VIP Dedaun Alam

Sunday, February 21, 2010

Semalu @ Duri Keman

Pokok semalu. Daunnya akan menguncup jika disentuh.


Nama botani :Mimosa pudica L.
Famili : Leguminnosae
Nama Lain : Malu-malu, Puteri malu, Kembang gajah, Rumput rimau, Memalu, Keman, Duri keman

Pengenalan

Pokok semalu merupakan tumbuhan yang hidup meliar di tepi jalan, kawasan terbiar dan padang. Semalu lebih menggemari kawasan yang agak terdedah kepada sinaran matahari. Pokok terkenal kerana keunikannya tersendiri iaitu daun yang akan menguncup jika disentuh atau terkena sesuatu objek. Semalu berbatang agak liat dan mempunyai duri tajam yang berbentuk seperti cangkuk.

Kegunaan

Pokok semalu boleh digunakan untuk mengecut, menguat dan membersihkan faraj, khususnya selepas bersalin atau haid. Batang pokok semalu bersekali dengan akarnya direbus bersama sedikit buah manjakani, garam kasar dan asam keeping. Rebus sehingga asam keping kembang dan biarkan airnya menjadi suam. Air rebusan ini boleh digunakan sebagai mandian bukannya minuman.

Semalu juga dapat merawat masalah cekang kaki atau tangan yang pecah-pecah akibat dimakan air. Beberapa batang pokok semalu bersama akarnya dicampurkan dengan sedikit kapur dan tumbuk sehingga lumat. Sapukan pada bahagian yang ingin dirawat.

Pokok semalu juga dapat mengubati bengkak, luka dan bisul. Caranya ialah dengan menumbuk daun semalu bersama kunyit dan kerak-kerak nasi(terenia polygonaides). Tampalkan pada bahagian yang sakit.

Akar semalu boleh merawat sakit buah pinggang, sebagai pelawas kencing, sakit perut, senggugut, malaria, asma, tonik, keputihan dan kusta. Air dari batang semalu boleh diminum bagi merawat sakit tekak, batuk dan demam. Batang dan daun pokok semalu yang ditumbuk dan ditampal pada bahagian yang digigit oleh binatang berbisa boleh meredakan kesakitan akibat bias daripada gigitan tersebut.

Thursday, February 18, 2010

Akar Banar

Pokok akar banar

Bentuk daun akar banar yang mempunyai urat daun selari dan batangnya berduri tajam.


Nama Botani : Dioscorea sp.
Nama Lain : Duri banar
Pengenalan

Pokok akar banar merupakan tumbuhan yang tumbuh liar di kawasan semak, belukar, hutan dan ladang atau kebun. Ia lebih mnyukai kawasan yang terdedah kepada pancaran matahari. Pokok akar banar mempunyai isi atau ubi di dalam tanah. Batang pokok ini berbentuk bulat, berwarna hijau, liat dan mempunyai duri yang tajam. Daunnya berwarna hijau di bahagian atas dan putih di bahagian bawah. Daun pokok akar banar tersusun berselang satu-satu pada batangnya, bersaiz besar, mempunyai urat selari dengan tekstur daun yang tebal dan keras. Pokok ini mempunyai sulur paut atau tendril yang digunakan untuk berpaut pada pokok lain kerana ianya jenis memanjat.

Kegunaan

Daun serta akar pokok ini yang diramas sehingga hancur kemudian dipanaskan sedikit dan dibuat jaram kepala untuk melegakan sakit kepala, demam panas dan migrain. Untuk merawat resdung pula, pokok akar banar yang dikeringkan, dibakar bahagian hujungnya dan disedut asapnya.

Tuesday, February 16, 2010

Tepus

Pokok tepus

Tepus daripada keluarga halia dan lengkuas ini biasa dijumpai tumbuh meliar di kawasan hutan, belukar dan ladang getah. Ciri-ciri pokok tepus hampir menyamai kantan dari segi bentuk daun, batang dan ketinggian. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 4m. Ciri yang berbeza antara kedua pokok ini adalah bentuk bunga dan bau. Bau pokok tepus lebih kuat berbanding kantan. Pokok tepus mampu hidup di kawasan berbukit dan berbatu dengan subur. Kita boleh temui pokok kantan hidup di puncak bukit. Manakala kantan hidup subur di kawasan lembab dan berair. Pokok tepus tidak mendapat perhatian kerana tidak banyak bahagian pokoknya yang berguna kepada manusia kecuali umbut muda pokok ini boleh dibuat ulam atau dimasak bersama gulai.

Sunday, February 14, 2010

Remilang @ Beremi

Inilah rupa pokok remilang atau beremi. Ia dimakan sebagai ulaman.

