VIP Dedaun Alam

Sunday, January 31, 2010

Bara Api Tiga Selonggok

Pokok bara api tiga selonggok


Pernahkah pembaca mendengar nama dan tahu tentang pokok ini? Nama pokok ini agak unik. Ianya diberi nama bara api tiga selonggok. Saya sendiri kurang pasti tentang pokok ini keranatiada sumber rujukan mengenainya. Disebabkan namanya menarik dan unik, saya masukkan dalam blog ini.

Lempoyang

Pokok lempoyang
Nama botani: Zingiber zerumbit.
Famili: Zingeberaceae

Pengenalan
Lempoyang merupakan tumbuhan dari keluarga zingerberaceae. Ia biasa tumbuh liar tapi banyak juga yang ditanam di sekitar rumah dan kebun kerana khasiatnya dalam bidang perubatan herba. Ia mempunyai bunga berbentuk kon berwarna merah dan mampu bertahan lama.

Kegunaan
Lempoyang merupakan herba utama dan dicampur dengan daun-daun herba lain untuk dijadikan sebagai rebusan mandian herba wanita lepas bersalin. Rebusan daun lempoyang terbukti dapat memberi kesegaran dalaman dan luaran kepada golongan wanita lepas bersalin. Lempoyang juga boleh membantu mengatasi masalah kurang selera makan. Rizom muda lempoyang dimakan secara berteusan sebagai ulam boleh digunakan untuk menambah selera makan. Rizom muda yang dimakan mentah baik untuk wanita yang ingin mengekalkan awet muda. Air rebusan rizom muda lempoyang membantu melegakan atau mengubati sakit perut.
Info tambahan : Mengikut kajian yang dibuat oleh saintis Institut Biosains UPM, lempoyang mempunyai kemampuan rawatan yang sama seperti ubat antikanser komersial selain tidak membunuh sel-sel normal manusia.

Setawar Halia

Pokok setawar halia

Nama Botani : Costus speciosus (koenig) Smith
Famili: Zingerberaceae

Pengenalan

Setawar halia biasa dijumpai tumbuh liar dan ada juga yang ditanam ditaman kerana bunganya yang cantik. Ia mencapai ketinggian di antara 1-3m. Tumbuhan ini mempunyai rizom yang menyerupai rizom halia. Ia membiak melalui biji benih dan pecahan rizom. Bunganya berwarna putih dengan tangkai bunganya berwarna merah.

Kegunaan

Rizom setawar halia dijadikan penawar untuk penyakit seperti kusta, penyakit kulit, demam, asma, bronkitis, anaemia, sembelit dan boleh merawat luka terbakar. Ia juga digunakan untuk menghilangkan rasa loya, pening dan muntah. Setawar halia juga dipercayai dapat meningkatkan tenaga batin lelaki. Sulur pokok ini yang masih muda dimasak sebagai sup dan dimakan.

Tulang Daing

Pokok tulang daing


Nama Botani : Millettia atropurpurea
Nama Lain : Purple milletia, Kedang belum
Famili : Fabaceae

Pokok Tulang Daing adalah satu spesies tumbuhan yang berasal dari Myanmar, Thailand, bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Singapura. Pokok Tulang Daing biasanya tumbuh di kawasan hutan tanah pamah dan mampu hidup subur di kawasan yang tidak subur. Pokok Tulang Daing tumbuh sehingga 30 meter. Buah tulang daing berwarna perang dalam bentuk lenggai yang tebal dan leper. Biasanya setiap lenggai buah mempunyai 1 hingga 4 biji.


Pokok ini biasa digunakan sebagai tanaman hiasan di tepi jalan raya. Kayunya digunakan untuk pembinaan sederhana, perabot, hiasan dalaman dan kayu lantai.

Friday, January 29, 2010

Gorek

Pokok gorek


Nama Saintifik: Caesalpinia crista
Famili: Caesalpiniaceae

Pengenalan


Gorek merupakan sejenis tumbuhan jenis merayap yang tumbuh liar. Biarpun ianya dari jenis tumbuhan merayap, batang agak keras dan panjang batangnya lebih kurang 10 meter.


Kegunaan


Buahnya yang agak keras dan bulat biasanya dijadikan buah congkak pada zaman dahulu. Air rebusan bijinya juga boleh digunakan untuk merawat darah tinggi, kencing manis. Ianya juga boleh mengubati buasir dengan cara menggoreng bijinya tanpa minyak dan ambil isinya. Kemudian isinya ditumbuk sehingga hancur. Guna sudu teh untuk ambil sedikit biji gorek yang ditumbuk tadi, campur dengan air suam dan minum. Ia juga digunakan untuk merawat penyakit angin pasang dengan merebus bijinya. Pucuk muda gorek dimakan sebagai ulam. Biarpun rasa sedikit pahit namun khasiatnya sangat baik untuk kita.

