siput rodong bersama kacang botor (botor bukan botol). Isi siput rodong pejal seperti mana siput jenis lain dan ianya diakui sedap dan unik. 

Gulai lemak siput rodong bersama keledek. Pasangan terbaik untuk masakan jenis ini adalah betik matang.

Monday, October 24, 2011

Bunga Part XXVIII

Bunga asam batu atau lebih popular dengan nama begonia.

Bunga kecil ni tak pasti daripada pokok bunga apa. Ambil gambar masa hariraya. Lupa pula nak tengok pokoknya betul-betul. 

Yang ni bunga paku tunjuk langit. Nak kenal pokok tunjuk langit, lihat kat sini. Jangan keliru dengan pokok buah tunjuk langit.

Friday, October 21, 2011

Ulaman - Bahagian 3

Ulaman yang dipaparkan dalam segmen ulaman bahagian ketiga ini merupakan ulaman tradisional. Pasti ada yang belum pernah melihat apatah lagi merasa pucuk pokok mata itik. 

Pokok mata itik atau mata itek. Pucuknya dimakan segar sebagai ulaman. Ia baik untuk kesihatan kita. Selain pucuk, buahnya juga boleh dimakan segar.

Pucuk mengkudu. Biarpun rasanya agak pahit tapi ia juga berkhasiat untuk kesihatan kita. Pucuk muda mengkudu dicelur sebelum dimakan sebagai ulam. Ia juga sedap dibuat kerabu.

Pucuk cekur manis atau asin-asin. Sedikit berbau. Untuk hilangkan bau, celur dulu sebelum makan.


Wednesday, October 19, 2011

Siput Rodong

Ini kali pertama saya lihat siput yang dikenali dengan nama siput rodong (sebut : ghodong dalam pelat utara).  Siput ini dikutip dari kawasan pantai yang berselut atau paya bakau. Biasanya siput jenis ini tidak dijual dipasar basah. Siput rodong ini dikutip oleh saudara sebelah isteri saya di kawasan pantai berdekatan.

Bentuk siput rodong agak runcing dan tajam. Saiznya sebesar dua jari orang dewasa dengan panjang kira-kira 8cm. Proses untuk memasak siput ini agak rumit. Bagaimana cara dan apa menu masakan untuk siput rodong ni akan disiar dalam entri yang akan datang.

Monday, October 17, 2011

Jeruk Celagi

Jeruk celagi yang dihasilkan menggunakan garam, gula dan air. Buih-buih yang keluar adalah tanda jeruk celagi dah boleh dimakan dan tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana ia akan rosak.

Jeruk celagi ini dibuat oleh Mahsuri kesayangan saya. Katanya, kulit buah celagi ni sepatutnya dikikis dulu sebelum dijeruk tapi buah celagi ni masih nipis dan muda. Buah celagi ni diperolehi daripada pokoknya yang ditebang. Pokok celagi sebesar lebih sepemeluk orang dewasa berbuah lebat semasa ia ditebang. Sayang pula tengok buah celagi yang bergayutan pada hujung ranting. Sebelum sisa daripada pokok yang ditebang dibuang an dilupuskan, buah celagi dikutip untuk dijeruk. Sebahagian besarnya terpaksa dilupuskan. Ada tak sesiapa yang belum pernah makan jeruk celagi ni??

Celagi = buah asam jawa atau tamarind.

Thursday, October 13, 2011

Kuih Isabella

Kuih Isabella??? Sejenis kuih dengan nama yang agak asing bagi saya. Tapi mahsuri kesayangan  saya bersungguh-sungguh mengatakan nama kuih ini adalah kuih Isabella. Kuih tradisional tapi namanya kedengaran agak moden. Kuih ini sememangnya dikenali dengan nama tersebut hampir di semua tempat di Malaysia. Tak percaya? Cuba buat carian di internet melalui google atau mana-mana enjin carian. Ia juga dikenali dengan nama kuih ketuk/getuk ubi kayu. Ada juga yang memanggilnya cekodok ubi kayu. Rasanya isitilah ini kurang tepat. Bahan utama untuk membuat kuih tradisional ini adalah ubi kayu dan kelapa parut. Ubi kayu yang direbus, dihancurkan(lenyek) dan digaul bersama kelapa matang parut. Tambah sedikit gula dan garam. Kemudian adunan tadi dibentuk seperti bebola. Bebola yang dibuat tadi dicelup ke dalam adunan tepung gandum+tepung beras(seperti tepung pisang goreng).