Nama Botani : Portulaca
Nama Lain : Beremi, pucuk sepit

Pengenalan

Remilang atau juga dikenali dengan nama beremi dan pucuk sepit merupakan tumbuhan yang hidup meliar di persisiran pantai. Ia mampu hidup di dalam air dan di atas tanah. Ada juga yang ditanam di kawasan rumah untuk dijadikan ulam kerana khasiatnya. Ia mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Kegunaan

Pokok remilang yang biasanya dimakan sekali dengan akarnya dipercayai dapat menghilangkan ketagihan rokok, menyembuhkan asma dan merawat penyakit pada paru-paru. Oleh kerana pokok beremi mudah layu dan rosak, inisiatif telah diambil oleh Persatuan Nelayan Kuala Kedah (PNKK) untuk mengawet pokok remilang sebelum dijual dengan menjadikannya sebagai jeruk. Jeruk remilang ini dapat mengekalkan nutrien dalam jangka masa yang lebih panjang. Pokok remilang diawet atau dijeruk menggunakan cuka, garam serta gula. Ia dapat mengekalkan kerangupan, tekstur dan rasanya seperti asal.

Friday, February 12, 2010

Remia

Pokok remia yang sama bentuk dan ciri dengan pokok kundang atau setar

Buah remia yang telah masak

Yang ini masih hijau dan belum masak

Inilah rupa buah remia

Rasa buah remia tidak sama seperti kundang atau gemia. Remia tetap masam biarpun telah masak. Rasa buah buah kundang manis-manis masam setelah masak.



Kali ini saya perkenalkan buah yang kurang dikenali dan termasuk dalam kategori buah nadir Malaysia iaitu buah remia. Remia adalah sebutan masyarakat Utara semenanjung Malaysia. Bulan Februari 2010, buah remia ini telah masak dan foto ini diambil pada hari ini (12 Feb 2010) dan dijadikan entri blog ini pada hari yang sama. Ramai orang yang keliru antara buah remia, kundang atau setar dan gemia. Ciri perbezaan yang ketara boleh kita lihat dan tahu adalah bentuk dan rasa. Buah remia bersaiz kecil, manakala kundang lebih besar berbanding remia. Gemia merupakan buah yang paling besar dalam pokok spesis ini. Remia rasanya masam walaupun telah masak, kundang atau setar lebih manis dengan sedikit rasa masam. Manakala gemia yang paling manis dan sedap. Remia sesuai jika dimakan dengan pencicah atau 'colek'. Sesiapa yang suka makan buah jenis masam dengan mencicahnya, bolehlah cuba buah ini. Sedap!!

Ubi Larut Rebus

Inilah rupa ubi larut yang telah direbus dan masak

Ubi larut bukan ubi yang biasa tapi kelihatan seperti lengkuas atau halia. Bagaimana pula rasanya?

Ubi larut atau nama botaninya stachyphyniu griffithii ini telah jadi entri untuk blog saya sebelum ini. Ketika itu saya sendiri tidak pernah merasa ubi larut yang direbus cuma melihat pokoknya. Hari ini, saya berkesempatan untuk makan ubi larut ini. Rasanya sangat mengejutkan saya kerana walaupun nampak macam pedas seperti halia, ubi larut ini memang rasanya seperti ubi. Manis dan agak berserat. Patutlah ia dipanggil ubi walaupun hakikatnya ia bukan jenis ubi. Ubi larut ini boleh membantu menyejukkan badan.

Thursday, February 11, 2010

Tuba Limau

Pokok tuba limau
Pokok tuba limau mungkin kurang dikenali dalam dunia perubatan herba. Saya sendiri pun tidak mengetahui banyak info mengenai khasiat pokok ini. Bahagian yang berguna pada pokok ini ialah akarnya. Akarnya digunakan sebagai ramuan dalam perubatan herba dan aromaterapi.

Wednesday, February 10, 2010

Mengkunyit

Pokok mengkunyit

Nama Botani : Coscinium blumeanum

Pengenalan

Mengkunyit merupakan tumbuhan liar jenis menjalar dan memanjat. Ia biasa dijumpai di hutan, belukar dan ladang getah. Walaupun namanya mengkunyit tetapi ia tidak menyamai bentuk pokok kunyit yang digunakan dalam masakan. Pokok ini mendapat nama daripada batangnya yang berwarna seakan kunyit jika dipotong atau dipatahkan. Batang pokok mengkunyit yang berbentuk akar agak kuat dan sering digunakan sebagai tali untuk mengikat kayu.

Kegunaan

Dalam perubatan herba tradisional Melayu, pokok mengkunyit digunakan sebagai ubat resdung yang mujarab. Pokok mengkunyit juga mengandungi flavanoid yang tinggi dan ia bertindak sebagai anti oksidan. Flavanoid ini boleh mengeluarkan histamin dan alergi serta membantu meningkatkan kadar Vitamin C. Ia juga akan melindungi kerosakan sel akibat radikal bebas serta menguatkan sendi.