Thursday, January 28, 2010

Rokam

Pokok rokam

Buah rokam yang telah masak

Rokam atau nama botaninya, flacourtia inermis termasuk dalam kategori buahan nadir Malaysia kerana sudah jarang ditemui dan tidak ramai yang mengenali pokok dan buah rokam ini. Buah rokam semasa muda berwarna hijau dan berubah menjadi merah apabila telah masak. Buah rokam rasanya masam.

Gandarusa

Pokok gandarusa yang berbatang hitam

Nama Botani : Justicia Gendarussa linn
Famili: Acanthaceae

Pengenalan

Gandarusa biasanya tumbuh liar dan berketinggian sehingga 2m.. Ia tumbuh tegak dan panjang daunnya di antara 5-20cm. Dua jenis gandarusa yang biasa dijumpai dan dibezakan oleh warna batangnya iaitu yang berwarna hitam dan hijau. Gandarusa yang berbatang hitam lebih popular digunakan sebagai herba perubatan.

Kegunaan

Pokok gandarusa biasanya digunakan untuk merawat lebam, patah tulang rheumatik dan bisul. Untuk merawat tulang patah, daunnya yang segar atau kering dikisar hingga lumat, dicampur dengan cuka kemudian ditampal pada bahagian yang patah. Pastikan tulang yang ingin dirawat berada pada posisi yang betul. Daun gandarusa yang segar direbus hingga mendidih dan airnya diminum boleh digunakan untuk merawat rheumatik. Untuk merawat lebam, daunnya dilayur di atas api sehingga layu dan ditampal pada bahagian yang lebam. Gandarusa juga dipercayai boleh digunakan untuk menurunkan panas badan, sakit kepala, mata dan telinga.

Kesidang @ Kerak Nasi

Pokok kesidang atau bunga kerak nasi

Bunga kesidang yang berwarna putih bersih dan berbau harum.


Nama Botani : Vallaris glabra
Nama Lain: Bunga kerak nasi (utara Semenanjung, bunga tikam seladang (Pantai Timur)
Famili: Apocynaceae

Pengenalan

Pokok kesidang atau bunga kerak nasi merupakan sejenis tumbuhan yang memanjang. Batangnya kecil tapi berkayu dan keras serta mudah lentur. Kulit batang dan daun kesidang mempunyai getah yang berwarna putih.
Kegunaan
Pokok ini ditanam kerana bunganya yang berbau harum dan pokoknya mudah dijaga, biasanya ia menjadi pokok pilihan untuk tanaman di pergola. Bunga kerak nasi berbentuk seperti bintang kecil-kecil berkelompok dan berwarna putih bersih. Bunga ini sangat harum baunya dan ia adalah antara bunga yang berbau harum menjadi pilihan saya. Keharuman bunga kerak nasi ini seperti daun pandan dan vanilla. Keharumannya boleh dihidu dalam lingkungan 15 m. Sekiranya kita berada menghidu aroma wangian selama lebih kurang 30 minit, tubuh kita akan terasa tenang, segar dan minda kita jadi lebih baik dan positif.

Wednesday, January 27, 2010

Putat

Pokok putat

Buah putat

Nama Botani : Barringtonia Racemosa

Pengenalan
Pokok putat biasanya ditemui tumbuh di lembah-lembah, tepi sungai dan kawasan tanah lembap. Ketinggian pokok putat mencapai sehingga 28 m. Daun putat berbentuk bujur, panjang dan tebal dengan bahagian tepi bergerigi kecil. Daun muda di bahagian pucuk berwarna merah keunguan dan apabila matang daunnya berubah menjadi hijau tua. Bunga putat mempunyai empat kelopak dan kudupnya berwarna merah keunguan atau putih mengikut jenis putat itu.

Kegunaan

Pokok putat berbuah sepanjang tahun dan buahnya yang muda boleh dimakan sebagai ulam. Pucuk putat lembut dan biasanya dibuat ulaman, kerabu atau sebagai ulaman dalam laksa. Pucuk putat yang tumbuh di tebing sungai digunakan sebagai syampu pada zaman dahulu kerana ia akan menghasilkan buih apabila diramas bersama air.

Buahnya mempunyai rasa kelat dan perlu dikopek kemudian dihiris sebelum dimakan sebagai ulam. Buah putat juga boleh digunakan untuk mencegah kegatalan kulit dan mengubati beberapa jenis penyakit kulit.

Pucuknya yang dimakan sebagai ulam adalah baik untuk kesihatan kulit, dan melancarkan perjalanan darah. Putat adalah herba yang sesuai diamalkan untuk awet muda. Buahnya yang diparut dan dijadikan jus ataupun ditampalkan pada bahagian muka boleh melicinkan kulit. Akar putat yang direbus, diminum air rebusannya dipercayai boleh mengurangkan keputihan dan boleh menyejukkan badan kerana ia mengandungi saponin.