Gorengggg.... Hati-hati dengan minyak panas, jangan sesekali guna tangan untuk membalik-balik kuih ini semasa menggoreng..hehe..

Dah siap pun kuih Isabella ni. Sedap dimakan sewaktu kita lapar dan ketika kuih ini masih suam.

Tuesday, October 11, 2011

Nona Vs. Nona Serikaya@Sekaya

Entri ini khas untuk pembaca Dedaun Alam mengenali dan mengetahui perbezaan antara nona dan nona serikaya. Terdapat percanggahan pendapat kerana ada yang mengatakan kedua-dua buah ini adalah dari jenis yang sama. Memang benar buah ini daripada famili yang sama iaitu annonaceae tapi ianya spesis yang berbeza. Jadi, jika ada yang berpendapat nona dan nona serikaya adalah buah yang sama, fikirkan kembali dengan fakta dan foto yang dipaparkan di sini.

Nona atau annona reticulata L. perhatikan daunnya yang lebih runcing dan berwarna hijau gelap berbanding daun nona serikaya (foto di bawah)

Annona squamosa atau nona serikaya. Ia juga dikenali dengan nama nona srikaya dan buah sekaya.

Buah nona serikaya (kiri) dan buah nona (kanan). Perbezaan yang paling ketara antara dua spesis buah  ini.





Sunday, October 9, 2011

Nona

Buah nona yang masih muda. Ini buah nona yang sebenar/asli. Nona biasanya menimbulkan percanggahan pendapat ramai kerana terkeliru dengan saudara rapatnya, nona serikaya atau buah sekaya.


Nama Botani : Annona Reticulata L
Famili : Annonaceae

Pokok nona berasal dari Amerika Tengah. Ia kini banyak ditanam di Malaysia dan Indonesia. Ketinggian pokok nona adalah sederahana iaitu sekitar 3 hingga 7 meter. Seluruh bahagian pokok nona mempunyai aroma yang kuat jika terluka. Buahnya berbentuk seakan sfera tetapi sedikit bujur seperti gasing dan berdiameter diantara 5-12 cm. Buahnya hampir sama dengan saudara rapatnya iaitu nona serikaya atau buah sekaya . Pokok nona dibiakkan melalui biji benih dan keratan batang. Anak pokok dari benih menghasilkan buah yang lebih berkualiti berbanding anak daripada keratan batang. 

Sedikit kulit pokok nona dimasak dengan air sehinggalah air itu tinggal separuh. Air rebusan tersebut diminum sebanyak tiga kali sebagai astrigen untuk menyembuhkan cirit- birit dan disentri. Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk meredakan demam dengan menyapu ke badan. Ia juga diminum untuk melawaskan pembuangan air kecil. Daun pokok nona dalam foto ini sangat berjasa kepada tuannya kerana sering digunakan untuk mengurangkan kepanasan badan akibat demam. Ambil daun segar nona, ramas bersama air. Air tersebut digunakan untuk menjaram kepala dan badan. Gunakan tuala kecil yang bersih yang dicelup dalam air ramasan daun nona dan diperah. Letak tuala tersebut pada bahagian dahi. Cara ini akan menurunkan kepanasan akibat demam. Daunnya juga digunakan untuk merawat bisul. Akar pokok nona mempunyai toksik dan ia boleh menyebabkan kematian kepada manusia.

Thursday, October 6, 2011

Ulaman - Bahagian 2

Ulaman segar yang boleh didapati di sekitar rumah. Mungkin ulaman yang tersenarai di sini tidak dikenali ramai pembaca seperti pokok beluntas.