Beberas

Pokok beberas atau beras-beras

Nama Botani : Ardisia sp
Famili : Myrsinaceae

Pengenalan

Pokok beras-beras adalah pokok jenis renek yang biasa dijumpai tumbuh di hutan atau di pinggir kawasan kampung. Buahnya sama seperti buah mata ayam, mata itik atau mata pelanduk. Ia berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi hitam kebiruan apabila masak. Buahnya yang masak rasanya manis dan boleh dimakan tetapi isi buah nipis dengan biji yang besar.

Kegunaan

 
Akar pokok beras-beras merupakan salah satu ramuan herba akar kayu yang digunakan selepas bersalin. Rebusan akarnya boleh digunakan untuk merawat malaria dan melegakan batuk.

Memali

Pokok memali

Nama Botani : Leea Indica Merr
Famili: Leeaceae
Nama Lain: Mali-mali, merpati padang, jolok-jolok, bandicoot berry

Pengenalan

Pokok memali merupakan tumbuhan jenis renek yang dipercayai berasal dari India. Ia biasanya tumbuh liar di kawasan belukar atau semak. Pokok ini mencapai ketinggian sehingga 4m. Daunnya jenis majmuk, urat daun yang jelas, permukaan luar daun berkilat dan bahagian tepi daunnya yang bergerigi(rujuk foto). Pokok memali membiak melalui biji benih(cara semulajadi) atau keratan batang (oleh manusia).

Kegunaan

Daun dan akar pokok memali boleh digunakan untuk mengubati cirit-birit. Daunnya juga boleh digunakan untuk proses memeram buahan seperti pisang, nangka, bacang dan lain-lain supaya cepat masak.

Cecair daripada daun pokok memali yang ditumbuk sehingga lumat digunakan untuk merawat luka dengan menyapu cecair ke bahagian luka tersebut. Akar memali juga merupakan ramuan campuran antara beberapa jenis herba lain seperti pucuk buluh, akar dan duri buah mengkuang tikus, akar rumput senayan halus, daun dan akar pokok mempelas kasar dan akar daun tepus kerai yang direbus bersama-sama kemudian diminum boleh merawat penyakit batu karang.

Tuesday, February 9, 2010

Jatropha Curcas @ Jarak Pagar

Pokok jarak pagar atau jatropha curcas

Buah jarak pagar yang boleh menghasilkan minyak biodiesel

Biji buah jarak pagar yang akan diproses untuk menghasilkan minyak biodiesel

Nama Botani : Jatropha curcas
Famili : Euphorbiaceae
Pengenalan

Jarak pagar atau nama botaninya, jatropha curcas berasal dari kawasan tropika dan subtropika seperti Amerika Selatan, Amerika Utara, Afrika dan Asia. Ketinggian pokok jarak pagar ini mencapai sehingga 5m. Pokok jarak pagar sering ditanam sebagai pokok pagaran dan kerana itulah namanya diperolehi. Buah jarak pagar berbentuk bujur dan berwarna hijau (rujuk foto). Setelah matang atau masak, ia akan merekah dan mengeluarkan biji berwarna hitam. Buah inilah yang digunakan untuk menghasilkan biodiesel.
Kegunaan

Minyak dari buah jatropha curcas atau jarak pagar yang dimasak akan mengeluarkan minyak berwarna kuning yang beracun. Minyak yang dicampur dengan belerang ini boleh mengubati luka-luka ringan. Malah jika dititiskan di celah jari kaki dapat menghilangkan penyakit kutu air. Kulit buahnya pula menjadi pelawas untuk membuang air besar.

Rebusan air daun jarak pagar dapat menyembuhkan penyakit demam dan Malaria. Daun ini juga turut menjadi makanan kepada ulat sutera. Daun ini akan gugur ke tanah dan lama-kelamaan menjadi sebati dengan tanah tanaman serta meningkatkan lagi kesuburan tanaman.

Kulit batang jarak pagar baik untuk disapukan pada bekas gigitan ular, salah urat atau terkehel. Selain itu, isi kayu batang pokok jarak pagar dapat menghilangkan putih lidah bayi dan menghilang panas di dalam badan. Kulit kayu jarak pagar boleh menghasilkan pewarna fabrik berwarna biru gelap. Akar jarak pagar boleh menjadi julap dan jika dihancurkan boleh ditempel bagi mengubat penyakit rheumatik.

Biji jarak pagar adalah ramuan mujarab tradisional untuk mengubati sakit lutut, batuk-batuk, luka lecur, gonerea, lumpuh, bengkak-bengkak, sakit kuning, radang paru-paru, gatal-gatal, ulser dan ketumbuhan.

Selain mencuci luka getah ini dapat melegakan kesakitan gigi berlubang dan ulser mulut dengan beberapa titisan dan tidak boleh dimakan kerana beracun. Ia juga dapat merawat luka selepas berkhatan agar lebih cepat sembuh.