Daun putat yang ditumbuk bersama-sama beras, dipupuk atau disapu pada bahagian yang terkena cacar air akan mempercepatkan tempoh matang cacar air dan mencegah ia merebak ke seluruh badan. Kulit pokok putat yang dikeringkan dan dibakar kemudian asap yang terhasil disedut pesakit resdung dapat mengubati resdung yang dialami.

Tulang-tulang

Pokok tulang-tulang atau tetulang


Nama Botani : Euphorbia tircalli

Pengenalan

Pokok tulang-tulang atau tetulang merupakan tumbuhan herba yang unik bentuknya kerana pokok ini hanya mempunyai batang dan ranting yang berbentuk seperti tulang atau rangka tanpa daun.
Kegunaan

Pokok tulang-tulang ini amat berkhasiat dan berkesan untuk merawat bisul, kesan bengkak dan juga kepatahan tulang. Khasiat pokok ini apa pada getah berwarna putih yang keluar apabila dipatahkan bahagian pokok yang telah matang. Untuk merawat bisul, bengkak atau patah, ranting dahannya yang segar dilayur atas api yang sederhana besar dan tekapkan ranting dahan pokok tetulang ini pada tempat yang terkena bisul, bengkak atau patah, kemudian balut menggunakan kain yang bersih.

Pokok Bisa Ular

Pokok bisa ular
Nama Botani : Sphenodesme pentandra


Pokok bisa ular merupakan tumbuhan renek yang ketinggian sekitar 2m. Batang dan ranting pokok ini mempunyai duri yang panjang dan tajam. Ia mengeluarkan bunga yang berbentuk corong. Daun pokok ini yang dilumatkan dan ditampal pada tempat yang terkena patukan ular, dapat mengurangkan sakit akibat bisa ular.

Tuesday, January 26, 2010

Jarak Bunting

Pokok jarak bunting

Nama Botani : Jatropha podagrica

Pokok jarak bunting atau nama botaninya jatropha podagrica adalah sejenis tumbuhan renek dengan ketinggian tidak melebihi 1 meter. Pokok ini agak unik kerana pangkal batangnya akan membesar seiring dengan usianya. Semakin besar bentuk seakan botol pada umbinya, semakin tua usia pokok tersebut. Pokok ini berdaun lebar dan berwarna hijau yang sekata. Ia akan mengeluarkan bunga dengan tangkai bunganya berwarna merah dan bentuknya seperti batu karang. Bunga ini akan menghasilkan buah yang berbentuk bulat dan saiznya kecil. Biji pokok jarak bunting ini bertoksik. Keseluruhan pokok ini mempunyai toksik.

Keindahan Alam

Pemandangan indah dari tepi pejabat tempat kerja. Gabungan laut, gunung, langit, awan dan binaan moden memukau mata pecinta keindahan alam.

8am. Kapal layar dan bot kebanyakan masih berlabuh.
Foto-foto ini adalah pemandangan dari pejabat tempat kerja aku sekarang. Pasti tidak ramai pekerja pejabat yang dapat menikmati keindahan alam seperti ini. Ramai yang hanya mampu memandang hutan batu di kota dan bandar.

Sunday, January 24, 2010

Jelapang @ Baluh

Jelapang yang juga dikenali sebagai baluh dan kepuk dibina untuk menyimpan padi suatu masa dahulu.


Jelapang(Kedah), baluh(Kelantan) atau kepuk adalah satu binaan penting suatu masa dahulu. Ia merupakan lambang kekayaan pemiliknya kerana sesiapa yang memiliki jelapang atau baluh ini biasanya petani yang mempunyai sawah padi yang luas. Ia seumpama memiliki kereta mewah pada zaman sekarang. Jelapang digunakan untuk meyimpan padi selepas tuaian sebelum diproses menjadi beras samada menggunakan mesin atau lesung tradisional. Kini, jelapang hanya tinggal sebagai memori zaman silam kerana kebanyakannya terbiar atau dijadikan stor disebabkan penggunaan jentera penuai. Padi yang dituai menggunakan jentera penuai akan terus dihantar ke kilang. Penggunaan jelapang tidak lagi sesuai dengan kemajuan teknologi dan satu masa nanti ianya akan tinggal sebagai bahan sejarah.

Lantana Camara

Pokok lantana camara atau bunga tahi ayam yang mempunyai bunga yang cantik dan berwarna-warni.

Nama Tempatan : Bunga Tahi Ayam
Nama Botani : Lantana camara
Nama Lain : Shrub verbena, Camara vulgaris, angel lips, big sage, blacksage, cambara de espinto (Brazil), cuasquito (Nicaragua), flowered sage (Jamaica), lantana, lantana wildtype, largeleaf lantana (USA), latora moa, pha-ka-krong, prickly lantana, shrub verbean, supirrosa, Wandelroeschen, wild sage
Famili : Verbenaceae

Pengenalan

Bunga tahi ayam merupakan sejenis pokok yang tumbuh meliar dan dipercayai berasal dari Amerika. Kini pokok ini telah banyak ditanam sebagai tanaman landskap. Pokok ini merupakan sejenis tumbuhan renek yang ketinggian mencapai sehingga 2m. Bunga tahi ayam mengeluarkan bau yang busuk tetapi kuntuman bunganya yang cantik dan mempunyai pelbagai warna terang menyebabkan ianya masih menjadi pilihan peminat bunga dan landskap. Variasi warna bunga tahi ayam adalah kuning, oren, pink, putih, ungu dan kombinasi antara warna-warna tersebut. Kehadiran minyak pati iaitu alfafelandrena yang mudah meruap menyebabkan bunga tahi ayam berbau kuat.