Pucuk beluntas. Boleh dimakan mentah atau dimasak lemak. Pucuk sedikit payau.

Umbut lengkuas. Tidak dijual di pasar rasanya. Umbut lengkuas dicabut, dibuang kulit luar dengan cara memotong dan membelah kulit yang keras sehingga umbut lembut berwarna putih diperolehi. Umbut ini dicelur sebelum dimakan sebagai ulaman.

Pucuk kaduk. Dicelur sebelum dimakan. Pucuk kaduk agak berbau tapi ia berkhasiat untuk kesihatan kita.

Rebung. Dibersihkan, potong nipis dan dicelur.



Tuesday, October 4, 2011

Ara Songsang

Pokok ara songsang yang lebih dikenali dengan nama rumput Israel.

Nama Botani : Asytasia coromandeliana
Famili : Acanthaceae

Pokok ara songsang berasal dari Malaysia. Ramai yang mengenalinya dengan nama rumput Israel. Tumbuhan jenis rumpai ini juga dikenali dengan nama akar ruas-rusa dan pengorak. Terdapat berapa spesis pokok ara songsang yang dibezakan melalui bentuk dan saiz bunga atau pokoknya. Ia tumbuh secara meliar di kawasan terbiar, kebun, halaman rumah dan ladang. Pokok ini lebih menggemari kawasan yang terlindung daripada pancaran matahari. Ia mempunyai batang yang beruas, lembut dan berair. Ia membiak dengan cepat melalui keratan batang dan biji benih. Ara songsang dipanggil dengan nama rumput Israel kerana ia cepat membaik dan akan menguasai sesuatu kawasan dengan pantas. Tumbuhan rumpai tidak disukai oleh pekebun dan petani.

Biarpun dianggap sebagai tumbuhan perosak tetapi ia juga mempunyai  khasiat dalam perubatan herba tradisional. Daun pokok ara songsang yang dilumatkan dan ditampal pada tempat berkenaan boleh digunakan untuk merawat luka dan bengkak. Untuk melawaskan pembuangan air kecil, pokok ini direbus dan diminum air rebusan tersebut. Daun pokok ini yang ditumbuk bersama bawang digunakan untuk merawat masalah kekejangan otot. Akar pokok ara songsang yang dimakan bersama pinang dikatakan berkesan untuk mengatasi batuk. Selain berguna sebagai perubatan herba, pokok ini juga amat digemari oleh haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan arnab.

Sunday, October 2, 2011

Ketupat Nasi

Kelongsong atau sarung ketupat nasi yang dibuat daripada anyaman daun kelapa yang masih muda.

Ketupat nasi adalah antara makanan tradisional masyarakat Melayu yang popular ketika sambutan hariraya. Ketupat nasi yang asli ini semakin dilupai oleh generasi sekarang. Ia digantikan dengan ketupat nasi yang lebih mudah dan cepat. Daun kelapa digantikan dengan plastik (yang tidak begitu baik untuk kesihatan kita dan tidak mesra alam). Antara faktor yang menyebabkan ketupat nasi yang menggunakan daun kelapa semakin tersisih ialah tidak ramai yang boleh (pandai) menganyam kelongsong daun kelapa. Untuk menghasilkan anyaman tidak semudah yang disangka. Namun jika kita telah mahir, ia bukan lagi satu masalah. Faktor kedua, kesukaran untuk mendapat daun kelapa yang masih muda. Biasanya ia tidak dijual di pasaran. Faktor ketiga, ketupat nasi yang ringkas dan mudah telah diperkenalkan (menggunakan plastik). Ketupat nasi daun kelapa lebih sedap dan mempunyai aroma tersendiri. Anyaman kelongsong ketupat nasi dalam foto di atas dihasilkan oleh saya. Terima kasih kepada adik saya, lina_pg yang memperturunkan ilmu seni anyaman daun kelapa ini kepada saya sejak lama dulu (tak ingat dah berapa tahun). Skill menganyam masih ada biarpun hanya sekali sekala menggunakannya.