Hampas yang terhasil daripada pemprosesan minyak jarak pagar boleh diguna semula sebagai baja kerana kaya dengan nitrogen fosforus dan postasium. Ia juga boleh menghindarkan perosak tanaman padi seperti siput gondang emas.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mengusahakan penanaman jarak pagar secara komersial, ini info daripada Bionas mengenai jatropha curcas:

01. Perolehan minyak, lebih kurang 33%;
02. Amat sesuai di tanam di iklim tropika seperti Malaysia;
03. Tumbuh dengan cepat, 6 bulan sudah mulai berbuah dan mengeluarkan hasil;
04. Penjagaannya senang, tidak dirosak oleh serangga, ulat atau binatang ternakan;
05. Pokok jarak pagar mampu hidup melebihi 45 tahun;
06. Sebiji buah jarak pagar mengandungi 2, 3 atau 4 biji benih yang akan diproses menjadi bio-diesel;
07. Saiz pokok yang rendah dan rendang akan memudahkan proses memetik;
08. Satu ekar tanah boleh ditanam sebanyak 800 pokok jarak. 1 batang anak pokok 10 inci berharga RM 2.50 hingga RM 4.50 di tapak semaian;
09. Hasil pengeluaran dalam masa 2 tahun pertama lebih kurang 3.6 tan (buah) bagi setiap ekar setahun dan hasil tanaman jarak akan berganda selepas 2 tahun; dan
10. Jaminan beli balik biji buah Jarak (kering) ialah RM 0.85 sekilo bersamaan RM 850 se-tan oleh Bionas selama 30 tahun.

Monday, February 8, 2010

Tanjung

Pokok tanjung

Bentuk daun tanjung dan bunganya yang kecil tetapi berbau harum


Nama Botani : Mimusops elengi
Nama Lain : Indian meddaler, Bulletwood tree, Spanish cherry,
Famili : Sapotaceae

Pengenalan

Pokok bunga ianjung atau nama botaninya mimusops elengi berasal dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Ia bersaiz sederhana dengan ketinggian sehingga 4m. Pokok tanjung tidak akan naik meninggi tetapi merendang dengan daunnya yang lebat dan rimbun. Ia biasa ditanam sebagai pokok hiasan landskap atau tepi-tepi jalan kerana ia merendang dan dapat memberi teduhan. Daun tanjung berwarna hijau tua, agak keras, permukaan yang berkilat dan sentiasa lebat sepanjang tahun. Bunga tanjung berbau sangat harum dan boleh dihidu dari jarak yang jauh jika tiba musim ia mengeluarkan bunga. Buah tanjung mempunyai bentuk bujur seakan bola ragbi dan bersaiz kira-kira 3cm panjang. Ketika muda ia berwarna hijau dan rasanya sangat kelat tetapi apabila masak warnanya bertukar menjadi oren atau jingga. Buahnya yang telah masak boleh dimakan, rasanya manis tetapi sedikit kelat.

Kegunaan

Bunganya digunakan oleh masyarakat Melayu dan India sebagai hiasan kepala serta dalam upacara keagamaan bagi kaum India. Keharuman bunga tanjung bertahan lama dan ia masih harum walaupun telah kering. Setelah bunga tanjung kering, rendam dalam minyak kelapa untuk mengembalikan semula keharumannya. Biasanya bunga tanjung direndam ke dalam minyak kelapa dan dilumur ke rambut digunakan untuk mewangikan rambut.

Untuk merawat ruam, ambil beberapa kuntum bunga tanjung dan direbus bersama 2 sudu besar jintan hitam. Kemudian embunkan air rebusan ini semalam. Tapiskan air yang diembunkan itu, guna untuk mandikan pesakit.

Air rebusan kulit batang pokok tanjung boleh digunakan untuk mencuci luka. Kulit batang pokok tanjung direbus bersama air, ditapis dan gunakan sebagai ubat kumur sekali sehari dapat merawat sakit gigi dan menghilangkan nafas berbau. Bunga tanjung juga mampu menghasilkan minyak pati berwarna kuning muda kehijauan yang biasa digunakan dalam aromaterapi.

Sunday, February 7, 2010

Ngedin @ Beridin

Pokok ngedin yang lebih popular dengan nama fishtail palm atau beridin

Nama Botani : Caryota spp.
Nama Lain : Fishtail palm, beridin
Pengenalan
Ngedin? Apa itu ngedin? Pasti ramai pembaca yang tidak pernah mendengar istilah yang kedengaran unik ini. Ngedin atau mudin adalah nama panggilan kepada pokok ini di kalangan masyarakat Kelantan.

Fishtail palm atau beridin adalah tumbuhan jenis palma dalam keluarga caryota yang hidup meliar di hutan, ladang, belukar. Terdapat kira-kira 50 jenis pokok palma ini tetapi yang dikenali hanya 12 jenis. Antaranya caryota ochlandra, caryota rumphiana dan caryota gigas. Pokok palma ini kini mendapat tempat sebagai pokok hiasan landskap. Daunnya berbentuk seperti ekor ikan dan ia mendapat nama daripada bentuk daunnya. Ketinggian pokok ini boleh mencapai sehingga 25m.