Kegunaan

Pokok bunga ini beracun terhadap haiwan yang memakannya. Pokok bunga tahi ayam ini boleh merawat luka dan ulser dengan menumbuk daunnya lalu disapukan pada bahagian yang sakit untuk menhilangkan bengkak. Air rendamannya mampu mengubati penyakit sengal tulang dan demam selesema.

Pokok tahi ayam ini mempunyai khasiat dari aspek perubatan herba kerana ia mempunyai sifat antiseptik yang sesuai untuk merawat luka-luka pada badan. Sifat antiseptik terkandung pada lendir yang terhasil dari ramasan daun-daunnya yang segar. Daun-daun yang diramaskan ditampal pada luka yang kita alami, ia mampu mengelakkan jangkitan kuman, menghentikan pengaliran darah dan luka akan cepat sembuh.

Daun-daun pokok bunga tahi ayam ini juga sesuai untuk merawat bengkak ataupun terseliuh pada anggota badan tertentu dengan cara meramas beberapa helai daun pokok ini dan pupukkan pada tempat yang bengkak atau terseliuh, kemudian balut dengan sehelai kain dan biarkannya sehingga rasa bengkak itu hilang.

Thursday, January 21, 2010

Kunyit

Pokok kunyit

Nama Botani : Curcuma domestica
Nama Lain: Kurkum (Arab), jiang huang, yu jin(China), Indian Saffron, kunir(Indonesia), kondin, temu kuning, ukon.
Famili: Zingerberaceae

Pengenalan

Kunyit adalah tumbuhan herba yang menjadi antara bahan utama dalam masakan masyarakat Asia dan kunyit telah digunakan sejak turun temurun lagi. Kunyit hidup subur dikawasan lapang dan terdedah kepada cahaya matahari. Ketinggian tumbuhan ini melebihi satu meter. Rizom kunyit berwarna kuning, sedikit bersisik, berbentuk memanjang dan berjejari. Daunnya licin, berwarna hijau, berbentuk bujur dan meruncing dihujung, berbau harum serta mempunyai tangkai yang panjang. Pokok ini mengeluarkan bunga berwarna kuning yang terdapat di celah-celah daun muda.Isi kunyit selalunya terdiri dari ibu kunyit yang dikelilingi oleh cabang-cabang.

Kegunaan

Bagi masyarakat Melayu, kunyit juga diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di Thailand kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung. Dalam ilmu perubatan Hindu, kunyit disyorkan sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, dan depilatori.

Kunyit mempunyai sifat anti-radang,antioksida,anti kanser, pelindung hati. Kandungan kimia kunyit terdiri daripada minyak atsiri, sikloiserin, mirsen, metil farbinol, d.kamper, dan kurkurmin.

Dalam perubatan tradisional melayu kunyit digunakan untuk mengubat tekanan darah tinggi,demam kuning, cirit-birit, meningkatkan selera makan, mengubat sakit perut, sembelit, kencing berdarah, radang ginjal dan menyegarkan badan. Cara penggunakan untuk penyakit diatas ialah dengan cara menumbuk kunyit hingga halus, campurkan air dan tapis hampasnya dan diminum sekali sehari selepas makan.

Kunyit juga banyak digunakan sebagai bahan ubatan dalam kosmetik keluaran tempatan. Ia juga dijadikan rawatan selepas bersalin. Biasanya rizom kunyit akan dimakan bersama nasi sebagai ulam selama 40 hari pantang untuk mengembalikan kecergasan badan dan menyembuhkan luka dalaman.

Kunyit yang dikisar bersama pegaga biasa dimakan seminggu sebelum kedatangan haid dan ini dikatakan dapat menghilangkan masalah keputihan dan vagina yang terlalu berair dan dapat meningkatkan keintiman hubungan suami isteri. Kunyit juga dikatakan dapat menjadikan penggemarnya awet muda.

Beberapa kajian yang telah dibuat menunjukkan kunyit boleh membantu proses penghadaman dan mengurangkan 'gas' atau angin dalam perut. Ianya juga boleh digunakan sebagai tonik bila dicampurkan dengan manisan dan minyak bijan untuk membantu meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan elok digunakan dalam keadaan anemia atau kekurangan darah merah. Kunyit yang dicampurkan air boleh digunakan untuk merawat gatal gatal, kudis, sakit sakit lutut, sendi dan ruam.