Kegunaan

Pokok palma ini kini mendapat tempat sebagai pokok hiasan landskap kerana ia mudah diperolehi dan lasak. Walaupun getah daripada pokok palma ini boleh menyebabkan kegatalan atau radang pada kulit, umbutnya boleh dimakan. Cecair daripada buahnya akan menyebabkan rasa gatal dan miang jika tersentuh pada kulit.

Mengkuang

Pokok mengkuang ini mungkin telah berusia puluhan tahun berdasarkan batangnya yang tinggi.
Nama botani : Pandanus Atrocarpus, Griff.
Famili : Pandanacea.

Pengenalan

Mengkuang merupakan tumbuhan dalam keluarga yang sama dengan pandan. Ia tumbuh liar di kawasan lembab dan berpaya. Biasa kita lihat mengkuang tumbuh di tepi-tepi sawah padi, tali air, paya dan sungai. Daun mengkuang berbentuk tirus memanjang dan berduri tajam pada bahagian tepi daun.

Kegunaan

Kegunaan utama mengkuang adalah dalam pembuatan barangan kraftangan seperti tikar, bakul dan lain-lain. Sifat daun mengkuang yang panjang dan lasak menjadikan ia pilihan utama untuk membuat tikar.

Mengkuang juga dipercayai boleh merawat hilang ingatan dengan cara duri mengkuang, duri gulang dan duri rakan direbus atau direndam dalam air panas dan air tersebut diguna untuk mandi. Mengikut kepercayaan tradisional masyarakat Melayu pada zaman lampau, daun mengkuang digunakan sebagai bahan untuk menghalau hantu dari mengganggu wanita yang lepas bersalin. Daun mengkuang akan diletakkan pada dinding rumah wanita yang baru melahirkan anak. Kononnya duri tajam pada daun mengkuang akan menakutkan hantu untuk mendekati rumah tersebut.

Bebuas

Pokok bebuas

Nama Saintifik : Premma cordiflora
Famili: Verbenaceae
Nama Lain : Berbuas, buas-buas
Pengenalan

Bebuas atau juga dikenali dengan nama berbuas merupakan tumbuhan yang hidup secara liar dan ada juga ditanam di sekitar rumah kerana kegunaan sebagai ulaman. Bahagian yang menjadi ulam adalah pucuk mudanya. Rasanya sedikit pahit dan agak rangup.

Kegunaan

Amalan memakan pucuk pokok bebuas sebagai ulam dapat menolong membuang angin dalam badan dengan cepat. Pucuk bebuas biasanya dicelur dahulu sebelum makan atau terus dimakan secara segar(mentah). Pucuk bebuas yang direbus dan diminum airnya boleh mencegah masalah kecacingan dan ia juga dapat menambah air susu badan bagi ibu yang menyusukan bayinya. Ada juga yang mengatakan bahawa pucuk bebuas dapat meningkatkan tenaga bagi kaum lelaki.

Friday, February 5, 2010

Mahogany @ Sky Fruit

Deretan pokok mahogany yang menghiasi sebatang jalanraya di Langkawi. Mahogany lebih dikenali dengan nama buah tunjuk langit oleh penduduk tempatan.

Inilah rupa buah mahogany atau sky fruit yang sentiasa menunjuk ke arah langit


Nama Botani : Swietenia macrophylla
Famili : Meliaceae
Nama Lain : Sky fruit, buah tunjuk langit

Pengenalan
Pokok mahogany atau sky fruit merupakan tumbuhan yang hidup liar di kawasan hutan hujan tropika yang bersuhu kering dan lembap seperti di Amerika Selatan, India Barat, Indonesia, Fiji, Honduras, Kepulauan Solomon dan Malaysia. Mahogany telah terkenal sejak sekian lama kerana kayunya yang bermutu tinggi di pasaran dunia. Di Malaysia, pokok banyak ditanam sebagai tanaman landskap taman dan pokok penghias/teduhan di tepi jalanraya atau lebuhraya.

Kegunaan

Selain daripada kayunya yang bermutu tinggi, pokok mahogany juga mengeluarkan buah yang mempunyai khasiat yang sukar diperolehi dari mana-mana tumbuhan herba di seluruh dunia. Buah mahogany lebih dikenali dengan nama sky fruit atau buah tunjuk langit di kalangan penduduk Malaysia. Buah mahogany mengandungi tiga komposit aktif utama yang tinggi iaitu flavonoids, saponins dan bitter alkaloid. Ia juga mengandungi protein, mineral, pelbagai vitamin, karbohidrat dan sebagainya.yang dapat mengekalkan tahap kesihatan tubuh badan dan meningkatkan tenaga keseluruhan badan manusia.