Daun kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma dan warna kuning kepada masakan seperti rendang, gulai dan sebagai pembalut ikan atau daging yang dibakar. Dalam perubatan, ia digunakan sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser.

Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka di dalam badan, mengecutkan peranakan bagi wanita yang baru bersalin, membersihkan dan menghalang pembekuan darah, melancarkan peredaran darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selsema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, terseliuh dan kudis.

Sebagai ubat luar, kunyit dicampurkan dengan minyak kelapa dipakai sebagai ubat luka. Pada penyakit cacar dan cacar air, satu lapisan serbuk kunyit akan memudahkan proses pengeringan luka. Kunyit juga sering dipakai sebagai ubat otorrhoea (penyakit telinga bernanah).

Kunyit juga digunakan untuk menyembuh radang selaput hidung yang menyebabkan penyumbatan hidung atau beberapa gejala flu yang lain. Kunyit yang disapu pada hidung bayi dapat melegakan hidung tersumbat akibat selesema.

Air rebusan kunyit diketahui sebagai ubat cirit-birit dan penambah selera makan. Untuk penyakit bronchitis dan batuk, air rebusan kunyit, jahe dan gula merah dapat mengubatinya sekiranya diminum secara teratur. Campuran kunyit dan kayu manis ternyata berpeluang mengubati penyakit diabetes. Ramuan tersebut dapat melipatgandakan kebolehan kerja insulin untuk menguraikan glukosa. Kurkumin yang memberi warna kuning pada tanaman ini berperanan sebagai antibakteria dalam proses penyembuhan luka.

Wednesday, January 20, 2010

Kisaran

Pernah anda melihat batu seperti dalam foto di bawah ini? Pasti ada yang tahu tentang batu dan apakah fungsi batu yang mempunyai lubang ini tetapi ramai yang langsung tidak pernah melihat atau tahu mengenainya. Apakah ianya batu dari zaman paleolitik?

Batu berbentuk bulat dan mempunyai lubang.

Pandangan sisi

Ini pula pasangan batu tersebut. Ada alur di sekelilingnya dan mempunyai alur keluar di bahagian muncung hadapan.

Pandangan dari atas. Perhatikan alur yang berbentuk lingkaran.

Beginilah keadaan batu tersebut bila ditemukan dengan pasangannya. Apakah nama batu unik ini dan fungsi ia dibuat sebegitu rupa? Alatan tradsional ini dikenali dengan nama kisaran. Fungsinya sebagai alat pengisar pada zaman sebelum wujudnya mesin pengisar elektrik dan tepung.

Bagaimana Kisaran Berfungsi?

Kisaran merupakan batu yang dibentuk supaya berfungsi sebagai alat pengisar. Biasanya dua bahan utama yang dkisar menggunakan kisaran ini iaitu beras dan beras pulut. Kedua-dua bahan ini dikisar sehingga menjadi tepung untuk membuat kuih-muih dan makanan tradisional. Beras atau beras pulut yang ingin dikisar diletakkan di bahagian bertanda (A) dan seterusnya batu bulat pada bahagian atas akan diputar perlahan-lahan. Bahan tersebut akan masuk melalui lubang bertanda (B) dan seterusnya akan hancur setelah berlaku geseran antara dua batu yang berat ini. Dianggarkan berat batu bahagian atas lebih kurang 10kg dan batu bahagian bawah mencecah 25kg. Bahan yang dikisar akan keluar ke dalam alur yang bertanda (C) dan seterusnya ke arah alurpada muncung kisaran yang bertanda (D). Proses ini akan dibuat berulang kali sehingga beras atau beras pulut berubah menjadi tepung kerana dengan sekali kisaran tidak akan menghasilkan tepung.

Kisaran ini merupakan alatan penting pada zaman sebelum adanya bekalan elektrik, pengisar dan tepung dalam bungkusan. Kini ianya makin dilupai dan ada yang sudah tidak mengetahui tentang kewujudan kisaran ini.

Monday, January 18, 2010

Mas Cotek

Pokok mas cotek betina
Nama Botani : Ficus deltoidea
Famili : Moraceae
Nama Lain : Emas Secotek, Sempit-sempit, Telinga kera, Ara jelatih, Serapat angin
Pengenalan
Mas cotek adalah sejenis tumbuhan epifit. Ia juga mampu hidup diatas tanah seperti tumbuhan lain juga. Nama mas cotek diberi disebabkan oleh bintik-bintik halus berwarna keemasan yang terdapat pada permukaan atas setiap helaian daun pokok ini. Mas cotek ada 2 jenis iaitu pokok jantan yang berdaun lebih kecil dan agak runcing berbanding pokok betina yang mempunyai daun yang lebar. Ia biasa dijumpai hidup pada ketinggian lebih kurang 6m dari permukaan tanah dengan menumpang pokok lain. Di Malaysia, saintis telah mengenalpasti terdapat lebih daripada 80 spesis tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Ficus deltioidea.

Kegunaan

Mas cotek mempunyai khasiat perubatan tersendiri dan dapat merawat pelbagai jenis penyakit. Herba mas cotek ini sangat baik untuk penjagaan kesihatan keluarga jika diamalkan meminum air rebusannya. Gabungan 2-3 helai daun mas cotek jantan dan betina yang dikeringkan, direbus dengan 3 cawan air sehingga tinggal secawan, kemudian air rebusannya diminum apabila suam boleh menyembuh dan membetulkan kerosakan urat saraf. Ia juga boleh digunakan untuk mengembalikan rahim kepada kedudukan asal dan dapat mengecutkan rahim bagi wanita yang lepas bersalin. Ia juga boleh digunakan untuk merawat paru-paru berair. Buah mas cotek juga boleh dimakan untuk menyihatkan badan.

Sunday, January 17, 2010

Bubur Asyura Langkawi

10 minit selepas proses memasak bubur asyura

Bubur asyura semakin pekat setelah dimasak dalam tempoh sejam. Penggunaan dapur gas menggantikan kayu api mempercepatkan proses memasak bubur asyura. Lebih efisyen dan tanpa asap yang memedihkan mata.

Proses mengacau perlu dibuat tanpa henti dengan memerlukan tenaga sekurang-kurangnya dua orang. Ini untuk memastikan asyura tidak berketul-ketul dan berkerak.

2 jam 15 minit, bubur asyura telah boleh diangkat dan dimasukkan ke bekas yang lain.

Bubur asyura yang diletak dalam dulang besar atau 'neka' dalam loghat Kelantan.

Warnanya berubah setelah menyejuk.

Close up bahan-bahan yang ada dalam bubur asyura Langkawi.
Bulan Muharram telah sinonim dengan 'asyura'. Di Malaysia terdapat pelbagai versi bubur asyura. Asyura yang dipapar dalam foto di atas adalah bubur asyura versi utara atau lebih tepat lagi versi Langkawi.
Antara bahan utama dalam proses membuat bubur asyura ini adalah tepung beras, santan, gula merah dan gula pasir. Manakala bahan pilihan yang dimasukkan untuk menambahkan rasa ialah pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, keledek, dan ubi 'gadung'(ubi warna ungu dan tidak bertoksik). Jenis kekacang seperti kacang kuda, kacang merah dan kacang tanah. Jagung merupakan bahan yang 'mesti ada' dalam bubur asyura versi utara ini. Buahan pula biasanya yang dimasukkan adalah pisang, nangka, durian dan ianya mengikut citarasa pembuat bubur itu sendiri.

Jeruju

Pokok jeruju

Nama botani : Acanthus ebracteatus
Famili : Acanthaceae
Pengenalan
Jeruju merupakan sejenis tumbuhan semak yang banyak terdapat di persekitaran tebing atau muara sungai yang mengalami air pasang dan surut dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5m. Daunnya berbentuk daun tunggal dengan bahagian hadapannya bersilang dan mempunyai duri dibahagian tepi daun. Jeruju boleh dibiakkan melalui keratan batang dan biji benih.
Kegunaan
Air rebusan akar dan batang jeruju ini boleh diminum untuk merawat pelbagai penyakit kulit dan mengekalkan kecergasan badan. Air daripada rebusan akarnya boleh diminum untuk merawat demam panas yang yang agak teruk.
Air hasil rebusan biji jeruju diminum untuk merawat batuk dan bisul. Bijinya juga boleh direbus bersama bunga belimbing, tebu hitam, kayu manis dan gula batu dan diminum sebagai ubat batuk. Keseluruhan bahagian pokok ini juga boleh dibakar dan abunya dicampur air sebagai alkali bagi menghasilkan sabun.

Friday, January 15, 2010

Ubi Sarek

Pokok ubi sarek yang masih kecil

Nama Botani : Amorphophallus Campanulatus
Famili : Tidak diperolehi
Nama lain : Ubi kekek, ubi ular

Pengenalan

Ubi sarek atau ubi kekek adalah sejenis keladi. Ia juga boleh didapati tumbuh liar dan ditanam di India, Indo-China, Filifina dan Thailand. Ubi sarek biasanya tumbuh liar di Malaysia dan ia jarang dimakan sebab mengandungi kalsium oksalat yang tinggi dan ubi ini sangat gatal. Pokok adalah jenis pokok bermusim, iasanya ia akan tumbuh selepas musim hujan dan akan mati bila sampai masanya. Ia hidup subur di kawasan lembab dan redup. Ketinggian pokok in boleh mencapai sehingga 1.5m. Terdapat lebih 80spesis Amorphopallus di seluruh negara tetapi hanya dua spesis yang mempunyai kepentingan sebagai makanan. Di Selangor ia dikenali dengan nama ubi ular kerana batangnya mempunyai cork seperti ular.