Kajian oleh pakar mendapati biji dari buah mahogany mengandungi khasiat semulajadi yang boleh dijadikan penawar bagi membantu dan meningkatkan sistem pengedaran darah di dalam tubuh manusia.

Flavonoids berupaya meningkatkan taraf kesihatan manusia. Ia juga terdapat di dalam ginkgo biloba dan tongkat ali. Bahan flavonoids yang tinggi di dalam buah mahogany mengandungi bahan enzim semulajadi yang dapat merangsang pembukaan pembuluh darah bagi melancarkan perjalanan darah ke seluruh badan serta membekalkan nutrisi dan oksigen lalu bertindak sebagai enzim anti-oksida.

Saponins merupakan enzim semulajadi yang membantu melancarkan perjalanan darah ke seluruh tubuh manusia. Saponins di dalam buah mahogany dapat mengurangkan lemak dan kolesterol pada dinding saluran darah bagi melancarkan perjalanan darah. Ia membantu menguatkan fungsi jantung di mana peningkatan sistem imuniti dan pengurangan tahap pembekuan gula dalam darah akan berlaku.

Bitter alkaloids yang terkandung dalam buah mahogany adalah unsur organik yang mempunyai sifat perubatan semulajadi. Rasa buah mahogany sangat pahit sekiranya dimakan begitu sahaja disebabkan oleh kandungan bitter alkaloids yang tinggi. Ini akan membuatkan darah di dalam badan terasa pahit dan ia membantutkan pertumbuhan pelbagai jenis virus dan bakteria yang menjadi punca utama kepada pelbagai jenis penyakit. Ia akan membantu pembinaan secara matang sel-sel darah putih di dalam tubuh manusia untuk memperkukuhkan sistem imunisasi tubuh badan bagi menghalang dari serangan organisma-organisma yang tidak baik.

Fungsi-fungsi utama flavonoids adalah mengurangkan tahap gula dalam darah, mengimbangi kandungan gula dalam darah, memperbaiki kelancaran peredaran darah, menyingkirkan redikal bebas dalam tubuh, memperbesarkan dan menguatkan keanjalan saluran darah, mengurangkan kandungan kolestrol dalam darah.

Fungsi-fungsi utama saponins pula ialah mempertingkatkan imuniti, merangsangkan perembesan insulin dari pancreas, mempertingkatkan fungsi pembinaan darah, menangani kekejangan otot dalam saluran pernafasan, melancarkan sistem saluran pernafasan, mempertingkatkan daya penghasilan sperma bagi lelaki, memperbaiki sistem peredaran darah, detoksifikasi, mencegah keracunan, menenangkan fikiran, menghilangkan kelesuan minda, melambatkan proses penuaan (awet muda) dan menguatkan hati.

Kandungan nutrisi yang terdapat dalam biji buah mahogany adalah protein, vitamin B1, vitamin A, vitamin D, vitamin E, vitamin B6, vitamin B3, zat besi, asid folik, kabohidrat, serat(fiber), potassium, kalsium, magnesium dan sodium.

Thursday, February 4, 2010

Nenas Batu

Pokok nenas batu

Buah nenas batu yang menyamai nenas biasa tetapi saiznya lebih kecil dengan tangkai buah yang panjang


Pengenalan
Nenas batu dipercayai berasal dari timur tengah. Pokok nenas batu hampir sama dengan nenas biasa tetapi daunnya lebih kecil dan tirus. Pokoknya juga jauh lebih kecil daripada nenas biasa. Buah nenas batu mempunyai ciri dan bentuk yang serupa dengan nenas biasa cuma ia bersaiz kecil dan bertangkai panjang.

Kegunaan

Nenas batu boleh menolong mengecutkan rahim bagi wanita lepas bersalin dengan cara mengamalkan pengambilan seminggu sekali. Ia juga berfungsi sebagai perancang keluarga iaitu dengan cara meminum air rendaman buah nenas batu selama tempoh ingin menjarakkan kelahiran anak. Buah nenas batu boleh membantu untuk melawaskan kencing, melancarkan pembuangan angin. Ia juga dipercayai dapat menghancurkan batu karang bagi penghidap penyakit batu karang.

Untuk mendapatkan khasiat nenas batu ini kita hendak membasuh buah tersebut sehingga bersih, kemudian rendam ke dalam jag yang berisi air panas. Biarkan selama satu jam sehingga buah nenas batu itu tenggelam. Setelah buah tersebut tenggelam, keluarkannya dari jag dan minum air rendaman buah tersebut. Air rendaman tersebut boleh digunakan sehingga 3 hari. Nenas batu yang telah direndam tadi boleh digunakan semula dengan menjemurnya sehingga kering di bawah sinaran cahaya matahari. Kelopak buah nenas batu yang kering akan tertutup bila direndam dan berkembang apabila dijemur. Sekiranya kelopak buah nenas batu sudah tidak mampu berkembang apabila dijemur, menandakan khasiatnya telah tiada. Biasanya nenas batu boleh digunakan sehingga setahun atau lebih.