Kegunaan

Ubi dan batang pokok ini boleh dijadikan makanan yang lazat melalui penyediaan tertentu. Di Kelantan pada zaman dahulu, ubi sarek dan digunakan sebagai campuran dalam bubur asyura tapi kini tidak lagi mnjadi bahan yang dicampur dalam pembuatan bubur asyura. Ubi sarek juga boleh dibuat pengat, direbus dan sebagainya. Batangnya pula boleh dibuat masak lemak.

Cecair ubi sarek liar ini dijadikan sebahagian daripada campuran racun sumpitan oleh kaum Orang Asli di Perak. Ubi sarek boleh di makan walaupun gatal dan mungkin beracun. Ubi ini direbus beberapa lama, ditumbuk halus, dikeringkan dan dimasak. Cara menghilangkan racun adalah dengan merendam ubi yang telah direbus dengan air mengalir sebelum ditumbuk dan dimasak sekali lagi sebelum dimakan.

Amorphopallus companulatus yang terdapat di kawasan tropika banyak di gunakan di India dan jawa sebagai makanan. Orang China menggunakan ubi ini menjadi tepung untuk dibuat makanan seperti tauhu. Orang Jepun pula merebus ubi ini untuk menghasilkan makanan seperti mihun. Sesetengah orang menjadikan ubi ini sebagai makanan ikan. Selain dijadikan bahan makanan dan racun sumpitan, spesis ubi sarek yang tertentu juga digunakan sebagai ubatan tradisional sebagai ubat pupuk dan ubat untuk dimakan.

Serai

Pokok serai

Nama Botani : Cymbopogon citratus (D.C) Stapf
Famili : Gramineae
Pengenalan
Pokok serai adalah sejenis tumbuhan yang hidup meliar. Serai kini telah ditanam disekitar rumah dan kebun kerana kegunaannya dalam bidang masakan dan perubatan. Serai tumbuh secara berumpun (rujuk foto). Masyarakat Melayu sering menggunakan serai sebagai penambah perisa dalam makanan dan masakan. Bagi tujuan perubatan tradisional, tiga bahagian utama yang boleh digunakan ialah akar, daun dan batangnya.
Kegunaan

Secara tradisi, serai digunakan untuk mengubati sakit kepala, sengal-sengal (rheumatism), sakit perut dan masalah membuang air kecil. Untuk mengubati sakit kepala dan sengal-sengal, daun serai ditumbuk lumat dan diletakkan di dahi (bagi sakit kepala) atau bahagian-bahagian tubuh yang terasa sengal. Bagi sakit perut dan masalah membuang air kecil pula, daun dan akar serai direbus dan diminum air rebusan tersebut. Selain daripada itu, batang serai pula boleh digunakan untuk menambahkan keharuman di dalam makanan. Di samping itu juga, ekstrak daripada akar serai boleh digunakan sebagai pewangi di dalam syampu dan minyak wangi. Ia juga boleh digunakan di dalam air mandian bagi menyegarkan tubuh badan.
Mengikut kajian saintifik, pokok serai mengandungi pelbagai jenis minyak yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Minyak ini mengandungi beberapa campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen. Daripada hasil kajian yang dijalankan, haruman dan aroma yang terhasil daripada pokok serai ini sebenarnya disebabkan oleh limonena dan campuran citral yang terkandung di dalamnya. Selain itu, saintis juga telah dapat mengasingkan dua jenis bahan kimia lain daripada pokok serai iaitu campuran cymbopogonol dan cymbopogone.

Thursday, January 14, 2010

Buluh Lemang

Pokok buluh lemang ini ditanam di kawasan rumah untuk memudahkan kerja mengambil buluh lemang

Ruas buluh lemang panjang dan batangnya lurus.
Nama Botani : Schizostachyum brachycladum
Famili : Gramineae

Pengenalan

Buluh tergulung di dalam keluarga Gramineae, iaitu sama keluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Lebih tepat lagi buluh berada di bawah sub-keluarga Bambusoideae. Manakala sub-keluarga ini mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi.

Kegunaan

Seperti yang telah kita semua maklum, kegunaan utama buluh lemang adalah untuk membuat lemang. Buluh ini dipilih kerana ruasnya panjang, lurus dan buluh ini nipis. Pasti ada di antara pengunjung/pembaca blog ini hanya biasa melihat buluh lemang yang telah siap dipotong atau telah kehitaman kerana dibakar semasa proses membuat lemang.
Selain daripada digunakan untuk membuat lemang, rebung buluh ini juga boleh dimakan.

Wednesday, January 13, 2010

Bunga & Buah Jan 2010

Bunga durian belanda atau di utara semenanjung ia dipanggil dengan nama durian eropah. Ada juga yang memanggilnya dengan nama durian sayur.

Buah pokok akar minyak. Nampak macam boleh dimakan tapi belum pernah ada orang yang mencuba untuk makan buah ini. Pucuk pokok akar minyak boleh dimakan sebagai ulam.

Bunga kerkut yang kecil dan berjambak. Baunya berbau harum dan sentiasa menjadi tarikan kepada lebah dan serangga penghisap madu yang lain.

Buah kerkut yang matang, belum tiba masa untuk masak.

Buah kerkut yang masih hijau. Apabila masak ia bertukar menjadi kemerahan.

Buah ara. Spesis ara yang ini tidak boleh dimakan. Buah ara yang boleh dimakan sebagai ulam, dicampur dalam masakan atau dimakan mentah biasanya tumbuh di tebing sungai.

Buah belimbing buluh atau belimbing besi. Rasanya masam dan digunakan dalam masakan.

Buah jambu batu tanpa biji. Kandungan vitaminnya jauh lebih tinggi berbanding oren. Jadi, makanlah buahan tempatan.

Pokok Susun Kelapa

Pokok susun kelapa di tepi pokok kelapa

Nama Botani : Tabernaemontana coronaria
Famili : Apocynaceae

Pengenalan

Pokok susun kelapa adalah tumbuhan renek dengan ketinggian di antara 1-1.5m. Daunnya hijau berkilat dan mempunyai bunga berwarna putih dengan kelopak bersusun dan agak besar. Pokok ini banyak terdapat di kawasan perkampungan dan biasanya ditanam di kawasan kuburan memandangkan bunganya berbau harum. Pokok ini boleh dibuat tanaman hiasan atau sebagai tanaman landskap. Daunnya akan mengeluarkan sedikit getah putih jika dipatahkan. Pokok susun kelapa boleh dibiakkan melalui kaedah keratan batang dan biji benih.

Kegunaan

Untuk rawatan herba bagi wanita bersalin, akar pokok ini yang dicincang dan direbus, kemudian air rebusannya diminum bersama dengan herba bersalin yang lain. Bagi rawatan resdung, akarnya diasah dengan kemenyan arab dan patinya disedut ke dalam hidung manakala airnya yang jernih dititikkan ke dalam mata bagi rawatan “ulser hidung”.

Sukun

Pokok dan buah sukun


Nama Botani : Artocarpus communis
Famili : Moraccae

Pengenalan

Sukun adalah tumbuhan dari genus Artocarpus dalam famili Moraccae. Pokok sukun dalam famili yang sama seperti nangka, cempedak dan terap. Ia dipercayai berasal dari Polynesia. Pokok sukun kini banyak terdapat di kawasan tropika lain seperti di Malaysia, Sri Lanka , India Selatan dan Kepulauan Pasifik yang lain. Ia merupakan sumber makanan utama di kawasan Polynesia. Ketinggian pokok sukun boleh mencapai sehingga 20 meter tinggi. Pokok sukun mempunyai kanopi yang cantik. Sukun bukan merupakan sejenis buah yang bermusim. Walau bagaimanapun, ia mengeluarkan bunga dan buah dua kali setahun. Musim bunganya ialah antara bulan Februari hingga Mac dan antara bulan Julai hingga Ogos. Buah sukun dipetik di antara bulan April hingga Jun dan di antara bulan Oktober hingga November.

Kegunaan

Terdapat dua jenis sukun di Malaysia iaitu yang mempunyai biji dan tidak berbiji. Pokok sukun yang buah mempunyaibiji biasanya tumbuh liar di kawasan hutan, manakala pokok buah sukun yang tidak berbiji mudah didapati dan ditanam di kawasan rumah atau sekitar kampung. Varieti yang tidak berbiji inilah yang biasa dimakan.
Buah sukun berbentuk bulat atau sedikit bujur (rujuk foto). Diameter buahnya ialah di antara 10 - 30 cm. Buah sukun mempunyai berat di antara 1 hingga 3 kg. Ia mempunyai kulit yang berwarna hijau kekuningan. Kulitnya berbentuk segmen-segmen petak poligonal. Segmen poligonal ini dapat menentukan tahap kematangan buah sukun. Poligonal yang lebih besar menandakan buahnya telah matang manakala buah yang belum matang mempunyai segmen-segmen poligonal yang lebih kecil dan lebih padat.

Buah sukun biasanya dipetik sebelum ia mencapai peringkat ranum atau masak. Buah sukun yang dipetik pada peringkat yang terlalu matang akan cepat menjadi lembut. Sebaliknya, ia akan mengeluarkan getah yang banyak apabila kulitnya dikupas dan mempunyai rasa kelat jika dipetik pada peringkat terlalu muda.

Sunday, January 3, 2010

Ubi Keling @ Kemili

Ubi keling atau ubi kemili

Nama Botani : Coleus tuberosus
Ini satu lagi jenis ubi yang menjadi permintaan ramai ketika musim bah atau tengkujuh di bahagian pantai timur Malaysia terutamanya di Kelantan. Ubi yang dipanggil nama 'ubi keling' oleh penduduk tempatan ini bersaiz kecil(sebesar ibu jari orang dewasa). Selain direbus untuk dimakan, ubi ini juga boleh dijadikan sebagai bahan utama dalam masakan seperti masak lemak.