Jarak Minyak

Pokok jarak minyak

Nama Botani : Ricinus Communis
Famili : Euphorbiaceae
Nama Lain : Castor bean, jarak berumah, jarak besar, castor oil plant, plama Christi, koli, moy bean.

Pengenalan

Pokok jarak minyak biasanya tumbuh liar dan ada juga yang ditanam sebagai pokok hiasan kerana bentuk pokok yang menarik dan daunnya cantik. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 5m. Daunnya mempunyai lapan jejari yang membentuk seakan bintang dengan tangkai daun yang panjang dan warna daun berbeza mengikut varieti. Bahagian di bawah batang pokoknya berwarna keputihan. Sebahagian dahan dan ranting mempunyai warna kemerahan. Tumbuhan ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun. Buahnya berwarna hijau, mempunyai bulu dan berubah menjadi warna coklat apabila kering. Bijinya tersimpan dalam kapsul dan apabila telah matang, kulit buah akan terbuka untuk menyebarkan biji benihnya.

Kegunaan

Keseluruhan pokok jarak minyak ini boleh memudaratkan dan menimbulkan kesan alahan kepada individu yang sensitif. Bahagian yang paling bertoksik pada pokok ini ialah bijinya kerana ia mengandungi fitotoksin(toksalbumin) ricin dan alkaloid ricinine.

Pokok jarak minyak ini bertoksik terhadap manusia dan haiwan. Simptom akibat keracunan adalah sakit perut yang kuat, rasa terbakar di mulut dan tekak, rasa loya, muntah, pemecahan sel darah merah, kegagalan buah pinggang dan cirit birit selepas beberapa jam termakan mana-mana bahagian pokok jarak minyak. Selepas beberapa hari gejala seperti terdehidrat, kerap kencing dan penurunan tekanan darah akan dirasai. Dalam tempoh 3-5 hari, sesiapa yang keracunan akan menhadapi saat kritikal iaitu kematian atau kembali pulih seperti sediakala. 1mg ricin sudah cukup untuk membawa maut kepada orang dewasa dan sebiji buah jarak minyak boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

Biji pokok jarak minyak ini mengeluarkan minyak yang dikenali sebagai minyak jarak yang berfungsi sebagai julap. Minyak jarak boleh digunakan untuk mengatasi masalah sembelit. Caranya, minum minyak jarak sebanyak 4 ml(2 kali sehari) tetapi wanita hamil dan dalam haid dilarang mengamalkannya. Minyak jarak juga digunakan untuk merawat luka.

Minyak jarak digunakan dalam perubatan untuk merawat sembelit dan juga digunakan sebelum sesuatu pembedahan yang melibatkan usus dilakukan. Minyak jarak itu sendiri tidak merbahaya kerana toksin yang terdapat di dalam biji tersebut tidak larut dalam minyak.

Wednesday, February 3, 2010

Kayu Manis

Pokok kayu manis yang masih kecil

Nama Saintifik : Cinnamomum zeylanicum
Famili : Lauraceae
Nama Lain : Cinnamon, ceylon cinnamon, gui, gui zhi, cassia, sweet wood

Pengenalan

Pokok kayu manis merupakan pokok dari keluarga lauraceae. Bentuk pokok kayu manis adalah hampir sama dengan pokok teja. Daunnya menyamai daun teja dan pucuknya berwarna merah terang. Bunga kayu manis bersaiz kecil, berwarna putih dan buahnya berwarna ungu. Ketinggian pokok kayu manis boleh mencapai sehingga 10m.

Kegunaan

Kayu manis ditanam untuk mendapatkan kulitnya. Kulit pokok ini dikeringkan dan akan dijadikan sebagai bahan rempah dalam masakan yang dikenali sebagai kulit kayu manis. Kayu manis yang digunakan dalam masakan boleh mengelakkan makanan dari cepat menjadi basi.

Minyak pati dari kulit kayu manis mengandungi cinnamaldehyd dan eugenol yang digunakan dalam perubatan aroma terapi. Ia digunakan untuk menghasilkan kesan yang menenangkan jiwa. Amalan pengambilan setengah sudu serbuk kayu manis setiap hari dapat menurunkan paras gula untuk pesakit diabetis. Kadar penurunan gula juga boleh dicapai dengan merendam sepotong kulit kayu manis ke dalam sebarang minuman terutamanya teh.

Kayu manis juga digunakan untuk melawaskan pembuangan najis, penawar cirit birit dan penahan sakit. Ia juga merupakan anti bakteria semula jadi yang dapat mencegah pembentukan plak gigi dan kerosakan gigi. Kayu manis juga dapat melegakan senak perut. Ia juga boleh menghilangkan rasa mual dan loya pada wanita hamil.

Serai Wangi

Pokok serai wangi yang mempunyai bunga



Nama Saintifik: Cymbopogon nardus
Famili: Gramineae

Pengenalan

Serai wangi merupakan tumbuhan daripada keluarga rumput iaitu gramineae. Ketinggian pokok serai wangi adalah diantara 1-1.5 meter. Daunnya berwarna hijau muda, tirus, hujungnya runcing, kasar dengan urat yang selari dan panjangnya mencapai sehingga 80cm, manakala lebarnya diantara 2-5 cm. Ia mempunyai aroma yang wangi dan lebih kuat berbanding serai biasa untuk masakan. Tidak seperti serai untuk masakan, serai wangi mampu mengeluarkan bunga apabila telah matang, iaitu melebihi lapan bulan selepas ianya ditanam.

Kegunaan

Serai wangi telah lama digunakan untuk menghasilkan minyak urut kerana keberkesanannya untuk mengatasi masalah kebas, lenguh, gigitan serangga dan kembung perut.

Daun serai yang dibalut dengan besi atau batu tungku yang dipanaskan di atas api digunakan untuk bertungku. Ia menolong untuk merawat masalah urat saraf, lenguh otot atau sendi, mengecutkan rahim yang bengkak, memecahkan lendir, darah dan angin. Daun serai bersama jintan hitam yang dilumatkan sehingga menjadi pes, kemudian ditampal pada dahi boleh mengurangkan dan melegakan sakit kepala semasa dalam pantang.

Serai wangi sering digunakan dalam rawatan tradisional selepas bersalin dan ia juga membantu untuk melegakan pening kepala. Air rebusan serai wangi, gandarusa dan daun sirih digunakan sebagai mandian atau dibasahkan pada kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Daun serai wangi yang kering boleh digunakan untuk penghalau nyamuk atau serangga. Terdapat banyak produk penghalau nyamuk di pasaran yang menggunakan serai wangi sebagai bahan utamanya.

Serai wangi juga ditanam secara komersial untuk penghasilan minyak pati yang dikenali sebagai citronella oil untuk pasaran antarabangsa. Citronela oil mengandungi sitronelal dan geraniol yang digunakan sebagai bahan asas pembuatan ester-ester seperti hidroksi sitronelal, genaniol asetat dan menthol sintetik. Ia mempunyai sifat yang lebih stabil dan menjadi bahan penting dalam pengeluaran produk berasas wangian. Hidroksi sitronelal pula penting untuk pembuatan produk jenis sabun dan minyak wangi. Menthol adalah bahan asas untuk ubat batuk, ubat gigi dan pencuci mulut.


Segelintir masyarakat Melayu mempercayai pokok serai wangi yang telah mengeluarkan bunga akan menghasilkan batu permata. Pada mereka batu tersebut mempunyai beberapa khasiat dalam bidang perubatan dan mistik. Secara jujur saya sukar untuk mempercayainya kerana bagaimana pokok serai boleh menghasilkan batu yang mempunyai 'hikmat' tertentu. Pokok serai yang saya ambil foto (foto di atas) juga telah berbunga. Apakah ada batu hikmat dalam akarnya? Tiada siapa yang berminat untuk mencarinya kerana mereka yakin dengan kuasa Allah(swt) dan tidak pada batu.

Tuesday, February 2, 2010

Buah Keras

Pokok buah keras

Buah keras yang segar

Nama Botani : Aleurites moluccanus
Famili : Euphorbiaceae
Nama Lain : Candlenut, Candleberry, Indian walnut, Varnish tree, Kemiri (Indonesia)

Pengenalan

Ketinggian pokok buah keras mencapai sehingga 25 meter. Daunnya sederhana dan berbentuk bujur, berwarna hijau muda dan terpecah kepada tiga bahagian. Buah keras mempunyai kulit yang keras dan ia boleh dijadikan lilin.

Kegunaan

Buah keras merupakan salah satu bahan utama dalam masakan di Malaysia. Ia digunakan sebagai perasa dan berfungsi sebagai pemekat kuah. Ia biasanya ditumbuk atau dikisar sehingga menjadi pes dan dicampur bersama rempah lain untuk memekat dan menambahkan kesedapan masakan jenis kari. Buah keras perlu dimasak sebelum dimakan, kerana ia mengandungi toksik semasa mentah. Rasa dan tekstur buah keras adalah hampir sama dengan kacang macadamia.

Di Hawaii, buah keras dipanggang dan dicampurkan dengan pes bergaram untuk dijadikan perasa yang dikenali sebagai inamona. Pokok buah keras telah digunakan sebagai herba perubatan tradisional. Minyaknya boleh digunakan sebagai perangsang rambut. Isirungnya boleh digunakan sebagai ubat julap Masyarakat Jepun menggunakan kulit batang untuk merawat tumor. Di Sumatera, biji buah keras ditumbuk dan dibakar kemudian disapu pada perut untuk merawat cirit-birit. Kini pokok buah keras ditanam untuk mendapatkan minyaknya.